Mengikut perhitungan, idealnya sebahagian besar penduduk yang merangkumi 65% daripada penduduk negara harus mendapat perkhidmatan kesihatan dari sektor perkhidmatan awam. Tetapi dalam keadaan hanya 45% daripada semua doktor yang berdaftar dan antara 25% hingga 30% pakar perubatan sedang berkhidmat dengan sektor awam, maka kebanyakan penduduk tidak lagi dapat berbuat demikian.
Laporan Pembangunan Bank Dunia pernah menyatakan bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara yang mana perbelanjaan kesihatan awamnya condong kepada golongan miskin. Walau bagaimanapun, itu pada tahun 1993 dan kini tidak lagi. Pengaruh globalisasi dan liberalisasi telah memaksa kerajaan tunduk kepada tuntutan pasaran bebas dalam sektor kesihatan awam.
Sekarang sudah muncul dua sistem yang bergabung dan berjalan selari. Sistem bersepadu baru ini tidak boleh lagi menjamin yang setiap individu itu boleh menerima atau mendapat mutu perubatan tertinggi sekali. Namun dilaporkan 75% daripada rakyat kita masih bergantung pada hospital kerajaan.
Konsep bahawa seseorang individu itu harus mendapat khidmat perubatan, bukan semata-mata berdasarkan pada keupayaan dia mampu membayar tetapi berdasarkan pada keperluannya, nyata akan berubah.
Bayangkan apabila beberapa aspek perkhidmatan dan kemudahan di sektor kesihatan awam telah dan akan dikorporatkan, maka daya-daya pasar akan pasti menentukan kos. Lalu sudah tentu kos perkhidmatan akan meningkat, justeru dalam masa terdekat saja kos memperolehi perkhidmatan kesihatan di sektor awam akan turut meningkat kerana pihak kerajaan tidak lagi seratus-peratus menguruskan perkhidmatan berkenaan.
Tanggungjawab sosial kerajaan yang buat beberapa dekad telah mengurus bidang kesihatan nasional akan diambil alih motif keuntungan oleh pihak swasta.
Projek perintis skim bayar Kita dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telahpun memperkenalkan skim Pesakit Membayar Penuh (FPP) pada empat buah hospital awam -- Hospital Serdang dan Hospital Sg. Buluh (kedua-duanya di Selangor), Hospital Sultan Bahiyah (Alor Setar) dan Hospital Sultan Ismail (Johor).
Skim FPP itu merupakan projek perintis Kementerian Kesihatan yang dimulakan di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya pada Ogos 2007, yang mana para doktor pakar kerajaan dibenarkan untuk merawat pesakit swasta selepas waktu pejabat. Skim ini akan diperluaskan kepada banyak lagi hospital awam pada masa akan datang.
Skim ini meskipun telah mendapat bantahan, antara lainnya dikatakan membenarkan doktor pakar muda menjalankan aktiviti seperti pembedahan yang lebih besar/rumit kerana kebanyakan doktor pakar yang berpengalaman akan lebih tertumpu pada praktis peribadi yang dibolehkan menerusi FPP.
Antara kesan negatif daripada skim FPP ini ialah ia boleh menjadi suatu penganiayaan kepada pesakit miskin kerana doktor pakar yang terlibat dengan skim itu mungkin akan lebih menumpu kepada para pesakit yang boleh membayar secara penuh.
Sementara itu, impak negatif akan turut dirasai oleh doktor siswazah yang sedang menjalani latihan kerana doktor pakar semakin tidak mempunyai masa untuk mengajar mereka, dengan itu mutu latihan akan terjejas. Maka kita persoal di mana nanti mereka -- seperti dalam golongan pesara dan kelompok berpendapatan rendah -- hendak mengadu bagi memperoleh perkhidmatan yang wajar pada masa akan datang?
Mulai tahun 1990an, penswastaan terhadap pelbagai peruntukan jagaan kesihatan di banyak hospital rancak dilakukan seperti berikut:
* Jabatan Kementerian Kesihatan yang memperoleh ubat-ubatan telah diswastakan pada tahun 1993;
* Lima perkhidmatan sokongan iaitu dobi, kejuruteraan, penjagaan sekitar hospital, pembuangan sisa-sisa klinikal dan penjagaan/penyeliaan peralatan telah diswastakan kepada tiga syarikat korporat pada tahun 1997 dan konsesesi diberi selama 14 tahun.
* Pembinaan klinik-klinik dan hospital baru dikontrakkan kepada syarikat swasta.
