Satu anekdot tentang sistem ekonomi sosial Presiden Barack Obama memang menarik tetapi rupa-rupanya bukanlah berlandaskan kejadian yang benar malah lebih merupakan lagenda yang telah berkembang-biak ke alam siber.
Variasi asal rencana itu – ‘The Obama Experiment’ Causes Economics Professor to Fail Entire Class – pun mungkin bermula se-awal 1994 mengikut setengah-setengah pendapat.
Versi terbaru menyebut tentang seorang profesor ekonomi yang tidak pernah menggagalkan seorang pun pelajarnya tetapi baru-baru ini telah menggagalkan seluruh kelas yang diajarnya. Pelajar-pelajar di kelas itu berkeras mengatakan bahawa sistem sosial versi Obama boleh berjaya dan kelak tidak akan ada orang yang kaya atau miskin, semuanya sama rata.
Profesor itu bersetuju menjalankan satu percubaan di kelas tersebut. Semua markah akan dipuratakan supaya semua pelajar mendapat markah yang sama. Ini bererti tidak ada pelajar yang gagal dan tidak ada pula yang mendapat markah ‘A’. Setelah ujian pertama dijalankan, markah telah dipurata dan semua pelajar mendapat ‘B’.
Mereka yang bertungkus-lumus belajar tidak puas hati sementara yang tidak belajar bersungguh-sungguh amat gembira. Menjelang ujian kedua, mereka yang tidak belajar bersungguh-sungguh semakin liat belajar dan yang rajin belajar pula mengambil keputusan mereka juga tidak mahu bekerja keras dan tidak belajar setekun dahulu.
Markah purata untuk ujian kedua ialah ‘D’ dan tidak ada sesiapa pun yang berpuas hati manakala ujian ketiga menghasilkan markah purata ‘F’. Keputusan ujian seterusnya tidak menampakkan peningkatan, malah bertambah kacau dengan perbalahan yang timbul di kalangan mereka, menyalahkan orang lain dan tidak ada yang mahu berkorban, belajar untuk faedah orang lain.
Semua pelajar tadi gagal di dalam ujian dan profesor itu menyatakan sosialisme juga akan gagal kerana usaha untuk berjaya meningkat apabila faedahnya lumayan, tetapi apabila kerajaan menarik balik semua faedah yang ada, tidak ada sesiapa yang akan mencuba atau mahu berjaya.
Anekdot ini berakhir dengan beberapa kenyataan tetapi mungkin yang paling relevan pada kita di Malaysia ialah kenyataan berhubung tanda permulaan kejatuhan sesebuah negara yang akan berlaku apabila sebahagian daripada kita mendapat idea bahawa kita tidak perlu bekerja lagi kerana sebahagian yang lain akan sentiasa membantu, dan apabila yang membantu pula mendapat idea bahawa tidak ada gunanya bekerja kerana akan sentiasa ada pihak lain yang akan mendapat faedah daripada titik peluh mereka.
Bukankah ini senario yang kita hadapi saban waktu di negara ini?
Bantuan yang memanjakan penerima
Pendekatan di sini tidaklah sama kerana pemerintah sentiasa mengingatkan bahawa semua rancangan hanyalah bantuan sementara. Skim bantuan terbaru, Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) adalah satu contoh skim bantuan jangka pnedek untuk meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah.
Menurut kenyataan akhbar Kementerian Kewangan, hasil daripada pembentangan Bajet 2012, kerajaan memberi bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.
Kriteria untuk BR1M berbeza dengan kelayakan umum untuk memohon Bantuan Kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Permohonan untuk Bantuan Kebajikan mengambilkira pendapatan keluarga di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu RM720 di Semenanjung, RM380 di Sarawak dan RM960 di Sabah.
Oleh itu secara kasar, isi rumah yang berpendapatan di antara RM1,000 sehingga RM3,000 sedang menghadapi kesukaran untuk membiayai kehidupan seharian mereka dengan jumlah pendapatan sejumlah itu, lebih-lebih lagi jika mereka tinggal di bandar. Mereka tersepit di tengah-tengah, tidak layak untuk bantuan kebajikan tetapi pendapatan mereka masih tidak mencukupi untuk mengharungi arus hidup yang penuh cabaran.
