Seorang kenalan saya di Amerika pernah menceritakan bagaimana pada satu hari, ketika duduk berehat sebentar di sebuah pusat membeli-belah, beliau ternampak dua orang lelaki berkulit hitam berlari dengan pantas sambil dikejar seorang pegawai keselamatan.

Lantas timbul hasrat kenalan saya ini untuk membantu lalu dikejarnya dua orang lelaki itu, diterjah salah seorang daripadanya dari belakang dan dihempap badannya ke bawah. Lelaki berkulit hitam itu mengerang kesakitan lalu berkata; “Saya tuan punya kedai, kenapa awak tangkap saya?!??? Terperanjat sungguh kenalan saya ketika itu. Beliau hanya mampu memohon maaf dengan penuh rasa kesal kerana bukan sahaja tersalah menangkap orang, tapi membiarkan juga pencuri yang sebenar melarikan diri.

Kenalan saya bukan sebarangan orang. Di Amerika beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan golongan minoriti di sana. Bahkan, beliau sering terlibat dalam kempen-kempen dan forum yang menentang sikap prejudis terhadap apa jua golongan bangsa dan beragama. Maka, walaupun beliau berkulit putiih, profilnya sama sekali tidak menggambarkan beliau sebagai seorang yang bersikap negatif dan agresif terhadap masyarakat lain.

Ramai antara kita sebenarnya tanpa disedari bersikap prejudis dan menaruh sterotaip negatif terhadap orang lain. Fenomena ini telah dibuktikan dalam banyak kajian dalam bidang psikologi sosial. Kajian di Amerika misalnya ada melaporkan hampir 80 peratus masyarakat kulit putih di sana tanpa disedari menaruh sikap prejudis terhadap masyarakat berkuit hitam. Sikap implisit ini tidak semestinya dizahirkan melalui perbuatan atau kata-kata secara terbuka, namun dalam situasi tertentu ianya tetap terserlah.

Di Malaysia, isu prejudis dan sterotaip kaum ini sering dianggap isu sensitif bukan sahaja di pentas awam, tapi juga di kalangan ahli-ahli akademik. Oleb sebab itu, tidak banyak kajian saintifik yang dilakukan untuk meninjau sejauh mana masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menaruh sifat perjudis terhadap satu sama lain.

Namun yang jelas, jika ditinjau daripada kelakuan dan percakapan harian, masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Di kalangan rakan-rakan dan sanak saudara saya yang berbangsa Melayu, sering kedengaran keluhan bilamana ada barang yang dibeli dianggap mahal, peniaga Cina yang cepat dipersalahkan. “Orang Cina, sebab tu lah mahal???.

Di kalangan orang Cina, ada juga prejudisnya. Seorang graduan universiti tempatan berbangsa Melayu pernah menceritakan pengalaman beliau menghadiri temuduga di sebuah syarikat swasta. Semua penemuduga yang hadir berbangsa Cina. Ketika sesi temuduga berjalan, mereka sering berbisik di antara mereka dalam bahasa Mandarin. Yang tidak disedari mereka, calon temuduga itu sebenarnya boleh berbahasa Mandarin kerana bersekolah rendah di sekolah Cina.

Beliau faham benar apa yang dibisikkan, yang antaranya ialah “Ma lai ren lan dou... Ma la ren mei you da nao (orang Melayu malas... orang Melayu kurang pandai)???.

Mengapa ini terjadi?

Taksub kepada identiti kaum

Salah satu sebabnya adalah sikap kurang berhati-hati di kalangan ibubapa dan guru-guru. Sekiranya sejak dari kecil kita didedahkan dengan ungkapan-ungkapan negatif terhadap kaum lain samada di rumah ataupun di sekolah, lama-kelamaan ia menjadi sebati dengan pemikiran dan kelakuan kita.

Ungkapan seperti “kalau terjumpa orang ‘Keling’ dan seekor ular, bunuh orang ‘Keling’ itu dulu...??? sudah sekian lama disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain di kalangan orang Melayu. Pastinya, untuk mencapai wawasan bangsa Malaysia, 1Malaysia, atau apa saja istilah perpaduan antara kaum yang ada, ungkapan-ungkapan seperti ini perlu dinyahkan sama sekali dari muka bumi Malaysia ini.

Guru-guru sekolah pula perlulah lebih berhati-hati tatkala membincangkan sejarah negara. Perlu dibezakan antara fakta sejarah dan hujah-hujah peribadi yang tidak objektif. Pengalaman peribadi saya di sekolah berasrama penuh kerajaan yang komposisi pelajarnya lebih kurang 95 peratus pelajar-pelajar Melayu, guru-guru Melayu tanpa ragu-ragu menyatakan pendapat seperti “Tunku Abdul Rahman terlalu berlembut dengan golongan pendatang... sepatutnya setelah merdeka, mereka ini disuruh pulang ke negara asal???.

Satu lagi punca perkembangan prejudis ini adalah ketaksuban pada identiti kaum masing-masing. Bilamana identiti kaum itu terlalu kuat dan melampau, semangat identiti kebangsaan pasti tergugat. Inilah masalah pokok yang perlu dibincangkan secara terbuka dan diselami dengan teliti jalan penyelesaiannya.

Sejak awal 1980-an, di kalangan orang Melayu telah timbul kesedaran beragama yang begitu kuat. Dasar penerepan nilai-nilai Islam telah diperkenalkan di sektor awam, dan ramai ibubapa Melayu mula menekankan pendidikan agama bagi anak-anak mereka. Dalam tempoh yang sama, di kalangan orang-orang Cina usaha memartabatkan pendidikan dalam bahasa ibunda jelas berkembang dengan pesat.

