Tiang seri demokrasi tidak akan terbina subur tanpa kehadiran suatu jaminan terhadap penegakan hak asasi manusia. Sebaliknya penegakan hak asasi manusia itu boleh terjamin jika wujudnya tiang-tiang seri demokrasi yang berfungsi.
Kita sedia maklum tiang-tiang seri demokrasi seperti institusi kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan Polis sebagai pengawal keselamatan tidak lagi berfungsi bebas malah mereka nyata memilih bulu.
Kali ini institusi Parlimen pula sedang rapuh.
Ketika hak-hak dasar kemanusiaan tidak mendapat perlindungan oleh negara yang kononnya menganut sistem demokrasi, pada saat itulah petanda akan rapuhnya tiang-tiang demokrasi. Dalam konteks inilah kebenaran tegaknya semua tiang demokrasi-demokrasi itu berdiri di atas perlindungan kebebasan setiap warga negara untuk menggunakan hak-hak sivil dan politiknya yang dijamin perlembagaan.
Mendung politik agaknya tengah berlangsung di negara kita. Kebelakangan ini kita menyaksikan fenomena-fenomena politik mempertontonkan terkikisnya ranah keadaban pemerintahan negara dan komitmen bersama mempertahankan kebebasan sivil dan politik sebagai komitmen mempertahankan fungsi tiang-tiang seri demokrasi. Terdapat beberapa peristiwa awam menandai pengikisan tiang-tiang dasar kehidupan berdemokrasi.
Setelah dedahan kes pelbagai skandal rasuah memudar tanpa penyelesaian hukum yang tuntas, daftar peristiwa penghancuran terhadap kehidupan demokrasi datang bertubi-tubi. Dewan Rakyat pada minggu lepas meluluskan usul menggantung Anwar Ibrahim, ketua pembangkang daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.
Turut digantung ialah Karpal Singh (DAP-Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) di atas beberapa kesalahan. Keempat-empat ahli Parlimen tersebut digantung selama enam bulan.
Karpal dan Sivarasa didakwa telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum jawatankuasa membawa penyata itu kepada majlis (Dewan Rakyat). Manakala Azmin dihukum semata-mata kerana menyentuh mengenai surat Apco.
Apco Worldwide ialah perunding antarabangsa yang dibayar berjuta-juta ringgit bagi membantu imej Najib untuk mentadbir negara.
Walaupun dasar luar negara Malaysia melarang sebarang penglibatan orang Israel dalam negara kita, namun Apco adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Amerika Syarikat.
Parlimen tidak berdemokrasi
Kemelut Anwar berpunca daripada kenyataannya pada Mac 17, 2010 bilaman beliau menghubungkaitkan slogan 1Malaysia dengan kempen Satu Israel di bawah mantan perdana penteri Israel Ehud Barak.
Mengikut seorang penganalisis politik, Kim Quek, institusi atau sebuah tiang demokrasi iaitu Parlimen sudah kena sembelih.
BN secara ‘haram’ telah mengantung empat penggubal undang-undang atas alasan yang tidak kukuh sama sekali. Hak mendengar atau menghujah empat penggubal undang-undang itu dinafikan lalu dihukumi pula, menafikan hak bersuara dan hak demokratik mempertahankan diri mereka. Semuanya berlangsung sekelip masa dalam suasana hingar-bingar yang sama sekali tidak demokratik.
Sudahlah kita dengar dalam perbicaraan ‘Liwat ke-2’ Anwar berkali-kali dan sewenang-wenangnya dilarang untuk mendapatkan maklumat yang beliau boleh gunakan untuk mempertahan atau membela dirinya.
Kejadian pergantungan Anwar bersama tiga lagi ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat mirip kes liwat Anwar – tidak diberi hak menghujah bagi mendapatkan gambaran yang lebih objektif terhadap kes.
Di samping itu, hukuman pantas lebih nyata daripada memberi hak mendengar yang sepatutnya menjadi hak demokratik yang harus dihormati.
