skim-persaraanRencana tentang Skim Persaraan Swasta (PRS) memang patut dibaca oleh lebih ramai rakyat Malaysia yang perlu bersedia untuk masa hadapan mereka. Sejumlah besar pekerja ada mempunyai simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi dengan peningkatan kos sara hidup, jumlah yang terkumpul tidak mencukupi dan perlu ditambah sama ada dengan caruman yang lebih tinggi ketika kita masih bekerja ataupun kita terus bekerja setelah mencapai umur persaraan.

PRS bertujuan menampung keperluan tersebut dan juga satu langkah untuk yang tidak mencarum di dalam KWSP atau yang bekerja sendiri menabung untuk masa hadapan mereka.

Secara ringkas PRS juga mempunyai matlamat yang sama seperti KWSP iaitu memberi peluang kepada para pekerja menabung untuk masa tua dan merupakan satu skim jangka panjang. Ahli-ahli mempunyai pilihan mencarum ke dalam lebih daripada satu dana di bawah satu PRS atau mencarum dengan lebih daripada satu PRS yang ditawarkan oleh PRS yang berlainan. Tidak ada jumlah caruman yang ditetapkan atau jangka waktu tertentu untuk mencarum kepada PRS.

Ahli-ahli yang memilih PRS tertentu tetapi tidak menyatakan pilihan dana akan diberi pilihan secara automatik. Pilihan secara automatik ini berdasarkan kumpulan umur ahli mengikut jadual di bawah:

Pilihan dana secara automatik Kumpulan umur
Pertumbuhan Di bawah umur 40 tahun
Sederhana Di antara umur 40 sehingga 50 tahun
Konservatif Umur 50 tahun ke atas

Ahli-ahli juga mempunyai pilihan menukar dana di dalam sesuatu PRS pada bila-bila masa atau menukar kepada penyedia PRS yang lain setahun sekali tertakluk kepada terma yang telah ditetapkan oleh penyedia PRS.

Semua caruman yang dibuat kepada PRS akan dibahagikan dan diselia di dalam sub-akaun A dan B seperti berikut:

70% di dalam sub-akaun A boleh dikeluarkan setelah mencapai umur persaraan dan

30% di dalam sub-akaun B boleh dikeluarkan setahun sekali.

Apa yang menarik ialah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah meneliti kaedah yang digunakan oleh negara-negara lain termasuk Australia, Chile, Hong Kong, UK dan New Zealand di dalam skim persaraan mereka. Sekurang-kurangnya pihak pentadbir telah mengambilkira kebaikan dan keburukan yang akan timbul apabila PRS dilaksanakan.

Salah satu risiko yang mungkin berlaku ialah PRS itu tidak dapat memenuhi harapan para ahli dalam memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka. Ahl-ahli tentulah berharapkan dividen sekurang-kurangnya yang lebih baik daripada apa yang diberi oleh KWSP.

KWSP sendiri memang tertakluk kepada Akta KWSP 1991 Seksyen 27 yang menyatakan bahawa jaminan kadar dividen minimum sebanyak 2.5% setahun akan diberi ke atas simpanan pencarum. Mungkin PRS juga harus mengikut contoh KWSP dan memberikan jaminan kadar minimum tetapi hakikatnya memang sukar di dalam dunia pelaburan pada masa ini. Di Amerika Syarikat sendiri telah ada kes PRS yang gagal.

Menurut Dr Yeah Kim Leng, ketua ahli ekonomi RAM Consultancy Services Sdn Bhd, untuk mengelakkan kejadian PRS yang gagal dan terpaksa dibantu oleh kerajaan, satu bentuk insurans yang menyerupai insurans untuk pendeposit bank, boleh dikaji.

Pelancaran PRS memang dinanti-nantikan oleh semua kerana simpanan KWSP tidak akan mencukupi jika jumlahnya tidak mencecah RM500,000 mengikut penelitian seorang perunding kewangan. Memang itu satu jumlah yang amat besar dan tidak termimpikan oleh rakyat berpendapatan sederhana. Mereka yang tinggal di kawasan bandar terpaksa memikirkan jumlah ini sebagai matlamat tabungan jangka panjang ataupun berpindah ke kawasan yang tidak memerlukan perbelanjaan yang terlampau tinggi.

Bolehkah kita berpindah-randah mencari tempat yang lebih murah setiap masa? Perubahan gaya hidup yang drastik diperlukan jika kita mahu berbuat demikian. Jangan lupa pula tentang peruntukan untuk rawatan kesihatan pada usia tua kerana tidak semua yang sentiasa sihat sepanjang masa. Hakikatnya kita tidak boleh lari daripada menabung dari awal lagi supaya sekurang-kurangnya hidup sebagai warga emas selesa. Bukanlah hendak hidup mewah tetapi biarlah tidak menyusahkan atau membebankan kaum keluarga.

Suruhanjaya Sekuriti telah memilih lapan penyedia PRS iaitu AmInvestment Management Sdn Bhd; American International Assurance Bhd; CIMB-Principal Asset Management Bhd; Hwang Investment Management Bhd; ING Funds Bhd; Manulife Unit Trust Bhd; Public Mutual Bhd; dan RHB Investment Management Sdn Bhd.

Penyedia PRS itu dipilih berdasarkan kepada kemahiran mereka dalam pengurusan pelaburan dan/atau dana pencen, pengalaman dalam pengurusan pencen global, kekukuhan kewangan, struktur tadbir urus dan model perniagaan yang dicadangkan.

Melihat nama-nama tersebut kita boleh menghela nafas lega kerana mereka memang terkenal dalam bidang masing-masing. Terpulanglah nanti apa yang akan ditawarkan. Apa yang lebih penting ialah ketelusan dan menawarkan sesuatu yang memudahkan kita membuat pilihan dengan bijak. Kejayaan PRS bergantung kepada usaha berterusan oleh para pengawal selia, penyedia PRS dan semua rakyat untuk mempertingkatkan tahap kewangan warga emas kita.

Pendidikan dan penjelasan yang berterusan mesti dikekalkan supaya para ahli sentiasa diberi maklumat yang berguna dalam keputusan pemilihan mereka. Selain daripada itu, PRS juga harus mengambilkira golongan minoriti di kalangan kita seperti mereka yang kurang upaya.

Kita tidak mahu sesuatu yang diharapkan boleh membantu mereka di masa hadapan hilang begitu sahaja atau terbengkalai. Idea yang bagus harus dipupuk dan dijaga dengan rapi. Pengawasan dan maklumbalas daripada semua pihak perlu supaya segala kelemahan boleh dikenalpasti sebelum merebak menjadi nanah yang tidak boleh diubati lagi.

Biarlah apa juga masalah atau kekurangan yang timbul dalam PRS ditangani sejak awal supaya tidak menular di kemudian hari.