Saya telah berpeluang menonton filem The Lives of Others pada Disember 11 baru-baru ini sempena Hari Hak Asasi Manusia yang diraikan secara rasmi pada sehari sebelum itu.

Filem ini merupakan filem terakhir setelah lima filem sebelumnya yang ditayangkan kepada orang ramai semenjak 5 Disember 2011. Selepas setiap tayangan filem, terdapat ahli-ahli panel yang memberikan pandangan mereka tentang filem itu dan isu-isu yang berkaitan.

Untuk tayangan filem ini, Kee Thuan Chye seorang penulis drama, pelakon dan penulis; Alfian Sa'at seorang aktivis dan penulis drama serta Yin Shao Loong, seorang penganalisa politik merupakan ahli-ahli panelnya.

Filem ini berlatarbelakangkan keadaan di Jerman Timur sebelum runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Seorang pegawai Stasi (badan perisik negara Jerman Timur) telah ditugaskan mengawasi segala pergerakan seorang penulis drama yang sepanjang diketahui merupakan seorang nasionalis yang bangga dengan negaranya.

Semua penyelidikan ke atas penulis drama itu bermula kerana seorang menteri mahukan teman wanita penulis itu untuk dirinya sendiri. Bermulalah kisah pengawasan yang begitu terperinci dengan bantuan segala peralatan perisik yang ada di dalam simpanan badan perisik negara.

Pada mulanya pegawai Stasi itu memang menjalankan tugasnya seperti yang diamanahkan tetapi lama kelamaan timbul kesangsian dia sendiri yang menyoal sejauh mana dia mesti menurut arahan.

Segala rancangan dan taktik yang seharusnya digunakan untuk menjatuhkan penulis drama itu tidak berhasil bukan sahaja kerana kelalaian pegawai Stasi itu sendiri tetapi sikap pegawai itu yang lebih terbuka semakin lama dia mengekori mangsanya. Pegawai itu juga melihat keadaan dengan pandangan yang berbeza daripada ketuanya dan timbul pula perasaan peri kemanusiaan terhadap orang yang diselidiknya.

Pada mulanya mengawasi komunis

Ahli panel Yin Shao Loong pula menceritakan secara ringkas sejarah penubuhan cawangan khas polis yang ditugaskan untuk merisik rahsia.

Cawangan Khas di Malaysia memang asalnya dari acuan yang sama seperti apa yang ada di Britain dan diwujudkan di negara ini untuk menangani anasir-anasir subversif yang berkemungkinan memporak-perandakan keamanan negara. Khidmat mereka amat dibanggakan kerana merupakan salah satu pasukan yang memberikan sumbangan besar dalam usaha menentang ancaman komunis ketika Darurat 1948-1960.

Tugas Cawangan Khas bertukar rupa setelah zaman darurat. Apa yang ditangani bukan lagi komunis tetapi lebih kepada apa juga yang bertentangan dengan ideologi parti pemerintah. Garis pemisah di antara apa yang sepatutnya ditangani demi keselematan negara dan apa yang tidak dipersetujui parti pemerintah menjadi kabur.

Pendapat yang berbeza mungkin sahaja mengundang pengawasan yang tidak diundang dan yang lebih terperinci daripada pihak Cawangan Khas.

Maklumat peribadi diketahui polis

watchingPandangan daripada seorang hadirin tentang bagaimana ibunya sendiri menasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila menyuarakan pendapat yang berbeza mendapat reaksi daripada Kee Thuan Chye.

Kee bersetuju bahawa kita tidak tahu siapa yang sedang mendengar perbualan kita. Bukanlah sengaja hendak menakut-nakutkan atau menjadi paranoid tetapi dia sendiri mempunyai seorang teman yang telah disoal pihak polis dan maklumat yang dimilki pihak polis memang sesuatu yang peribadi. Kawannya terkejut dan tidak sedar bagaimana maklumat yang amat peribadi boleh diketahui polis.

