Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada hari Isnin atas tuduhan rasuah berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.
Tanpa ada pengungkapan kes ini secara telus, kita khuatir pemberantasan rasuah hanya akan di persepsi umum sekadar retorik politik belaka. Rakyat menunggu apakah akan timbul apabila Khir Toyo dibicarakan nanti.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuuh Malaysia (SPRM) diberi kuasa besar namun tindakannya terhadap perasuah mega dan berpengaruh masih belum menjadi kenyataan. SPRM bertindak berkesan lebih kepada perasuah ikan bilis.
Statistik menunjukkan bahawa di negara kita, hanya 7,223 kes rasuah yang disiasat daripada 71,558 yang dilaporkan di antara tahun 2000-2006. Jumlah yang dapat dibuktikan bersalah melakukan rasuah hanyalah sekadar 0.7 peratus atau 524 kes sahaja.
Pelbagai usaha kerajaan untuk menangani gejala rasuah kononya menunjukkan kemajuan sekalipun ia tidak dicerminkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikelolakan oleh Transparency International (TI), kata Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau yang mengulas kedudukan Malaysia yang kekal pada tangga ke-56 dari 178 negara, juga berkata walaupun markah yang diperolehi Malaysia tidak boleh dibanggakan, namun ia juga tidak perlu dilihat sebagai perkembangan negatif.
Beliau menambah bahawa kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu rasuah, antaranya pembentukan 18 buah mahkamah khas rasuah dan pindaan Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan kes rasuah dibicarakan dengan cepat.
Salah satu sistem baru yang dimaksudkan itu adalah kaedah ‘whistleblower’ atau pemberi maklumat. Idris turut berkata bahawa usaha juga sedang diambil untuk melaksanakan Akta Pelindungan Pemberi Maklumat menjelang akhir tahun ini (Disember 15).
Penyapu bersih, lantai bersih
Rasuah merupakan barah ekonomi negara. Inilah hakikatnya yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa sahaja. Gejala rasuah terjadi di setiap kementerian mahupun bukan kementerian, di pusat mahupun di desa-desa. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah jenayah yang mengancam keselamatan dan menggugat kelangsungan sesebuah negara.
Lantaran itulah Perdana Menteri Najib Razak memberikan perspektif kepimpinan yang serius terhadap usaha pembanterasan gejala itu.
Sewaktu membentangkan Bajet 2010, Najib mengumumkan kerajaan akan menggubal serta menguatkuasakan akta whistleblower tersebut sebagai memastikan sistem peraturan dan pengawasan agar kerangka pemberantasan rasuah berjalan berkesan.
Pemberi maklumat ini boleh juga diistilahkan sebagai ‘penyingkap aib’ kerana dia akan membuka laluan kepada penyiasatan penuh terhadap para perasuah. Tindakan ini boleh mengaibkan si perasuah. Sistem itu memungkinkan setiap orang boleh melaporkan dugaan rasuah yang identitinya dijamin selamat.
Ini bermakna seseorang whistleblower (peniup wisel) atau penyalur maklumat mengenai rasuah dan salahguna kuasa adalah individu yang penting untuk menghapuskan penyelewengan kuasa. Dalam konteks Malaysia, undang-undang ini boleh membuktikan kesungguhan kerajaan mewujudkan persekitaran anti-rasuah yang lebih menggerunkan.
Selain itu ia mencerminkan bahawa pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa memang memerlukan strategi multi-dimensi. Ia juga bermakna kerajaan memberikan kuasa mencegah salah guna kuasa dan rasuah kepada rakyat. Apakah ini mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam menangani gejala rasuah?
Semua tahu bahawa untuk menyapu lantai yang kotor, harus digunakan sapu yang bersih. Bayangkan sebuah senario yang mana kalau kita menghunus keris melawan rasuah, tiba-tiba penegak hukum yang seharusnya berdiri paling depan memberantas rasuah didapati pula terlibat dalam kegiatan jenayah ini. Kita pasti resah dan terkilan.
