graduationSatu tayangan filem dokumentari Chile Uprising terbitan Al-Jazeera tentang bantahan pelajar Chile terhadap sistem pendidikan di negara mereka telah diadakan pada 10 Februari baru-baru ini disusuli perbicangan dengan tajuk ‘Universiti Percuma Untuk Semua’.  Fasilatator pada majlis tersebut ialah Fahmi Reza yang telah menghasilkan dokomentari ‘10 tahun sebelum Merdeka’ beberapa tahun lalu.

Dokumentari Chile Uprising memaparkan desakan para pelajar supaya kerajaan Chile mengubah sistem pendidikan yang begitu mahal perbelanjaannya dan hampir setiap minggu mereka berdemontrasi. Tindakan mereka ini adalah usaha yang dibuat dalam menghentikan penswastaan pendidikan. Mereka mahu sistem pendidikan percuma untuk semua dan bukan hanya untuk golongan tertentu yang mampu sahaja. Adakah situasi di Chile sama seperti di Malaysia?

Majoriti mereka yang hadir di tayangan filem tersebut bersetuju bahawa pendidikan pada peringkat universiti mestilah percuma supaya semua yang berkelayakan berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Seorang hadirin mempersoalkan kenapa dia mesti membayar kos pendidikannya kerana cukai yang dibayar oleh rakyat seharusnya mencukupi untuk menampung kos pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti.

Hanya tiga atau empat orang daripada hadirin seramai lebih kurang 30 orang tidak bersetuju dengan pendekatan itu. Mereka yang tidak bersetuju memberikan hujah bahawa kerajaan memang tidak mampu menyediakan universiti untuk semua pelajar yang berkelayakan dan kerana itulah kini terdapat banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk menampung permintaan tadi.

Sektor pendidikan diperuntukkan RM50.2 billion iaitu 21.6 peratus daripada jumlah belanjawan 2012 sebanyak RM232.8 billion. Jumlah yang sebegitu besar masih tidak mampu menambah bilangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

Mereka yang menyokong supaya pendidikan peringkat tinggi diberi percuma memberi contoh perbezaan kos di antara pengajian di IPTA berbanding dengan di IPTS. Secara purata kursus selama tiga tahun di IPTA hanya memerlukan RM10,000 berbanding jumlah yang boleh mencecah empat ke lima kali ganda lebih banyak di IPTS dan mungkin lebih tinggi bergantung pada kursus yang diambil.

Ada yang memberi contoh tentang pengalamannya sendiri yang semenjak peringkat sekolah rendah terpaksa bertungkus-lumus mencari dana untuk pendidikan kerana dia dari sistem sekolah persendirian Cina. Padanya, IPTS adalah satu-satunya peluang untuk dia melanjutkan pelajaran di dalam negara kerana kelulusannya tidak diterima oleh IPTA.

Sistem kuota yang memanjakan

Seorang pelajar menimbulkan persoalan mutu graduan yang dihasilkan jika pendidikan peringkat universiti diberi percuma kepada semua yang berkelayakan. Pada pandangannya kualiti para graduan mungkin menurun kerana tidak ada insentif untuk memperbaiki diri apabila pendidikan peringkat universiti boleh didapati sebegitu mudah.

Hujah yang menyangkal dakwaan itu menyatakan bahawa kualiti seseorang graduan bukan hanya bergantung pada pencapaian akademiknya malah bergantung juga pada hasil kerja yang dihasilkan. Kelulusan akademik yang cemerlang tidak menjanjikan mutu kerja yang baik apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Satu lagi persoalan timbul apabila faktor kuota dimansuhkan jika pendidikan sehingga ke peringkat universiti diberi percuma. Adakah golongan bumiputera sanggup menghadapi saingan yang akan timbul?

Seorang pelajar Malaysian Institute of Art (MIA) menyatakan betapa pengalaman sebagai satu-satunya orang Melayu di dalam kelasnya tidak melunturkan semangatnya untuk belajar. Ada yang berpendapat masih ramai kaum bumiputera yang konservatif dan mahu mempertahankan sistem kuota yang sedia ada. Golongan konservatif ini tidak bermasalah jika kewujudan IPTS bertambah selagi IPTA kekal dengan sistem kuota mengikut kaum.

Fenomena IPTS yang semakin banyak boleh dilihat sejak sepuluh tahun kebelakangan dan kemungkinan pertambahan IPTA yang sama banyak jumlahnya tidak ada dalam perancangan kerajaan.

Tahun 1960an menyaksikan hanya Universiti Malaya yang wujud sebagai pilihan peringkat ijazah di dalam negara. Lama-kelamaan universiti-universiti lain dibina untuk menampung bilangan yang memerlukan pendidikan peringkat tinggi sehinggalah pada masa ini wujud IPTA di setiap negeri.

Malangnya pertambahan bilangan IPTA masih tidak mencukupi dan IPTS diberi peluang mengambil bahagian dalam sistem pendidikan negara, menawarkan satu lagi jalan memperolehi segulung ijazah.

Budaya keuntungan dalam IPTS

Perbezaan ketara dalam kursus yang ditawarkan oleh IPTA berbanding IPTS mencerminkan bahawa IPTS memang bermotifkan keuntungan. Matlamat utama IPTS diwujudkan adalah memenuhi kehendak sektor pekerjaan yang memerlukan para graduan yang dilatih di dalam bidang-bidang tertentu.

Bilangan IPTS yang menawarkan kursus-kursus yang tidak memberi pulangan ekonomi pula seperti falsafah atau kesusasteraan tidaklah banyak. Sememangnya kursus-kursus yang ditawarkan oleh IPTS bersifat praktik dan boleh menjadi pasport kepada kehidupan yang lebih selesa. Malangnya kos yang tinggi di IPTS menghalang mereka yang berminat dan tidak berkemampuan menyertai kursus-kursus yang ditawarkan.

Walaupun Perbadanan Tabung Pendidkan Tinggi Nasional (PTPTN) diwujudkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan, para graduan akan dibebani tanggungjawab membayar balik pinjaman yang diterima apabila mereka mula bekerja. Kos hidup yang semakin tinggi menyaksikan ramai yang gagal menunaikan tanggungjawab tersebut.

Sikap liat membayar balik pinjaman ini memberi kesan kepada jumlah dana yang tersedia di dalam PTPTN. Generasi akan datang tersepit mencari dana untuk membiayai pendidikan mereka kerana generasi sebelumnya tidak melunaskan pinjaman yang diberi.

Pada awal tahun 2011 ada pula berita yang memetik Menteri Pelajaran berkata bahawa kerajaan akan menimbangkan menswastakan sekolah tertentu. Jika berita ini menjadi kenyataan, bermakna para pelajar tidak akan menerima pendidikan percuma seperti sekarang malahan wang yang lebih banyak mesti dikeluarkan di setiap peringkat.

Samalah keadaannya seperti di Chile dengan peluang pendidikan hanya terhad kepada kumpulan yang mampu. Nampaknya terpesonglah hak rakyat yang termaktub di dalam perlembagaan negara kerana bukankah pendidikan merupakan hak asasi setiap orang selain daripada makanan dan tempat kediaman?