Natijahnya, pelajar-pelajar Melayu lebih tertumpu di sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama, dan pelajar-pelajar Cina pula lebih tertumpu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Maka, di kalangan anak-anak muda Melayu dan Cina sekarang, majoritinya dibesarkan dalam suasana kurangnya pengalaman berinteraksi dengan kaum-kaum yang lain. Kurangnya interaksi, kuranglah persefahaman dan toleransi, dan hasilnya terbukulah sifat prejudis yang berasaskan stereotaip negatif yang tidak rasional.

Bagi ahli-ahli akademik, teori penyelesaiannya mudah dan ringkas. Untuk memupuk perpaduan dan menghapuskan prejudis antara kaum, perlu ada interaksi antara kaum yang lebih kerap dan yang lebih bermakna. Berteori memang mudah, namun praktikalnya bagaimana?

Rombakan sistem persekolahan

Di dunia siber telah muncul kempen ‘Satu Sekolah Untuk Semua’ yang dipelopori sekumpulan penulis-penulis blog tempatan. Hasrat murni mereka adalah agar sistem pendidikan negara dirombak supaya semua pelajar-pelajar sekolah di Malaysia dari semua golongan kaum dan agama bersekolah di bawah satu sistem kebangsaan di mana bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa pengantar yang tunggal.

Maka, sekiranya ini dilaksanakan, sekolah-sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil yang sedia ada perlu dirombak sepenuhnya selari dengan matlamat hanya satu sekolah untuk semua.

Tujuan murni kempen ini untuk memupuk interaksi yang lebih erat dan perpaduan antara kaum; perlu disanjungi dan dihormati. Namun, implementasinya mengundang pelbagai masalah.

Masalah utamanya ialah, sekiranya polisi ‘Satu Sekolah Untuk Semua’ ini dilaksanakan, bukan sahaja kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil ini akan tergugat.

Kerajaan Malaysia sejak sekian lama mengamalkan polisi yang agak liberal dalam sistem pendidikan yang membolehkan wujudnya sekolah-sekolah pelbagai aliran. Rasionalnya ialah memberikan kebebasan kepada ibubapa untuk memilih sistem persekolahan yang difikirkan terbaik untuk anak-anak mereka.

Maka, di Malaysia ini bukan sahaja ada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, terdapat juga banyak sekolah-sekolah swasta pelbagai aliran yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan sejak beberapa dekad yang lalu. Sekolah-sekolah swasta ini termasuklah sekolah-sekolah antarabangsa seperti International School of Kuala Lumpur dan Fairview International School, sekolah-sekolah agama seperti Sekolah Islam Adni dan International Islamic School, dan sekolah-sekolah tahfiz yang dibuka di seluruh negara.

Apakah yang akan terjadi pada semua sekolah-sekolah ini sekiranya polisi ‘Satu Sekolah Untuk Semua’ dilaksanakan?

Di kalangan anak-anak Perdana Menteri sendiri ada yang bersekolah di sekolah antarabangsa swasta dan bukannya di sekolah kebangsaan. Mana mungkin beliau sanggup menghalang ibubapa-ibubapa lain menghantar anak-anak mereka ke aliran persekolahan yang sama jika itulah pilihan mereka. Maka perlulah dicari jalan yang lebih praktikal, selain daripada rombakan drastik sistem persekolahan yang sedia ada; untuk memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.

Melentur aur biar dari rebungnya

Yang pastinya, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkasakan agar antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia ini, kemahiran berkomunikasi dalam satu bahasa yang sama dapat dipertingkatkan. Semua rakyat Malaysia, tidak kira aliran sekolah yang diikuti, perlu diwajibkan menguasai bahasa Melayu dari segi pertuturan dan penulisan.

Kemudian, perlu difikirkan bagaimana pelajar-pelajar ini, walaupun bersekolah dalam aliran-aliran yang berlainan tetap berinteraksi antara satu sama lain.

Langkah yang diambil kerajaan selaras dengan tujuan ini ialah dengan memperkenalkan Program Khidmat Latihan Negara (PLKN). Malangnya, PLKN ini hanya melibatkan pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah yang umurnya sudah hampir 20 tahun. Bagi saya, tidak realistik untuk kita mengharapkan remaja-remaja pada usia hampir dewasa seperti itu boleh dipengaruhi dengan mudah untuk menyerap semangat toleransi dan perpaduan antara kaum.

Interaksi dan persefahaman antara kaum perlu dipupuk jauh lebih awal. Pastinya tidak realistik untuk kita membayangkan suatu program ala PLKN dilaksanakan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah. Namun apa yang boleh dilaksanakan adalah program-program ko-kurrikulum yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah pelbagai aliran di peringkat zon, daerah, negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan.

Contohnya, pihak Kementerian Pelajaran boleh mewartakan agar di semua sekolah-sekolah diwujudkan beberapa persatuan-persatuan wajib seperti Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Matematik, dan Persatuan Sejarah. Persatuan-persatuan ini kemudiannya diwajibkan bergabung tenaga dengan persatuan-persatuan yang sama di sekolah-sekolah lain dalam pelbagai aktiviti tahunan. Kerjasama seperti ini juga mungkin boleh diperkenalkan bagi aktiviti-aktiviti lain seperti sukan tahunan, sambutan hari guru, dan hari penyampaian hadiah.

Tiada jawapan mudah untuk menangani masalah ini. Namun, sekiranya wujud keikhlasan dan ketekunan daripada kalangan pemimpin politik dan pemimpin masyakarat yang lain yang sanggup berbincang dan berkorban serba sedikit pegangan pada budaya dan tradisi masing-masing; tidak mustahil semangat tulen perpaduan antara kaum di Malaysia akan terjalin.