Seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Terkok, Lintang mati akibat jangkitan kuman kencing tikus pada 12 Mac 2012.
Keluarga R. Vinoth, pelatih yang meninggal dunia beberapa minggu lepas di kem di Sungai Siput itu, menggesa satu siasatan diadakan mengenainya. Laporan kematian oleh Jabatan Kesihatan Perak pada Mac 15 mengesahkan bahawa Vinoth meninggal dunia selepas dijangkiti Leptospirosis.
Kejadian seumpama ini menimbulkan banyak persoalan dan menambahkan kebimbangan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang menjadi pelatih PLKN.
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh seorang penulis blog, masterwordsmith patut menjadi renungan bersama termasuklah tentang pemeriksaan tahap keselamatan kem-kem sehinggalah langkah-langkah pencegahan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan para pelatih PLKN.
Soalan yang pasti menghantui kita ialah ke manakah arah tuju kita selepas ini?
Peruntukan belanjawan yang banyak telah digunakan untuk PLKN dan setakat ini, 12 pelatih telah meninggal dunia semasa latihan dan 5 yang lain meninggal dunia selepas menjalani latihan. Adakah program ini mesti diteruskan atau wang itu digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.
Adakah matlamat tercapai?
Menurut laman web Jabatan Latihan Khidmat Negara, kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti untuk menyertai PLKN adalah terdiri daripada remaja yang lahir pada tahun 1986 atau lepasan SPM yang berumur 18 tahun pada tahun 2004, iaitu tahun pertama program ini dilaksanakan.
Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
-
Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda
-
Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional
-
Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni
-
Menyemarakkan semangat kesukarelaan
-
Melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri
Cuba kita lihat satu-persatu objektif PLKN dan berterus-terang dengan diri sendiri adakah semua ini akan tercapai dalam masa tiga bulan latihan diadakan.
Semangat patriotisme di kalangan generasi muda seharusnya telah dipupuk semenjak anak-anak itu menjejakkan kaki ke sekolah. Mereka yang berumur 18 tahun telah sekurang-kurangnya belajar selama 11 tahun dan didedahkan dengan nilai-nilai warganegara yang taat setia dan menyayangi negaranya.
Peningkatan semangat patriotisme yang bagaimana yang hendak diterapkan ke dalam jiwa anak-anak ini ketika mereka berada dalam PLKN?
Kita juga tahu bahawa bukan semua golongan muda yang akan terpilih menyertai PLKN dan kalau hanya segelintir yang meningkat semangat patriotismenya, adakah ini bermakna yang lain tidak patriotik? Adakah mereka yang telah menjalani PLKN akan menjadi duta tidak rasmi meningkatkan semangat patriotisme rakan-rakan mereka yang tidak terpilih ke PLKN?
Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional bukanlah hanya melalui PLKN tetapi alam persekolahan dan persekitaran juga memainkan peranan penting dalam hal ini. Kalau misalnya, seorang pelajar berada dalam lingkungan rakan-rakan yang terdiri daripada satu kaum sahaja, tentulah mereka telah selesa dengan corak hidup seperti itu menjelang usia remaja.
Apabila menyertai PLKN, mereka bekerjasama dan menjalankan kegiatan berkumpulan selama tiga bulan bersama-sama rakan-rakan daripada kaum-kaum lain.
Pendedahan dalam tempoh waktu yang singkat ini boleh membuahkan hasil tetapi keberkesanannya tidaklah terjamin. Memang ada yang memupuk tali persahabatan dengan rakan-rakan daripada kaum-kaum lain yang mereka temui semasa latihan dan kekal rapat setelah tamat latihan tetapi berapa ramaikah yang boleh dikatakan termasuk di dalam kumpulan ini?
Melentur buluh biar dari rebung
Memupuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni tidaklah memerlukan PLKN sahaja malah nilai-nilai ini seharusnya telah ditanam semenjak bangku sekolah lagi. Kalau sudah berumur 18 tahun, seseorang itu pasti sudah mempunyai asas nilai-nilai murni yang membentuk perwatakan positif.
