vacancyPenganggur muda berkelulusan tinggi beban RM500 juta wang pembayar cukai, tajuk berita di The Malaysian Insider yang seharusnya membimbangkan kita semua. RM500 juta bukan jumlah yang kecil dan kenapa penganggur muda perlukan bantuan sebanyak itu?

Rencana di portal berita itu memetik firma pengambilan pekerja atas talian terkenal di Asia Tenggara, Jobstreet yang menyatakan bahawa sikap kerja tidak baik, kemahiran komunikasi lemah dan permintaan gaji yang tidak realistik merupakan tiga rungutan terbesar majikan dalam menolak graduan baru dan bantuan sebanyak RM500 juta mungkin tidak mencukupi membantu kumpulan sasaran iaitu pengganggur muda yang mahu mendapatkan pekerjaan.

Sikap kerja yang tidak baik memang tidak terhapus jika hanya bergantung kepada bantuan wang walau sebanyak manapun. Sikap kerja yang baik adalah hasil kesedaran seseorang itu sendiri untuk memberikan yang terbaik dalam apa juga tugasan yang diberikan. Berbangga dengan pencapaian kerja yang tercapai walau bagaimana kecil atau remeh sesuatu tugasan itu sepatutnya merupakan titik tolak dan langkah permulaan dalam memupuk sikap kerja yang baik.

Tolak ke tepi segala rintangan dan halangan pada awal alam pekerjaan kerana kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ada pengganggur muda mahu yang muluk-muluk sahaja apabila mula bekerja tanpa memberi peluang kepada diri sendiri mencuba dan belajar dari segala cabaran yang menerpa. Kalau diri sudah bergelar seorang graduan pasti laluan dan tekanan mendapatkan segulung ijazah tadi boleh memberi petunjuk dan panduan bagaimana hendak berdikari di alam nyata.

Bantuan media sosial untuk mencari kerja

Facebook dan Twitter sudah sinonim menjadi sebahagian rutin hidup ramai ketika ini dan graduan alaf baru pasti boleh menggunakan kedua-dua media sosial tersebut untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan peluang mendapatkan pekerjaan. Kedua-duanya boleh digunakan secara positif dan tidaklah hanya untuk mengemaskini status masing-masing dan tidak sekadar memberitahu rakan-rakan di mana mereka berada atau apa yang mereka makan sebentar tadi.

Bantuan kewangan daripada pihak tertentu memang dialu-alukan tetapi pokok pangkalnya masih terletak pada diri sendiri. Rungutan para majikan bahawa sikap kerja yang tidak baik merupakan faktor utama pengganggur muda gagal mendapat pekerjaan seharusnya membuka mata semua. Anjakan pradigma diperlukan supaya sikap kerja tidak baik, tidak lagi menjadi faktor penghalang dalam mendapatkan pekerjaan yang diidam-idamkan.

Rungutan paling utama para majikan terhadap lepasan sekolah mahupun institusi pengajian tinggi ialah sikap mereka yang terlampau memilih kerja. Belum apa-apa lagi, majikan diminta menyediakan dan menjamin seberapa banyak kemudahan telah sedia ada untuk si peminta kerja di tempat kerja barunya. Memang keadaan sudah terbalik. Padanlah ramai majikan beralih kepada orang luar untuk mengisi kekosongan jawatan, lihat sahajalah siapa pekerja di kilang-kilang atau gedung perniagaan di seluruh negara.

Tidak ada sesiapa yang boleh memberi jaminan bahawa pekerjaan pertama dalam hidup kita setelah menamatkan alam persekolahan akan menepati semua yang diimpikan oleh seseorang. Baik buruknya berbalik kepada diri kita sendiri. Sikap kerja yang baik pasti membuahkan hasil yang positif tetapi mungkin terlepas pandang oleh kebanyakan anak muda yang mahukan imbuhan dan balasan menarik setimpal dengan citarasa terkini. Rebat RM200 untuk telefon bimbit pintar yang diumumkan dalam bajet 2013 baru-baru ini mungkin sesuai untuk golongan ini.

Adakah telefon bimbit pintar benar-benar membantu dalam pekerjaan seseorang? Terpulanglah pada bagaimana kita menggunakannya oleh kerana sesuatu alat itu boleh memberi manfaat atau membawa gejala buruk yang menghantui kita sepanjang hayat. Pengaruh rakan-rakan yang sudahpun memiliki peralatan canggih yang terkini mungkin merangsang permintaan gaji yang tidak realistik. Di sini timbullah percanggahan jangkaan di antara majikan dan pemohon kerja baru tadi.

Kehendak majikan dan pekerja harus setimpal

Apakah yang terlintas di fikiran kedua-dua belah pihak ketika sesi temuduga? Majikan mahukan pekerja yang boleh memberi sumbangan terbaik ketika bekerja, manakala pekerja mahukan pulangan yang berpatutan. Sumbangan dan pulangan mesti setimpal dan berpatutan tetapi sering kedua-duanya tidaklah seimbang seratus peratus. Ada sahaja kekurangan di salah satu pihak tetapi itulah juga hakikat hidup, mana ada yang sempurna.

Setakat manakah kita sanggup bertolak-ansur di dalam mencapai apa yang diinginkan. Mengikut kata hati sahaja tidak boleh diterima kerana manusia kadang-kadang terlalu emosi dan tidak berfikiran waras. Mereka yang baru berjinak-jinak di alam pekerjaan pasti telahpun membuat kajian tentang pakej pulangan yang dijangkakan boleh diterima berdasarkan pengalaman dan kelulusan masing-masing. Ketika sesi temuduga, permintaan yang munasabah akan melancarkan perhubungan dua hala jika diandaikan mereka akan bekerja bersama-sama pada masa akan datang.

Kemahiran kominikasi yang lemah pula seakan-akan sudah menjadi mantra keluhan setiap majikan tentang para graduan pada masa ini. Kekurangan kemahiran berkomunikasi lebih ketara di kalangan graduan institut pengajian tinggi tempatan dan Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 diharap membantu mengubah keadaan itu.

Ketika ini pelajar-pelajar Malaysia berada di tempat ketiga terbawah dalam Program Penilaian Untuk Pelajar Antarabangsa (PISA) dan menurut perancangan pelan tadi, dijangka dalam tempoh 13 tahun akan datang, pelajar negara akan berjaya menduduki tempat ketiga teratas.

Rungutan dan keluhan para majikan tentang kelemahan berkomunikasi para graduan tempatan telah lama kedengaran tetapi tidak diberi perhatian yang serius. Hasil kajian Jabatan Tenaga Kerja menerusi portal Jobstreet Malaysia ke atas 1,994 responden pula mendapati 77.14 peratus mengaku memerlukan bimbingan bagi mencari pekerjaan. Itu adalah satu peratusan yang tinggi yang membuktikan kesahihan keluhan para majikan tentang kelemahan berkominikasi para graduan.

Jelaslah para pelajar kita bukan sahaja perlu diberi didikan dari segi akademik tetapi mata pelajaran kemahiran hidup harus merangkumi bagaimana caranya menghadapi alam pekerjaan kelak. Pendidikan yang diterima selama ini nampaknya tidak menepati sepenuhnya kehendak alam pekerjaan di luar sana. Seolah-olah tidak ada kata sepakat di antara apa yang diperlukan oleh majikan dan pendidikan yang diterima oleh para pelajar.

Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 yang menerima pelbagai reaksi setakat ini diharap boleh membantu sedikit sebanyak menyelesaikan kemelut tersebut.