Nurul Izzah pada Hari Kermedakaan Ogos 31 baru-baru ini telah mempelawa Perkasa satu semawa -- 'Wacana bersama Perkasa untuk permulaan baru Malaysia: Malaysia atau Malaysaja?'

Puteri Anwar Ibrahim dan juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengajak Perkasa berdebat mengenai beberapa isu yang selama ini menjadi suatu persoalan politik yang tak kunjung tuntas meskipun negara sudah mengecapi 53 tahun kemerdekaan.

Judul debat yang dijemput Nurul Izzah kepada Perkasa ialah jati diri atau hala tuju sama ada kita ini dalam sebuah kapal berisikan warga Malaysia atau warga yang terdiri daripada 'Malaysaja'.

Sebenarnya isu yang ingin didebatkan itu amat menarik dan berstatus semasa. Isu ini tidak pula muncul selepas pendaftaran Perkasa pada tahun ini malah ia telah wujud semasa Malaya berada dalam proses memerdekakan negara lagi.

Semua pihak yang terlibat dalam pembebasan negara dari cengkaman kolonial British masing-masing mempunyai gagasan bagi merealisasikan kemerdekaan. Puak kiri/radikal dalam kelompok Putera-AMCJA mengeluarkan gagasannya yang berintipatikan keadilan bagi semua pihak sementara pihak kanan pula demikian juga tetapi mahukan peruntukan yang masyarakat majoritinya iaitu orang Melayu diberi perhatian khas.

Tuntutan-tuntutan pihak kanan termasuk seperti adanya program khas bagi membantu golongan Melayu, memeliharakan institusi raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama Persekutuan. Pihak British menerima pakai saranan daripada kumpulan kanan itu, yang Umno menjadi teraju utamanya. Peruntukan-peruntukan tersebut didaftar secara formal dalam perlembagaan negara.

Artikel 153 -- kedudukan istimewa

Perkasa melihat itu sebagai sesuatu yang yang sakral dan tidak boleh dicabar walaupun bahasa perlembagaan tidak mendaftar istilah 'hak' dalam mana-mana peruntukan berkenaan. Ada banyak perbezaan antara istilah 'kedudukan istimewa' dan 'hak istimewa' yang mengiringi sesuatu penerangan dalam perlembagaan.

Bagaimanapun, keistimewaan untuk orang Melayu dan bangsa pribumi Sabah dan Sarawak telah disamakan seperti 'hak' untuk sekian lama dan tidak banyak pihak yang berani mencabarnya. Kenapa?

Pertama, kuasa parti pemerintah adalah begitu dominan sekali.

Keduanya, andainya pengertian itu betul-betul bermakna 'kedudukan istimewa' saja, maka dengan kedudukan orang Melayu yang selalu dijelaskan sebagai "kerdil" dan "ketingggalan jauh dari segi sosioekonomi", pastilah pemerintah yang sudah seronok mengambil kesempatan daripada pengertian yang bermaksud 'hak' itu akan terlepas peluang bagi terus mengambil kesempatan.

Maka masyarakat telah dipaksa menerima peruntukan 153 -- yang membawa pengertian 'kedudukan istimewa' -- menjadi 'hak'.

Proses pembangunan ekonomi terus berjalan mengikut sistem pasaran bebas sementara corak pembangunan dipandukan oleh ideologi 'Ketuanan Melayu'. Maka selama 53 tahun, pemerintah berjaya menyakinkan rakyat yang golongan Melayu dipayungi oleh 'hak istimewa' dalam Artikel 153.

Mengikut Perkasa, peruntukan itu tidak boleh dicabar kerana orang Melayu memerlukannya memandangkan kejayaan ekonomi negara lazim dilihat sebagai yang dinikmati oleh golongan suku kaum Cina. Perkasa tidak akan menyoal kemana perginya selama ini program yang menelan RM54 bilion bagi membantu menaiktarafkan kedudukan sosioekonomi orang Melayu dari segi pegangan ekuiti dan saham.

Kenapa wang sebanyak itu tidak sampai ke majoriti orang Melayu?

Kita lihat sehingga kini terdapat 22 bilioner orang Malaysia yang tercipta hasil daripada puluhan program Pelan Rancangan Malaysia. Natijahnya orang Melayu majoriti atau pribumi Sabah dan Sarawak tidak menikmatinya, justeru progam 'hak keistimewaan' bagi orang Melayu dan pribumi Sabah/Sarawak boleh dikira tidak menjadi selama 40 tahun aplikasinya melalui Dasar Ekonomi Baru.

Di Sarawak misalnya, Taib Mahmud hidup kaya raya sedangkan warga pribuminya seperti suku kaum Penan habis tanah warisan nenek moyangnya diambil oleh syarikat konsesi balak.

Kumpulan elit Melayu dan elit suku kaum lain yang sebenarnya meraih kekayaan negara, dan elit ini akan sentiasa melalakkan 'hak keistimewaan 'orang Melayu dan pribumi Sabah/Sarawak tidak boleh dicabar.