Memang benar pembentukan sifat seseorang itu ke arah yang lebih baik adalah satu usaha berterusan dan objektif PLKN dalam hal ini boleh dianggap sebagai memperkukuhkan apa yang telah disemai sebelum pelatih itu menyertai program berkenaan. Diharapkan juga bahawa apa yang dipelajari semasa latihan selama tiga bulan tersebut dipraktikkan di luar sana.
Kita semua memang terdedah dengan segala macam teori tentang kaedah membentuk perwatakan positif dan cara-cara mempraktikkannya tetapi apa yang lebih penting ialah individu itu sendiri. Dia sendiri yang bertanggungjawab sama ada mahu menggunapakai apa yang dipelajari dan mengamalkannya.
Semangat kesukarelaan juga memang tidak terhad dalam lingkungan tempoh latihan PLKN sahaja, malah seperti objektif-objektif yang lain, seharusnya telah didedahkan kepada para pelatih semenjak peringkat sekolah. PLKN hanyalah satu kaedah pengukuhan kepada apa yang telah dilalui semasa alam persekolahan.
Kalau hendak diharapkan PLKN semata-mata membentuk semangat kesukarelaan para pelatih, pendekatan itu mungkin memberi kesan jangka pendek sahaja ketika latihan diadakan. Semangat kesukarelaan yang berterusan menghadapi cabaran apabila para pelatih melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau mula bekerja.
Kekangan masa dan iltizam adalah dua faktor utama yang membantut semangat kesukarelaan di kalangan rakyat yang harus memikirkan tentang periuk nasi sendiri terlebih dahulu. Semangat kesukarelaan boleh diajar tetapi menerapkannya ke dalam jiwa para pelatih supaya ia tidak berkubur di alam nyata bukanlah tugas yang mudah.
Orang muda zaman sekarang
Adakah generasi muda hari ini tidak lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri berbanding generasi sebelumnya? Memang ada yang demikian tetapi majoriti generasi muda menunjukkan sifat-sifat yang positif hasil didikan keluarga dan sedikit sebanyak hasil usaha guru-guru yang berdedikasi ketika di bangku sekolah.
Sistem persekolahan kita banyak kelemahannya tetapi ada segelintir guru-guru yang sedar bahawa profesion yang mulia ini adalah satu kaedah membentuk generasi muda yang bersifat waja dan penuh iltizam. Guru-guru ini tahu bahawa anak-anak muda di bawah pengawasan mereka adalah benih yang harus dipupuk dan dibajai dengan baik supaya membesar dengan akar umbi yang kukuh, berpijak di bumi nyata tetapi menjulang tinggi mencapai cita-cita masing-masing.
Pucuk pangkalnya adalah pendidikan semasa di sekolah. Alam persekolahan mengambil hampir separuh daripada masa anak-anak ketika di luar pengawasan ibu bapa. Penekanan yang lebih mesti diberikan supaya sistem pendidikan kita benar-benar mewujudkan rakyat yang patriotik, bersatu-padu tidak mengira kaum, mempunyai perwatakan positif dan semangat kesukarelaan serta lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.
Kalau sistem pendidikan kita harus digubal semula supaya objektif-objektif tersebut berjaya dilaksanakan, kita mesti melakukannya.
Sistem pendidikan yang lebih menyeluruh dan tidak menekankan hasil kerja akademik semata-mata mestilah dilaksanakan secepat mungkin jika kita benar-benar mahu rakyat yang menjiwai segala objecktif yang digariskan dalam misi dan visi PLKN.
PLKN hanyalah latihan selama tiga bulan. Kita perlu menghadapi kenyataan bahawa tiga bulan tidak akan mengubah atau membentuk perwatakan dan pandangan seseorang dengan sebegitu mudah jika sebelumnya remaja tersebut tidak didedahkan kepada semua nilai-nilai yang hendak diterapkan tadi.