public-transportPandangan yang positif terhadap skim diskaun komuter untuk mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan perkhidmatan percuma GO-KL City adalah salah satu usaha menggalakkan penggunaan sistem perkhidmatan pengangkutan awam dan sewajarnya mendapat sokongan ramai.

Para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang memang menyambut baik segala usaha yang berupaya membantu melicinkan perjalanan ke destinasi masing-masing. Apa juga insentif untuk mempermudahkan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutama di bandar-bandar besar adalah langkah yang meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius dalam menangani masalah kesesakan lalulintas.

Zaman telah berubah dan pembangunan begitu pesat dengan bangunan pencakar langit yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan merupakan pemandangan pertama sesiapa sahaja yang berkunjung ke ibu kota Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain di seluruh negara.

Tahun-tahun selepas kemerdekaan baru dicapai, mungkin tidak terlintas langsung di benak para perancang bandar ketika itu bahawa bandar-bandar di negara ini akan bertukar wajah sebegitu rupa dengan pelbagai masalah terutama sistem pengangkutannya yang tidak mampu menampung lambakan kenderaan persendirian yang menyesakkan semua laluan keluar masuk di bandar.

Kemunculan kereta nasional semenjak tahun 1985 memberi peluang kepada lebih ramai penduduk memiliki kenderaan sendiri. Kereta yang dijual dengan harga berpatutan memenuhi kehendak pengguna yang mahukan sesuatu yang boleh membawanya ke destinasi yang dituju dengan cepat dan selamat. Ramai yang masih menggunakan sistem pengangkutan awam terutamanya bas dan teksi ketika itu kerana mereka belum mampu memiliki kereta sendiri.

Lama kelamaan keadaan berubah dan pendapatan isi rumah penduduk yang meningkat membolehkan lebih ramai memiliki kereta sendiri, tambahan pula kereta buatan luar negeri juga ditawarkan dengan skim pembelian yang menarik. Para pengguna mempunyai bermacam-macam pilihan dan semakin banyaklah kereta persendirian di jalan-jalan raya seluruh negara.

Lebuhraya yang semakin banyak dibina memudahkan perjalanan pengguna tetapi kesesakan semakin ketara terutama sekali ketika musim perayaan.

Penekanan terhadap kereta nasional sebagai salah satu batu loncatan untuk Malaysia mencapai status negara maju yang tidak lagi hanya bergantung pada sektor pertanian dan sumber alam semula jadi membuahkan hasil yang pelbagai. Sekali imbas, memang negara telah maju ke depan dan boleh berdiri megah apabila dilihat daripada segi pembangunan fizikal yang terserlah di merata-rata. Jalan raya yang bersimpang-siur hingga ke ceruk pedalaman merupakan satu lagi bukti bagaimana kejayaan telah tercapai.

Syarikat pengangkutan terpaksa diambil-alih

Malangnya sistem pengangkutan awam telah dikesampingkan dan tidak diberi penekanan yang sewajarnya. Modal permulaan untuk sesuatu sistem pengangkutan menelan belanja yang amat besar dan pulangan kepada pihak yang membiayai projek sedemikian tidaklah mungkin kelihatan dalam masa yang singkat. Lebih-lebih lagi jika projek itu membabitkan sistem pengangkutan awam yang cekap dengan harga yang berpatutan untuk para pengguna.

Pengusaha swasta lebih berminat kepada apa juga yang boleh memberi hasil serta-merta dan tidak ada jaminan ini boleh diperolehi jika mereka bersetuju turut serta dalam sesuatu projek sistem pengangkutan awam yang dikenakan pelbagai syarat dan kekangan. Lihat sahajalah sistem transit aliran ringan (LRT) yang mula beroperasi semenjak 1995 dengan dua syarikat berbeza diberikan mandat mengendalikan dua laluan yang berlainan.

Sistem monorel pula diperkenalkan pada tahun 2003 yang dikendalikan oleh sebuah syarikat yang lain.

Pada tahun 2002 kerajaan telah mengambil-alih aset kedua-dua syarikat yang mengendalikan LRT tadi dan disatukan di bawah satu bumbung, sebuah syarikat yang ditubuhkan khas oleh kerajaan iaitu Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (Rapid KL). Langkah ini diambil kerana kegagalan projek penswastaan tadi. Pada tahun 2007 pula, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) telah membeli aset KL Monorail Sdn Bhd yang sebelum itu mengendalikan sistem monorel di ibu kota.