* Pengimbasan kesihatan mandatori terhadap pekerja asing telah diswastakan kepada syarikat Fomema.
Apakah Unit Perancang Ekonomi ada membuat kajian mengenal pasti impak penswastaan terhadap bajet Kementerian Kesihatan memandangkan pada tahun 1980 bajetnya yang hanya RM1 bilion telah meningkat kepada RM11 bilion pada tahun 2009.
Khidmat kesihatan pelancongan Dalam hubungan ini juga, Kementerian Kesihatan sehingga kini telah meluluskan sebanyak 43 lesen kesihatan pelancongan baru kepada hospital swasta.
Maka pusat-pusat perubatan akan ghairah berlawanan antara satu sama yang lain dalam usaha membeli peralatan perubatan tercanggih dan termahal. Kesediaan peralatan terbaru/canggih adalah bagaikan besi berani bagi bakal pesakit yang mahukan rawatan segera. Mereka yakin bahawa lagi terkini peralatan perubatan maka lagi cepat proses terapi akan berlaku.
Terbaru Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai pada lewat bulan September lalu berkata sebuah pusat pengajian perubatan lengkap dengan hospital 600 katil serta pusat penyelidikan akan diwujudkan di Serdang hasil kerjasama Johns Hopkins Medical International dari Amerika Syarikat dengan sebuah syarikat swasta. Projek ini dikatakan akan mempertingkatkan lagi industri kesihatan pelancongan serta menarik balik pakar perubatan kelahiran Malaysia kembali dan bekerja semula di tanahair.
Dalam pembentangan bajet 2009 kerajaan menyatakan akan menggalakkan pelancongan kesihatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.
Maka akan berlaku penghijrahan doktor pakar dan jururawat apabila mereka 'dipancing' dari kerajaan ke hospital swasta. Ini akan menyebabkan hospital-hospital kerajaan semakin kurang tenaga pakar profesionalnya.
Semua ini sudah tentunya tidak mungkin boleh menghimbau golongan berpendapatan rendah/miskin menjenguk mendapatkan perkhidmaan di hospital swasta kerana bayaran yurannya yang mahal daripada hospital awam.
Kos melambung tinggi
Pada tahun 2007, terdapat tiga juta isi keluarga Melayu yang 32% daripada mereka memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM1,001 hingga RM2,000; 56% daripada isi keluarga Malaysia pula memperoleh pendapatan bulanan kurang dari RM3,000. Bayangkan apakah mereka boleh ke hospital swasta untuk mendapat rawatan? Jauh sekali. Hospital swasta adalah untuk golongan yang kaya.
Perbelanjaan ke atas sektor kesihatan nasional | |||
Tahun |
Kerajaan (RM/bilion) |
Swasta (RM/bilion) |
Jumlah |
2006 | 11.2 | 14.3 | 25.5 |
2007 | 13.3 | 16.9 | 30.2 |
Pelaburan dari pihak swasta ke atas sektor kesihatan nasional semakin hebat. Sebagai contoh pada tahun 2006, jumlah belanjawannya adalah RM25.5 bilion, RM11.2 bilion dari kerajaan dan RM14.3 bilion dari swasta. Pada tahun 2007 jumlah belanjawannya adalah RM30.2 bilion, RM13.3 bilion dari kerajaan dan RM16.9 bilion dari swasta.
Terdapat 2,992 klinik swasta pada tahun 2006 dan jumlahnya meningkat secara mendadak kepada 6,371 klinik pada tahun 2007. Bilangan doktor swasta pada tahun 2006 adalah 9,440 orang dan pada tahun 2007 jumlahnya 10,006 orang.
Tidak nampak lagi ada mekanisme pengawalan ke atas caj bayaran untuk semua penyakit dan rawatan di hospital swasta. Caj itu kadang-kadang bagaikan gila dan tidak masuk akal bagi rawatan terhadap penyakit biasa dan luar biasa berbanding dengan caj yang pernah dikenakan oleh hospital kerajaan.
Akhirnya mereka yang kaya atau mereka berstatus pelancong yang kaya saja boleh menikmati perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital swasta. Tambahan pula hospital swasta banyak dibina di kota-kota besar, jarang terdapat di kawasan desa atau kampung di mana-mana negeri.
Semboyan 'Satu Malaysia: Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan' sekali lagi mungkin terngiang-niang jauh dari telinga rakyat majoriti, rakyat yang miskin, meskipun kerajaan sentiasa melaungkan bahawa semua rakyat mampu membayar perkhidmatan kesihatan.