Apakah bantuan one-off RM500 akan memberi makna atau permulaan untuk hidup yang lebih selesa pada masa depan? Di sinilah timbul persoalan sama ada kumpulan ini akan menunggu atau mendesak supaya bantuan seumpama ini diadakan selama-lamanya, ataupun menjadikan bantuan ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Mana yang lebih mudah? Kalau sudah lama dimanjakan dengan bantuan demi bantuan, pastilah menunggu bantuan itu lebih mudah. Insentif untuk berdikari mungkin ada disediakan tetapi penekanan lebih banyak diberikan kepada bantuan itu sendiri.
Setakat ini berita tentang BR1M sering menunjukkan barisan panjang mereka yang mahu mengambil kesempatan menerima bantuan di samping berpeluang bersalaman dengan tokoh-tokoh kerajaan yang ke hulu hilir menabur bakti.
Media arus perdana ada menyiarkan wajah-wajah yang tersenyum gembira setelah menerima bantuan tersebut dan mereka yang diwawancara akan menyatakan apa yang akan dilakukan dengan bantuan yang diterima. Kebanyakan penerima akan menggunakan bantuan tersebut untuk membeli apa yang diperlukan pada waktu yang terdekat dan jarang sekali yang menyatakan wang itu akan digunakan untuk matlamat jangka panjang. RM500 pada tahun 2012 memang tidak banyak apabila belanjawan harian yang semakin tinggi diambilkira.
Apabila barangan asas walaupun dengan bantuan subsidi semakin tinggi harganya, bantuan BR1M kurang berkesan untuk menangani kemelut kehidupan. Setiap ketua keluarga akan terus bergelut dengan cabaran mencari pendapatan yang mencukupi untuk masa hadapan. Setiap keluarga yang mempunyai anak harus melihat kepada perancangan yang meliputi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun, dari peringkat bayi hinggalah si anak menjejakkan kaki ke kolej atau universiti. Adakah mana-mana agensi kerajaan yang berperanan membantu dalam proses jangka panjang ini?
Skim jangka pendek menutup kekurangan
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara1Malaysia) yang baru dilancarkan mungkin memenuhi matlamat jangka panjang untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah. Kelayakan minimum hampir sama dengan BR1M iaitu pemohon hendaklah mempunyai pendapatan isi rumah bulanan di antara RM500-RM3,000. Mereka layak membuat permohonan pinjaman sebanyak RM5,000 daripada institusi kewangan yang terpilih untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia).
Insentif bulanan akan diberikan dalam bentuk unit tambahan AS 1Malaysia dan para peserta hanya perlu membayar ansuran bulanan minimum selama 5 tahun. Sejumlah RM500 juta diperuntukkan kepada 100,000 pemohon yang layak. Memang ramai yang menyatakan skim ini adalah sesuatu yang dialu-alukan jika diselenggarakan dengan betul.
Ada juga yang sangsi tentang keberkesanan skim ini membantu kumpulan yang disasarkan. Salah seorang daripadanya, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan memberi pendapat bahawa seharusnya keperluan harian kumpulan berpendapatan rendah yang perlu diberi lebih penekanan. Dia menambah bahawa apa yang lebih diperlukan ialah sistem pendidikan dan kesihatan yang baik.
Skim-skim yang dilancarkan satu demi satu semenjak beberapa tahun kebelakangan ini memang menarik dan kelihatan begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat terutama sekali yang berpendapatan rendah. Apakah ini pendekatan paling sesuai untuk membantu kumpulan sasaran ini?
Setakat ini para perancang ekonomi negara menggunakan skim-skim ini sebagai kaedah menutup kekurangan yang kelihatan di mata kasar. Apa yang dinanti-nantikan rakyat bukan sahaja bantuan wang ringgit sekali-sekala, tetapi satu anjakan pradigma dalam menangani kelemahan dalam falsafah asas sistem ekonomi negara.
Apabila wujud kumpulan yang sentiasa menanti, dan menganggap bantuan seumur hidup adalah hak mereka, selagi itulah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan sanggup berusaha mengubah nasib mereka, akan terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara.