Berita yang tersiar di Borneo Post, 5 November 2010, sekali lagi menimbulkan persoalan, dimanakah hak dan apakah sebenarnya yang dibolehkan untuk rakyat Malaysia yang bukan Islam.Kali ini seorang ibu mendakwa anaknya yang berumur 10 tahun dirotan 10 kali kerana membawa makanan yang tidak halal ke sekolah. Ibu itu pergi ke sekolah anaknya dan meminta penjelasan daripada pihak sekolah tetapi penolong kanan sekolah hanya memberitahu “Jangan besar-besarkan hal, kerana ini isu yang cukup sensitif di kalangan orang-orang Islam???. Satu jawapan bertulis daripada pihak sekolah selepas itupun tidak menjelaskan kenapa anaknya perlu dirotan 10 kali kerana membawa makanan yang tidak halal.

Seperti yang kita sedia maklum, makanan yang tersedia di kantin-kantin sekolah bukanlah yang paling berkhasiat atau paling murah. Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, ibu bapayang prihatin lebih gemar dan digalakkan menyediakan makanan sendiri untuk dibawa sama ada kesekolah atau ke tempat kerja. Oleh itu, terpulanglah pada keluarga masing-masing apa yang hendak disajikan. Makanan yang dibawa bukan untuk dikongsi bersama tetapi untuk santapan sendiri. Anak-anak telahpun diajar bahawa ada makanan yang tidak boleh dimakan oleh rakan-rakan mereka, bukan sahaja meliputi yang tidak halal untuk orang Islam tetapi termasuk juga daging untuk penganut agama Buddha dan Hindu yang mahu menurut perintah agama masing-masing.

Kalau benarlah isu sensitif di kalangan penganut agama Islam yang menjadi punca hukuman terhadap budak itu, kenapa pula sensitiviti penganut agama lain tidak diambilkira? Mungkinkah ini agenda pengIslaman Malaysia? Penerapan nilai-nilai Islam dalam semua bidang hidup, darilahir hinggalah ke liang lahat mesti mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam sahaja. Pedulikan yang lain-lain kerana seperti kata setengah-setengah pendidik, mereka adalah pendatang dan memangdipersilakan pulang ke negeri masing-masing.Tidak ada tempat untuk mereka di Malaysia.

Cakap tak serupa bikin

Tetapi apa pula kenyataan para pemimpin parti pemerintah? Mereka sering berucap bahawa semua diperlukan untuk membangun negara, tanpa mengambilkira asal keturunan. Perdana Menteri Malaysia berkata pada sambutan Tahun Baru Cina 2010, "Kita perlu berani dan lebih berusaha untuk mengenali rakan kita dengan lebih baik dan juga perlu lebih dinamik dan komited di tempat kerja, bagi membolehkan kita memberi sumbangan lebih baik kepada masyarakat dan negara."Bagaimana kita hendak mengenali rakan kita jika para pendidik menghalang interaksi di kalangan kanak-kanak sekolah? Bukankah sekolah merupakan salah satu tempat menanam dan memupuk benih perpaduan?

Tetapi tindakan para pendidik dan pentadbir akhir-akhir ini semakin lama semakin mengekang dan menghalang cita-cita dan impian menjadi 1Malaysia. Apa yang kelihatan lebih mirip kepada agenda berkecailah Malaysia. Keharmonian hidup antara kaum di Sabah dan Sarawak telah lama menjadi contoh terbaik bagaimana hidup berbilang kaum patut diamalkan. Malang sekali, para pentadbir dari Semenanjung Malaysia cuba sedaya upaya mengubah semua itu dan mahu menerapkan nilai-nilai versi Semenanjung ke sana. Malaysia perlu mengikut acuan Semenanjung, kalau tidak berkecailah kita? Apa yang diutarakan oleh pentadbir lebih berkemungkinan membawa perpercahan Malaysia.

Cuba tanya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak. Rata-rata mereka akan berkata bahawa negeri mereka telah dieksploitasi oleh rakan-rakan senegara dari seberang Laut Cina Selatan dan tidak ragu-ragu jika diberi peluang untuk berpisah daripada genggaman pihak persekutuan di Kuala Lumpur. Jangan pula ditanya mereka yang berkedudukan tinggi dan berkuasa di kalangan pihak pemerintah di Sabah dan Sarawak. Jawapan yang diterima sudah semestinya adalah bertentangan. Yang berkuasa tentu punya kepentingan, yang tidak berkuasa yang akan terus menderita.

1Bangsa, 1Agama

Rakyat, bukan pemerintah, adalah tonggak utama sesebuah negara. Itu satu hakikat. Pemerintah pula diamanahkan untuk membawa negara ke depan, ke arah yang lebih baik, untuk semua. Rakyat mengundi mereka di setiap pilihanraya supaya boleh mempertahan hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara. Mereka diundi bukan sebagai pemangkin perosak hidup seharian rakyat jelata. Kalau rakyat tidak boleh mengamalkan budaya hidup dan pegangan agama masing-masing tanpa was-was dan rasa tertekan, siapa yang patut bertanggungjawab?

Mungkin benar seperti spekulasi setengah-setengah ahli sosiologi bahawa pemerintah Malaysia, dengan tampuk kepimpinan dari Semenanjung Malaysia memang mahukan negara ini terdiri daripada satu kaum dan agama sahaja. Rakyat yang tidak sehaluan digalakkan berhijrah ke mana sahaja yang mereka suka dan yang masih mahu menetap di sini mesti patuh dan akur dengan apa juga yang ditetapkan. Teringat pula tentang Idi Amin, pemerintah Uganda yang menghalau rakyat keturunan India dan Pakistan dari negara itu pada tahun 1972. Pemerintah Malaysia lebih licik. Strateginya lebih halus dan setakat ini memang membawa kesan yang dikehendaki.

Mungkinkah pihak pemerintah Malaysia akan mengikut jejak langkah Brunei kerana di negera tersebut, majoriti penduduk berbangsa Cina misalnya hanyalah pemastautin tetap dan ramai yang tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara. Jika ini cita-cita pemerintah, berterus-teranglah. Para pemimpin acap kali berkata semua pihak diperlukan untuk membangunkan negara. Tetapi kalau ada pihak yang tidak senang dengan kehadiran rakyat yang bukan dari golongan atau puakyang seangkatan, berterus-teranglah. Tidak perlu berselindung lagi. Kalau sudah bosan dengan kehendak golongan lain yang hanya mahukan hak mereka yang semakin hari semakin terhakis, pinda sahaja perlembagaan negara.

Pemindaan perlembagaan memerlukan sokonmgan semua dan pihak pemerintah kelihatan bersungguh-sungguh tanpa mengenal jerih-payah untuk menang semula pilihanraya umum yang akan datang. Memang iltizam mereka tidak kenal erti jemu dan bosan kerana matlamat akhir membentuk Malaysia sebagai sebuah negara, satu bangsa, satu kaum, satu agama mesti dilaksanakan.