Satu hal yang meresahkan sudah terjadi. Warga negara semakin terasing dari pengalaman konkrit kehidupan berdemokrasi. Tidak hanya dalam konteks memperjuangkan artikulasi politik dan pemerintahan, tetapi lebih mendasar dari itu, warga negara semakin terasing dari pengalaman demokrasi untuk menggunakan hak-hak sivil dan politiknya.
Perlahan-lahan demokrasi di negara ini semakin terpisah dari rakyatnya yang selaku pemegang sebenar kekuasaan tertinggi.
Peristiwa pergantungan itu membikin demokrasi yang dibawa oleh BN menjelma menjadi semacam modal yang hanya dapat dinikmati oleh sekelompok elit minoriti ekonomi-politik di negara ini. Demokrasi bekerjasama dengan rejim BN yang dipilih sebagai sarana bagi segelintir orang memasuki masyarakat minoriti elit politik.
Tiang-tiang seri demokrasi yang ranap bekerjasama bagi merunding kepentingan pemain ekonomi dan elit politik, kepentingan antara elit penguasa serta penguasa dan elit pelanggar hak asasi manusia pada masa lalu. Demokrasi yang dipakai oleh pemerintah secara ironis pula menjadi instrumen elit politik meminggirkan aspirasi dan tuntutan warga negara akan keadilan sosial.
Hak asasi dilanggar
Seperti ditegaskan oleh ilmuwan politik Damien Kingsbury (2007) dalam Political Development, hubungan antara pembangunan politik demokrasi dan penegakan hak asasi manusia di suatu negara itu adalah asas atau pokok daripada berterusannya sistem demokrasi. Pada peringkat dasar, jaminan dan hormat negara terhadap hak-hak sivil dan politik dari setiap warga negara memperlihatkan bahawa masyarakat politik (eksekutif, perundangan, dan parti politik) menghormati warga negara sebagai anggota yang tidak ternilai daripada pembangunan masyarakat politik yang bebas menyertai dan tidak boleh dihalangi dalam politik bernegara.
Dalam konteks realpolitik, tuntutan keadilan memang memerlukan perhitungan dan perimbangan politik yang matang dan bijak. Seperti diungkapkan Samuel P. Huntington (1989) dalam Third Wave Democratization, apabila kubu demokrasi atau kumpulan pro-perubahan ingin mendorong isu penuntasan pelanggaran hak asasi manusia semasa era rejim autoritarian, mereka harus mempertimbangkan angin politik dan dukungan politik yang signifikan dari konfigurasi kekuatan politik yang ada.
Dalam konteks tuntutan keadilan atas pelanggaran hak asasi manusia dalam pentadbiran Najib mestinya tidak perlu gentar memperjuangkan keadilan pada korban pelanggaran hak asasi manusia. Ini mengingat salah satu amanah atau tuntutan rakyat yang mahukan negara memulihkan tiang-tiang seri demokrasi negara yang menuju keranapan.
BN bagaikan alpa bahawa gelombang rakyat menuntut perubahan atau untuk menyisihnya masih kental. BN akan tetap mengguna institusi yang sepatutnya mengembangkan demokrasi bagi warga negara tetapi digunakan untuk kepentingan menggekalkan kuasa memerintahnya.
Walaupun ada beberapa penunjuk yang BN semakin yakin akan mendapat semula mandat majoriti rakyat pada pilihanraya umum ke-13 nanti, ia mungkin lupa bahawa jentera PR tidak kurang hebat untuk menafikan impian BN.
BN tidak mahu mengakui bahawa ia sudah seperti susu masam. Suatu ketika dulu susu itu segar, lemak dan berkhasiat tetapi kini oleh kerana kerenahnya meranapkan tiang-tiang seri demokrasi bagi memenuhi hawa nafsu tamak haloba, susu itu sudah masam. Rakyat tidak mungkin boleh meminum susu masam, nanti sakit perut.