Menusuk ke akar umbi sistem
Secara teorinya, rasuah hanya akan terjadi jika ada pertemuan antara keinginan untuk rasuah yang sifatnya dalaman dan kesempatan untuk rasuah yang sifatnya lebih luaran.
Usaha ke arah kebaikan ke atas sistem dan peraturan yang mengambil kira diwujudkan sistem pemberi maklumat, adalah satu usaha yang patut didukung untuk mencegah terjadinya rasuah yang semakin berleluasa.
Tidaklah mungkin penegak hukum mampu memberantas rasuah jika mereka sendiri berlumuran dengan rasuah. Dalam bahasa mudah ini bererti bahawa seseorang perasuah itu tidak guna dibawa ke muka pengadilan andainya telah diketahui umum yang si hakim yang mendengar kesnya telah terlebih dahulu mempunyai hubungan rasuah dengan si perasuah itu.
Kes begini sudah berlaku dan diketahui umum.
Maka itu diwujudkan sesuatu langkah awal yang nyata bahawa perkara begini tidak mungkin boleh terjadi lagi. Institusi-institusi penegak hukum termasuk polis, kehakiman, SPRM dan Pejabat Peguam Negara harus didorong untuk membersihkan anggotanya yang ditanggapi orang awam sebagai berlumuran rasuah dan tiada lagi sikap bertanggungjawapan.
Sistem peniup wisel ini wajarnya dibuat di dalam institusi penegak hukum supaya kakitangan yang bersih dan jauh dari tahi atau daki rasuah boleh dikenalpasti. Seseorang peniup wisel itu harus memiliki mental dan keberanian yang tinggi. Ia dapat melihat kebobokan institusi yang tidak lagi mendukung pembanterasan gejala rasuah.
Seluruh mekanisme penyaluran maklumat, sama ada digital atau sebaliknya, termasuklah Biro Pengaduan Awam, perlu menjalani inovasi dan pembaharuan secara komprehensif.
Mengikut Idris Jala lagi pengalaman di Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan yang gejala rasuah di sana semakin menurun apabila Akta Pelindungan Pemberi Maklumat versi kedua-dua benua itu dilaksanakan. Ia menjadi penghalang besar kepada kegiatan rasuah.
Yang penting lagi orang ramai atau rakyat harus sedari yang akta sedemikian sudah ada dan para saksi juga diberi perlindungan dan wujudnya Akta Perlindungan Saksi.
Mekanisme mencegah kesempatan
Soalnya apakah kedua-dua Akta Pelindungan Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi meskipun nampak begitu baik tapi bolehkah ia dilaksanakan dengan berkesan.
Walaupun demikian, kita mahu mengingatkan, sistem pemberi maklumat itu hanya boleh berjalan jika ada perlindungan terhadap saksi pelapor yang amat berkesan. Jaminan itu perlu kerana dalam beberapa kejadian pemberi maklumat itu malah boleh masuk penjara atas tuduhan mengaibkan nama baik atau tuduhan lainnya.
Mekanisme whistleblower itu harus dimaklumkan kepada semua yang berkepentingan agar dapat membantu menciptakan keadaan lingkungan kerja yang baik. Jika tiadanya maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa daripada rakyat, isu rasuah mungkin menjadi basi dan lesap ditelan dek kerenah birokrasi.
Apa yang lebih mencemaskan ialah akta whistleblower ini boleh menjadi mainan politik dan fitnah bagi pihak pemerintah. Jangan pula undang-undang ini digubal dan dikuatkuasakan sekadar untuk mengaburi rakyat yang mahu gejala rasuah dan penyelewengan dibanteras habis. Jika demikian, itu adalah jelas tidak menguntungkan sesiapapun!
Akal sihat menggalakkan mekanisme peniup wisel ini yang merupakan sebahagian daripada mekanisme dalaman, yang juga merupakan salah satu tiang terpenting dalam upaya pencegahan tindakan terhadap rasuah. Kita mahu pihak yang berkepentingan bersikap terbuka dan telus sebagai pintu menghapuskan adanya kesempatan tindakan-tindakan rasuah.
Baca juga ‘Bekas pembantu Taib Mahmud ditemui mati dalam bilik’