Jika dicabar, pastinya respon Perkasa atau pemimpin Umno akan melabel golongan yang menyuara itu adalah sebagai "pengkianat"/ "tidak mengenang budi"/"baliklah ke negara asal" dan "hancur nanti asas perpaduan/harmoni negara"/"merosakkan "kontrak sosial" serta "harus dikenakan tindakan ISA" ataupun ditengking "tolol" dan "bodoh".

Kambing hitam Cina dan Yahudi

Suara Perkasa menjadi-menjadi buat kebelakangan ini. Selain itu Perkasa akan memberi analisis mudah bahawa kekayaan negara adalah dalam monopoli orang Cina dan bagi menjelas jika prestasi ekonomi negara merudum teruk, itu adalah kerana musibah daripada agenda orang Yahudi.

Mudah saja analisis Perkasa. Bagi memperkuatkan hujahnya, Perkasa akan menghunus keris Taming Sari dan mengeluarkan kata-kata pembakar sentiment perkauman. Pada hal ekonomi negara dikawal oleh kumpulan kapitalis dari suku kaum Melayu Cina/India dan orang asing.

Nurul Izzah cuba melontarkan isu keistimewaan orang Melayu kepada Perkasa. Diharapkan Perkasa memberi penjelasan yang lebih baik. Pegangan Perkasa sebelum ini -- dan mungkin selamanya -- berpremis pada 'hak-hak Melayu' sudah termaktub dalam perlembagaan. Bagi mereka, tiada keraguan lagi dan jika peruntukan itu mahu dipinda atau diolah, maka diperlukan persetujuan Raja-raja Melayu.

Namun suku kaum lain tak perlu khuartir bahawa hak-hak mereka juga dipelihara dalam perlembagaan, kata Perkasa. Lagipun mengikut Perkasa, orang Melayu sudah murah hati memberi orang Cina kewarganegaraan meskipun diketahui yang generasi pendatang awal (sekitar tahun 1920-an) sudah tiada dan generasi yang ada kini semuanya dilahirkan di negara dan menjadi warga negara secara automatik dan seharusnya menikmati keadilan saksama.

Isu hak dan keistimewaan orang Melayu sudah dibangkitkan oleh ahli pembangkang dan intelektual sejak Merdeka lagi termasuk dari Parti Rakyat, DAP, NGO. Seperti dikatakan awal tadi, isu itu tenggelam dalam retorik 'pembangunan negara'. Akan tetapi untuk sekian lama dan adanya statistik dan fakta, dan bijak pula diartikulasikan oleh individu-individu tertentu, maka isu ini menjadi satu ancaman kepada kedudukan pemimpin yang mendapat manfaat daripada manipulasi isu ini.

Soalnya statistik menunjukkan tidak seberapa masyarakat majoriti Melayu yang memanfaatkan daripada program membantu Melayu melalui kaedah Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno atau Perkasa.

Majoriti orang Melayu masih memegang 2% ekuiti dalam banyak bidang. Yang memperlihatkan adanya sebanyak 21% ekuiti Melayu adalah daripada pegangan kerajaan.

Masih ramai orang Melayu dalam kelompok isi rumah (bukan individu) yang berpendapatan rendah, hampir 60% mendapat pendapatan sebulan RM3,000. Bayangkan dengan pendapatan sebanyak itu dalam keadaan kini yang mana harga makanan, barangan keperluan, inflasi semakin tinggi.

Ramai yang tidak sedar bahawa negara kita mengamalkan sisitem ekonomi pasar bebas atau laissez faire, suatu sistem ekonomi yang mementingkan pertumbuhan dan bukannya pemerataan. Sistem ala kapitalis ini lebih berminat melahirkan ketidakseimbangan dan pada kes negara kita, kita dapati sememangnya kumpulan kecil (elit) yang akan menjadi kaya dan kumpulan majoriti cuma boleh hidup sedanya saja.

Pekali Gini kita pada tahun 2007 ialah 0.441 dan semakin menuju ke angka 1, bermakna lebih tidak seimbang dari segi pendapatan antara kelompok elit dan majoriti.

Bagaimanapun Nurul Izzah telah berjaya mengajak Perkasa mendebat isu 'hak keistimewaan' ini secara ilmiah dengan protokol yang bijak juga. Nurul mahu meleraikan kekeliruan atau kekusutan pengertian hak keistimewaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan bagaimana Perkasa sehingga kini yang dihantui atau obses dengan Ketuanan Melayu dapat menyedari kesilapan mereka.

Kita menanti masanya. Nurul sudah menjual, nanti Perkasa untuk membelinya. Hasil debat mungkin boleh menukar anjakan paradigm kita terhadap persoalan yang berkaitan dengannya iaitu soal perpaduan dan kemajuan negara bagi umat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, bukan terdiri daripada Melayu saja.