Membaca atau mendengar perutusan Perdana Menteri Najib Razak sempena tahun baru 2011 memberi semangat dan keyakinan kepada rakyat negara ini bahawa masa depan semua amat cerah, gilang gemilang. Apa yang perlu ialah iltizam dan kerja keras daripada semua pihak.

 

Menurut perutusan beliau, kerajaan telah berjaya mengharungi kemelut ekonomi pada tahun 2009 dan sedang bergerak maju dalam mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi sepuluh tahun lagi. Pelancaran Program Tranfromasi Kerajaan diharap menjadi pemangkin ke arah mencapai matlamat tersebut. Program Transformasi Ekonomi pula diharapkan menjadi teras kepada Model Baru Ekonomi.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan menjadikan jentera kerajaan lebih berkesan dalam penyampaian khidmatnya di samping meningkatkan akauntabiliti untuk pencapaian. Ia merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas atau NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar. Memang tugas yang berat.

Apa yang membanggakan ialah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri menyedari hakikat bahawa GTP mungkin menghadapi cabaran dan halangan yang tidak dapat dielakkan dalam pelaksanaannya. Menurut laman sesawangnya, dalam program transformasi yang berskala besar sebegini, adalah menjadi perkara biasa keadaan akan menjadi lebih buruk – atau merasakan keadaan menjadi lebih buruk – sebelum ia menjadi lebih baik.

Siapalah agaknya di antara kita yang akan mengalami keadaan yang lebih buruk ini sebelum keadaan menjadi lebih baik. Walaupun mencabar, program mesti terus dilaksanakan. Rakyat sudah pasti menunggu laporan kemajuan tahunan pertama yang dijangka diterbitkan bermula suku pertama 2011 untuk menilai keberkesanan rancangan-rancangan yang dimulakan.

Prestasi polis

Menurut kajian TNS Research International, sebuah kumpulan penyelidikan pasaran antarabangsa, perasaan bimbang kemungkinan jadi mangsa jenayah di kalangan rakyat Malaysia telah berkurangan dari 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 55.1 peratus pada Mei 2010. Ini pasti satu gambaran positif tentang keberkesanan GTP dalam NKRA bagi mengurangkan jenayah sejak inisiatif itu dimulakan akhir 2009.

 

Pengurangan itu memang sesuatu yang positif tetapi jika dilihat dari sudut yang lain masih ada 44.9 peratus penduduk yang masih bimbang tentang kemungkinan menjadi mangsa jenayah. Secara kasar tahap kebimbangan penduduk berkurangan sebanyak 3.4 peratus dalam tempoh enam bulan. Angka yang kecil tetapi harap-harap tidaklah kekal sekecil itu sepanjang tahun kerana perasaan bimbang mesti dihapuskan seberapa pantas yang mungkin.

Orang ramai perlu yakin bahawa kehidupan harian mereka tidak diganggu-gugat oleh kemungkinan jenayah menimpa mereka. Rakyat berhak menikmati hidup yang lebih aman damai dan tidak sentiasa diselubungi perasaan bimbang dan takut bahawa harta benda malahan nyawa mereka mungkin terancam oleh penjenayah.

Di sinilah perlunya kerjasama di antara pihak berkuasa dan orang awam dipertingkatkan. Pada masa ini hubungan di antara kedua-dua belah pihak masih kurang dirasai. Mungkin perhubungan yang masih belum begitu erat ini juga melibatkan persepsi negatif tentang mereka yang dipertanggungjawabkan memegang amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman orang awam. Persepsi yang sinis masih menyelubungi benak fikiran orang ramai apabila memperkatakan tentang mereka yang semestinya menjaga keselamatan awam.

Pemberi rasuah disasarkan

Keyakinan dan persepsi orang ramai tentang kakitangan kerajaan memang lebih cenderung kepada perkara-perkara yang negatif. Salah satu persepsi yang seolah-olah sudah sebati dengan jiwa orang ramai ialah tanggapan tentang rasuah dan kakitangan awam. Oleh kerana itulah kerajaan juga memberi penekanan khusus membanteras gejala rasuah di bawah GTP termasuk meraih semula keyakinan orang ramai terhadap agensi kawal selia dan penguatkuasaan seperti polis, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam usaha membanteras rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.

Berdasarkan rekod SPRM, tangkapan terhadap kakitangan sektor awam kerana menerima rasuah semakin menurun iaitu 303 pada 2007, berkurangan kepada 282 (2008) dan 194 pada tahun 2009. Bagaimanapun, jumlah tangkapan di kalangan sektor swasta, yang sebahagian besarnya membabitkan pemberi rasuah menunjukkan jumlah yang agak signifikan iaitu 288 pada 2007; 317 (2008) dan 283 (2009). Bertepuk tangan sebelah takkan berbunyi, itulah hakikatnya.

Mengurangkan jenayah dan membanteras rasuah memerlukan usaha yang berterusan daripada semua pihak. GTP atau apa sahaja program yang hendak dilaksanakan mesti mengambilkira kedua-dua aspek ini kerana jenayah dan rasuah memang bergandingan.

Kerjasama rakyat diperlukan

Jenayah kecil atau besar memberi kesan kepada semua. Ada sahaja yang mengaku bahawa dia pernah mengalami sendiri atau mengenali rakan atau saudara yang menjadi mangsa jenayah ataupun yang terlibat sebagai penerima atau pemberi rasuah. Apabila ditanya adakah peristiwa itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, ramai yang memberi jawapan yang negatif. Kenapa? Mereka kurang yakin dengan tindakan susulan yang akan diambil.

Sia-sia sahaja masa terbuang untuk membuat laporan, tambahan pula jika peristiwa itu merupakan kes yang kecil sahaja. Persepsi mereka yang terlibat ialah lebih baik berdiam diri sahaja daripada melalui kerenah birokrasi hanya untuk membuat laporan tentang sesuatu kes jenayah yang kecil seperti meragut beg tangan ketika berjalan ke tempat kerja. Mungkin juga sogokan yang dberi pula melibatkan jumlah wang yang kecil sahaja, sekadar duit kopi.

Persepsi memainkan peranan yang besar dalam hidup orang ramai. Betapa gah program, rancangan atau projek yang dilancarkan tetapi jika perlaksanaannya tidak menunjukkan peningkatan yang dikehendaki, tidak ramai yang akan menerima. Pelaksanaan untuk mengubah sesuatu akan mengambil masa yang lama setelah bertahun-tahun diulit dengan status quo yang sedia wujud.

Pemandu jujur apabila menyatakan bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum menjadi lebih baik. Perdana Menteri sendiri menyatakan dalam perutusan tahun barunya bahawa segala yang dirancang dan hendak dilaksanakan tidak akan menemui kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat. Katanya lagi bahawa kita janganlah menjadi pengkritik sahaja tetapi hendaklah bersama-sama cuba mencapai impian menjadikan Malaysia negara yang berjaya.

Memang semua mahukan negara ini berjaya.