Tempoh masa yang kurang dari 10 tahun telah menyaksikan pengendalian sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur bertukar tangan dari pihak swasta yang diharapkan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada apa yang mampu diberikan oleh pihak kerajaan berbalik semula ke tangan kerajaan. Sirih pulang ke gagang?

Apa yang boleh dirumuskan ialah betapa tingginya kos pengendalian sesuatu sistem pengangkutan awam dan risiko yang berkaitan dengannya sehinggakan pihak swasta tidak mampu meneruskan usaha mereka. Kerajaan terpaksa masuk campur dan mengambilalih kerana kalau tidak berbuat demikian, mungkin sistem tadi terpaksa diberhentikan.

Terkapai-kapailah para pengguna yang menaruh harapan terhadapnya. Sesebuah usaha niaga yang ditubuhkan memang bermatlamat mengaut keuntungan, tidak banyak sedikit dan kalau hampir 10 tahun masih tidak menunjukkan apa-apa hasil, lebih baik beralih ke usaha yang lain pula.

Begitulah kisah kita cuba menswastakan sistem pengangkutan awam di ibu negara.

Wargakota terus menerus digalakkan supaya menggunakannya sebanyak mungkin untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa apabila menuju ke sesuatu destinasi. Pada masa ini beberapa jajaran tambahan laluan LRT sedang rancak dibina supaya meliputi lebih banyak kawasan dan projek My Rapid Transit (MRT) yang dilancarkan pada tahun 2011 sedang giat dilaksanakan.

Bangunan yang sinonim dengan Kuala Lumpur seperti Perhentian Bas Klang sudahpun dirobohkan dan papan-papan tanda di tempat-tempat yang dikenalpasti sebagai stesen-stesen untuk laluan LRT yang baru sudah terpacak sebagai tanda permulaan projek mega ini. Jajaran tambahan laluan LRT dijangka siap pada pertengahan tahun 2014 sementara projek MRT dijangka siap pada 2017. Adakah masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Kelang akan selesai setelah kedua-dua sistem ini siap kelak?

Memanglah itu yang diharapkan ramai dan pemantaun terhadap keberkesanannya mesti dilakukan setelah segala sistem beroperasi nanti. Apa yang ketara ketika ini ialah masih terdapat kelemahan semasa para pengguna mahu ke stesen dari rumah masing-masing atau ke destinasi seterusnya setelah tiba di sesuatu stesen. Bas perantara yang sepatutnya melicinkan perjalanan seringkali didapati tidak memenuhi kehendak pengguna.

Jadual perjalanan yang tidak konsisten tidak meyakinkan kebanyakan pengguna yang masih berbelah bahagi sama ada mahu menggunakan sistem pengangkutan awam atau terus membawa kenderaan sendiri untuk ke sesuatu destinasi.

Kemunculan perkhidmatan percuma bas GO-KL City di segitiga emas adalah satu permulaan yang baik dan amat dialu-alukan. Kekerapan perjalanan yang lebih realistik walaupun berhadapan dengan kesesakan jalanraya yang lumrah di kawasan tersebut merupakan satu usaha yang patut disokong walaupun ada kumpulan pemandu teksi yang menentangnya. Lebih 250 pemandu teksi bertindak mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang pada awal bulan lpeas dan menyatakan pendapatan mereka merosot mendadak semenjak perkhidmatan bas percuma itu diperkenalkan.

Para pengguna sebaliknya rata-rata berpihak kepada GO-KL dan menyalahkan pemandu teksi yang telah lama terpalit dengan imej mencekik darah para pelanggan.

Hakikatnya pemandu teksi masih boleh mendapat hasil yang munasabah jika mereka berdisiplin, beretika dan tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan. Perkhidmatan bas percuma seperti GO-KL juga patut disebarluas ke stesen-stesen LRT dan MRT. Para pengguna akan lebih yakin menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam apabila setiap langkah yang diambil mereka dari pintu rumah atau pejabat menuju ke destinasi masing-masing semakin selesa dan bertepatan dengan jadual waktunya.

Para pengguna ternanti-nanti adakah akan berhasil semua yang diimpikan apabila kerja-kerja yang dirancang dan sedang dilaksana untuk memperbaiki sistem perkhidmatan pengangkutan awam siap beberapa tahun nanti. Kita tunggu dan lihat.