Salah satu adegan dalam filem itu menunjukkan bagaimana teman wanita penulis drama tersebut mendedahkan rahsia di mana tersimpannya mesin taip yang dikehendaki oleh pihak penyiasat. Adegan ini menimbulkan persoalan daripada seorang hadirin yang sangsi sama ada dirinya sendiri atau sesiapa sahaja akan terus bersedia menyimpan rahsia teman yang mereka kenali jika berhadapan dengan pihak penyiasat dan dikenakan pelbagai tekanan psikologi dan atau fizikal.

Para panel berpendapat kita semua akan menyerah kalah pada satu tahap tertentu, cuma apa yang membezakan antara kita semua ialah sejauh mana kita akan bertahan apabila kita tertekan.

Kee memberi contoh bagaimana A. Samad Ismail yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri menghadapi segala tekanan. Pak Samad memberitahunya bahawa walau apapun yang terjadi, kita mesti sedaya upaya memelihara kekuatan mental kita.

Memberi pendapatnya, Alfian menambah bahawa walau sejauh mana pihak penyiasat berjaya mencungkil rahsia daripada seseorang, masih ada sesuatu dalam jiwa kita yang tidak akan dapat diselami oleh sesiapapun kecuali kita sendiri. Alfian memberikan contoh Chia Thye Poh, yang merupakan tahanan politik paling lama di Singapura yang tidak pernah berganjak daripada pegangannya walaupun dituduh sebagai seorang komunis.

Penjara yang tidak dikunci

Apakah situasi dalam filem The Lives of Others mempunyai persamaan dengan apa juga yang sedang berlaku di Malaysia ketika ini?

Mungkin ya dan mungkin tidak.

Setakat manakah mereka yang berkuasa memerhati segala gerak-geri rakyatnya?

Kita bebas, kata sesetengah orang kerana hakikatnya kita tidak dipenjara. Tetapi ada pula yang mengatakan bahawa kita semua terperangkap di dalam sebuah penjara yang besar. Bukankah semakin banyak mata-mata berada di sekeliling kita?

Kamera CCTV yang digunakan sebagai bantuan dalam mencegah kes-kes jenayah berlaku, boleh juga digunakan sebagai alat pemerhati apa yang sedang dilakukan oleh seluruh rakyat. Memang manfaatnya banyak tetapi timbul keraguan apabila alat bantuan ini disalahgunakan. Itulah persoalan yang harus difikirkan.

Siapakah yang berkuasa sebenarnya dalam menentukan apa yang patut diteliti dan diselidik?

Lali dengan separa-demokrasi

Di dalam sebuah sistem demokrasi, sudah seharusnya perkara-perkara yang melibatkan soal peribadi tidak seharusnya menjadi milik negara. Pihak keselamatan mempunyai tugas dan hak membanteras anasir-anasir yang boleh memecahbelahkan negara dan menggugat keamanannya. Pihak ini juga berhak mengambil langkah pro-aktif jika memang ada bukti yang menyokong tindakan sedemikian.

Masalah utama yang membimbangkan orang ramai ialah apabila ada tindakan yang diambil sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh. Kenyataan akhbar yang samar-samar atau memberi jawapan bahawa maklumat terperinci tidak boleh diberikan kerana mungkin menjejaskan keselamatan harus dipertimbangkan semula.

Bukan semua maklumat yang berkaitan dengan sesuatu kes perlu tersembunyi selama-lamanya. Rakyat perlu tahu dan berhak mengetahui kenapa sesuatu tindakan diambil. Kalau tidak, pihak penyiasat boleh sahaja memberi pelbagai alasan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Ketika itu, bolehlah diibaratkan kita berada di Jerman Timur sebelum runtuhnya Tembok Berlin. Perbezaan paling ketara mungkin kerana kita berada di dalam penjara yang lebih besar dan kita telah lali dengan apa juga kekangan yang wujud.