
(Rencana Ridhuan bertajuk ‘Apa yang masih tinggal pada kita?’ boleh dibaca di blognya.)
Kadang-kadang kita seperti takut dengan bayang-bayang kita sendiri. Saya suka melihat isu kalimah Allah ini sebagai benda yang positif.
Kenapa kita perlu membuang masa dan tenaga kepada benda yang kurang penting tetapi tidak peduli kepada perkara yang lebih utama.
Sekalipun kita mendapat hak tidak membenarkan orang bukan Islam tidak menggunakan kalimah Allah sebagai nama Tuhan mereka, ini bukanlah jaminannya orang Islam tidak melakukan perbuatan syirik.
Bukan kalimah Allah itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah kita terutamanya orang Islam tidak syirik kepada Allah.
Inilah tujuan Allah menurunkan rasulnya, apabila umat manusia telah menyimpang akidahnya dengan mensyirikkan Allah, Tuhan akan menurunkan rasulNya untuk mengembalikan semula akidah mereka ke landasan yang betul.
Sepatutnya inilah kerja kita yang utama, mewarisi kerja-kerja rasul Tuhan ini.
Bukan sahaja kita tidak berusaha bersungguh-sungguh mengajak secara hikmah orang-orang bukan Islam kepada ajaran yang benar ini, kita juga dalam banyak perkara bersikap konfrantasi dan bermusuhan dengan mereka dengan perkara-perkara yang remeh.
Sudah tentu sikap negatif kita ini hanya akan menjauhkan mereka dari kita. Apalagi hingga sampai orang-orang kita cuba merosakkan gereja dan rumah-rumah ibadat mereka.
Sekalipun tindakan-tindakan keras kita ini mungkin akan dapat menjadikan kita menang dalam pertelingkahan ini. Tetapi sudah tentu ia tidak dapat memenangi hati mereka. (Jan 15)
Kalimah Allah, Permainan politik parti Cap Keris tak menjadi
Mungkin pada asal tujuannya parti Cap Keris hendak mengambil kesempatan dari isu kalimah Allah ini untuk mengembalikan sokongan orang Melayu Islam kepada parti itu. Kononnya isu kalimah Allah ini telah menggugat kesucian Tuhan orang Melayu oleh golongan bukan Islam, maka parti ini telah menyeru satu lagi keperluan kepada apa yang dinamakan ‘perpaduan umah’ bagi mengembalikan kekuatan Islam di negara ini.
Parti Cap Keris ini menerusi badan-badan NGO yang ditajanya seperti Pewaris, Perkasa dan Perkida telah cuba mendakyah orang-orang Melayu, betapa orang-orang bukan Islam telah berani menyentuh perkara-perkara yang berkaitan agama Islam seperti yang berlaku pada isu kalimah Allah itu.
Menggunakan isu kalimah Allah ini, mereka telah menggerakkan ‘perpaduan umah’ bagi menyatukan umat Melayu dalam satu suara politik. Apakah tujuan mereka itu benar-benar untuk memperkuatkan Islam atau hanya sekadar untuk memperkuatkan kuasa politik mereka. Seruan mereka itu telah dipandang sinis oleh berbagai pihak, kerana selama ini parti Cap Keris bukanlah parti yang dianggap serius untuk membela Islam.
Disebalik sambutan dingin dan berbelah bahagi dari orang-orang Melayu yang lain dari parti PAS dan PKR, kepada orang-orang berfikiran finatik dan taksub, keadaannya telah menjadi terlebih lajak sehingga mengakibatkan beberapa gereja telah dibom dan dirosakkan.
Sehingga kini polis masih belum dapat menangkap orang yang melakukan kerosakan terhadap gereja-gereja ini. Dimanakah polis kita yang dikatakan sangat cekap itu. Kita mahu sangat perosak-perosak ini didedahkan dan menerima hukuman yang setimpal, dan juga kita mahu tahu kalau ada, pihak manakah sebenarnya yang menjadi dalang di belakang kejadian itu.
Apakah pelakunya sehebat perisik CIA sehingga langsung tidak boleh dikesan, kalau polis kita tidak mampu mengesannya, mungkin kita boleh meminta bantuan pakar dari luar negara.
PM Najib mungkin tidak menyangka isu kalimah Allah ini berakhir dengan perbuatan pengeboman dan merosakkan gereja, beliau mengutuk orang yang melakukannya dan dengan segera memperuntukkan RM500,000 kepada gereja yang rosak itu dan disiarkan dalam semua media perdana. Rasa perihatin yang beliau tunjukkan itu bagi mengelakkan beliau dan parti beliau dari dikaitkan dengan perkara buruk itu.
Dalam masa yang sama Hisamudin Husein sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri turut tumpang semangkuk dalam isu pengeboman gereja itu. Dia ada alasan kukuh untuk tidak menghapuskan ISA.
Rasanya hingga artikel ini ditulis, ISA belum dimansuhkan lagi, tetapi kenapa pengeboman dan merosakkan gereja itu berlaku juga. Malah sudah beberapa hari berlalu, suspek masih bebas dan belum dapat ditangkap.
Kalau benar akta ISA itu sebagai pencegahan, tetapi kenapa ia tidak dapat juga mencegah berlakunya pengeboman terhadap gereja seperti yang telah terjadi itu. (Jan 11, blog ‘Isu Semasa, Sosial dan Politik’)
Tuhan orang Kristian pun Allah juga
Mungkin lain orang lain pendapatnya. Bagi aku senang saja, buat apa nak susah-susah kepala dengan perkara yang tak patut disusahkan.
Sebagai orang Islam yang beriman, aku percaya tuhan orang Kristian pun Allah juga. Tuhan yang menciptakan orang Kristian adalah juga tuhan yang menciptakan orang Islam dan orang Buddha, dan tuhan itu jugalah yang menciptakan lembu dan kambing.
Apa kita perlu ambil peduli kalau mereka nak sebut nama tuhan mereka dengan nama apa pun. Itu soal rumahtangga mereka, kenapa kita pulak yang nak menyibuk dan menyalak tak tentu pasal.
Lebih baik kita buat kerja kita, tumpukan usaha macamana nak bawa anak-anak muda kita bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengabdikan diri kepada penciptanya. Banyak anak muda kita masa kini telah tersasar dari akhlak yang mulia dan mereka tidak lagi berasa takut untuk melakukan dosa. Mereka seperti telah bertuhankan hiburan dan nafsu.
Janganlah kita cuba mengalihkan masalah yang kita hadapi kepada benda-benda yang tidak mendatangkan faedah langsung kepada agama. Apa perlunya kita pergi ke jalan-jalan sambil meracau-racau seperti kena sawan yang kononnya seperti nak membela agama, betulkah dengan perlakuan kita itu akan menjadikan agama kita lebih mulia? (Jan 4, blog ‘Isu Semasa, Sosial dan Politik’)