Dr Mahathir Mohamad tegas dengan penetapannya bahawa terjemahan ‘God’ kepada ‘Allah’ oleh orang Kristian adalah salah. Sepatutnya perkataan ‘Tuhan’ digunakan untuk God, ujarnya.

Kalimah ‘Allah’ sebenarnya mula diharamkan penggunaaannya oleh masyarakat Kristian tatkala beliau sendiri masih menerajui negara, Dr Mahathir menulis di ‘Che Det’ pada Jan 5, 2010. “Pendapat Kabinet pada masa itu ialah kegunaannya dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif.???

Mantan Perdana Menteri itu memberitahu para pembaca blog beliau tentang asal-usul dan latarbelakang kontroversi yang sekali lagi dicetuskan hasil daripada keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan gereja Katholik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam terbitan mingguannya The Herald.

Beliau mendakwa, “Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difaham oleh pendengar???.

Menyuarakan keraguannya terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh kelompok Kristian, Dr M – yang khuatir kalimah ‘Allah’ berkemungkinan dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana penganut masing-masing menyembah Tuhan yang sama – telah memberi amaran, “Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah.???

Berkenaan tanggapan ini, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak pula bersependapat dengan Dr Mahathir.

Sewaktu diminta mengulas perkara ini, Dr Asri pada suatu ketika dahulu pernah berkata, “... kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah????

“Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri???? (Sila rujuk, ‘Beza antara merebut nama Allah dan mempertahankan akidah’)

Tambahnya lagi, “Soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut ‘Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan’, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

“Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan???.

Ketika dihubungi pihak media semalam untuk memberi pandangannya, Dr Asri juga mempertikaikan hujah-hujah Timbalan Musyidul Am PAS Dr Haron Din yang menentang keputusan Mahkamah Tinggi Disember 31 lepas.

Dr Haron telah memutuskan bahawa mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan mahkamah tersebut boleh membawa kepada kekufuran.

Menurutnya, agama Kristian sebelum ini hanya menggunakan perkataan ‘God’, ‘Jesus’ dan ‘Lord’ dalam kitab Injil mereka. (Rakaman penjelasan Dr Haron boleh ditonton di tvpas.com)

Manakala itu, Dr Asri membidas kenyataan Dr Haron sebagai bercanggah dengan kenyataan Presiden PAS berhubung perkara yang sama.

“Parti beliau sendiri kata golongan bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah,??? kata Dr Asri.

Sementara itu, Musyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelumnya dipetik akhbar Harakah Daily online sebagai berkata penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi [Kristian dan Judaisme] tidak menjadi satu kesalahan. Namun begitu, beliau tidak mahu ianya disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Nik Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama akan menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian serta tidak menolak hadir sekiranya dijemput.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu, falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,??? beliau dilaporkan berkata. – cpiasia.net

Pendirian PAS

Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengumumkan pendirian partinya melalui satu kenyataan rasmi ekoran mesyuarat khas Lajnah Politik bersama ahli jawatankuasa pusat.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berrtarikh Jan 4:

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Sila baca juga:

  • ISNA commends Malaysian court ruling that affirms religious freedom of Christians
  • God’s name: Non-Muslims calling the Creator ‘Allah’ -- Islam Today