ekonomiSejenak pandang, Kampung PPMS Sg. Siput seperti belum pernah disentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di sini seratus isi keluarga miskin tidak mempunyai pekerjaan tetap ataupun gaji yang diperolehi adalah amat rendah selain mata pencarian tidak menentu.

Penduduk-penduduk kampung ini hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kadangkala ibubapa menganggur dan dalam musim-musim sedemikian, anak-anak tidak dihantar ke sekolah sebab tidak mampu membayar tambang bas.

Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) ialah hasil tindakan afirmatif. Ia merupakan salah sebuah daripada banyak skim kerajaan untuk membasmi kemiskinan serta menangani masalah pengangguran dan kurang peluang pekerjaan di kalangan orang Melayu luar bandar.

Skim PPMS memberikan setiap keluarga sebuah rumah dan 10 ekar tanah untuk mereka usahakan tanaman komersil. Empat tahun lalu, keluarga-keluarga yang terpilih diletakkan di sebuah kampung terancang 20km dari pekan Sg. Siput.

Kampung PPMS Sg. Siput pada masa ini menampakkan 100 buah rumah berbumbung tin yang tersusun rapi di tapak tanah gondol. Walaupun kampung itu di tengah hutan belantara, ia memiliki kemudahan-kemudahan seperti dewan serba guna, surau, kedai dan tadika. Segala yang perlu dari segi prasarana perumahan sudah dibekalkan kepada penghuni peneroka namun dari segi prasarana ekonomi, masih ada kekurangan.

Mengikut perancanganan PPMS, sebuah agensi kerajaan ditugaskan untuk  membangunkan 10 ekar tanah. Tanah tersebut yang siap ditanam akan kemudiannya diberikan kepada setiap keluarga. Lantaran itu, 100 anak buah projek PPMS itu memiliki rumah dan tanah hutan kira-kira 20-30km dari kampung asal mereka.

Sekarang duduk di hutan, mereka terpaksa pula membuat perjalanan jauh pulang ke pekan untuk mencari kerja.

Keluarga-keluarga ini hidup susah hasil daripada pelaksanaan DEB yang menyimpang. Ada sebilangan kaum Melayu masih daif bahkan bertambah miskin meskipun telah berulang kali mendapat habuan. Mereka menjadi mangsa orang tengah yang mempunyai modal dan kepakaran untuk membangunkan tanah milik mereka.

Namun, kemiskinan yang berterusan serta kemiskinan tuan tanah [‘landed poverty’] hanyalah satu aspek tindakan afirmatif yang gagal.

Ciri-ciri budaya tongkat

Pada lazimnya, tindakan afirmatif difahami sebagai bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat yang ketinggalan supaya negara lebih saksama dan harmoni.

Berlatarbelakangkan rusuhan kaum Mei 13, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak telah melancarkan DEB pada tahun 1971. Objektif rancangan-rancangan yang terkandung dalam DEB cukup murni, yakni membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Tersirat dalam matlamat DEB bahawasanya sebarang tindakan afirmatif harus memperkasakan golongan yang dihulurkan bantuan khusus itu. Masyarakat yang disasarkan mesti dapat berdikari kelak dan bukannya hanya terus bergantung kepada kerajaan.

Kini, selepas 40 tahun DEB berjalan, ke manakah orang Melayu?

Mantan perdana menteri kita sering mengeluh kesah terhadap keperluan bangsanya kepada tongkat. Beliau kesal orang Melayu kekurangan inisiatif dan sebagainya. Keluhan ini jelas menunjukkan bahawa saf kepimpinan tertinggi memang sedar tentang kegagalan DEB sebagai kerangka memajukan kaum Melayu. Golongan kelas atasan berasa cukup kesal tetapi keresahan ini tidak berpanjangan sebab akhirnya akan berbalik juga kepada menjaga kepentingan diri.

DEB dikritik dari pelbagai sudut. Walaupun DEB paling menguntungkan satu kaum namun jurang di antara Melayu kaya dengan Melayu miskin kian melebar. Sasaran 30% kekayaan negara milik Melayu sudah tercapai walaupun fakta ini dipertikaikan. Turut dibahaskan umum, kenapa perlunya dasar ini diteruskan selepas tamat hayatnya pada tahun 1990.

Akan tetapi, satu dimensi kelemahan DEB yang tidak mendapat perhatian umum adalah kesan jiwa ke atas jati diri Melayu ekoran daripada pelaksanaannya. Kalau sebelum itu masyarakat Melayu adalah mempunyai harga diri, pasca-DEB timbullah mentaliti subsidi yaang menggalakkan budaya mencari keuntungan mudah dan harapkan sumbangan.

Manfaat atau malapetaka?

Sesudah berpuluh-puluh tahun disogokkan bantuan umpama orang kurang upaya, masyarakat Melayu mula mempercayai bahawa mereka adalah pewaris hak-hak istimewa buat sepanjang masa.

DEB akhirnya bahawa membawa mudarat kepada si penerima itu sendiri.

Program-program sedemikian akan dilanjutkan kerana ianya tidak dapat dipisahkan daripada peranannya sebagai alat politik barisan elit Umno dan kroni-kroni mereka yang mahu cepat kaya dan hidup mewah. Selagi para pemilih (‘bank undi’) kekal mengganggap parti tersebut sebagai wali ‘penyelamat’ (baca: pemberi sedekah), maka selagi itulah para politikus Umno akan terjamin kerusi-kerusi mereka.

Khabarnya ada kes penghuni ditekan supaya tidak mengundi pihak lain sekiranya mereka tidak mahu diusir dari projek perumahan miskin tegar yang mereka duduki.

Elit Umno juga berusaha menyisihkan kelompok Melayu daripada bukan-Melayu. Di perhimpunan agung Umno dan acara-acara lain, puak jutawan Umno akan sibuk menghasut, melaungkan ‘Hidup Melayu’ dan meratapi perjuangan yang belum selesai. Mereka menggesa Melayu bersatu atas alasan menentang ‘musuh’ dalam selimut (merujuk kepada kaum-kaum lain).

Sebenarnya kelas pemerintah Melayu mencapai kedudukan tinggi dan menikmati kekayaan melalui penyelewengan DEB. Demi untuk mengaburi mata umum tentang punca sumber kejayaan mereka, maka digalakkan rakyat marhaen supaya takut kepada bayang-bayang dan disemai perasaan saling membenci di antara kaum.

Peranan Umno ibarat bapa manja yang asyik memberikan apa sahaja yang diminta mahupun menunaikan segala-gala permintaan akan menjadikan si penerima itu tidak mampu berdikari.

Secara sengaja atau tidak, masyarakat Melayu dilemahkan. Lebih malang lagi, masyarakat ini dipersendakan dengan sindiran sinis “Melayu perlukan tongkat” oleh kelompok elit yang bertanggungjawab melemahkan masyarakat Melayu itu sendiri.

Cara pengendalian tindakan afirmatif ala Malaysia jelas menyimpang. Sekarang sudah sampainya masa kita menghentikan DEB yang terkeluar landasan.

Tindakan afirmatif harus dilaksanakan dengan syarat menitikberatkan pembangunan insan. Masyarakat yang diberi pertolongan mesti menjadi peserta aktif dalam proses yang disebutkan di atas, yakni terlibat dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

Kita memerlukan tindakan afirmatif yang membina dan bukan sesuatu yang disalahgunakan sebagai senjata politik. Dasar afirmatif perlu memenuhi matlamat asal DEB iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan tidak lagi menjadi alat untuk membolehkan kelas menengah dan atasan hidup senang-lenang.