Chin Peng yakin bahawa di kalangan mereka yang mencita-citakan satu masyarakat lebih adil and berperikemanusiaan, akan ada generasi berikutnya yang menyambungi perjuangan beliau – apa yang diimpikannya dan apa yang diusahakannya di masa hidup.
(Rencana di bawah adalah ringkasan siri laporan tulisan Lim yang disunting dan disusun semula oleh CPI dengan izin Merdeka Review)
Majlis memperingati ulangtahun ke-20 Perjanjian Damai Haadyai diadakan di sebuah hotel di negeri Thai pada Nov 30 baru-baru ini. Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) menerima tepukan gemuruh ketika memasuki dewan di Hotel Lee Gardens – hotel yang sama ketika persetujuan tersebut ditandatangani dua dekad yang lampau.
Chin Peng telah menyatakan rasa kesalnya terhadap semua anggota yang terkorban dalam konflik bersenjata, malah meminta kalian bertafakur untuk mereka selama satu minit.
“Dalam peperangan, korban jiwa tidak boleh dikecualikan,??? katanya.
“Saya amat berdukacita atas kehilangan jiwa rakyat umum, dan juga ke atas semua kematian dan kecederaan yang dialami oleh anggota-anggota bersenjata dari ketiga-tiga pihak. Ini adalah satu kerugian besar yang mengesalkan. Bagi mereka yang terkorban, saya ingin merenung selama satu minit mengingati mereka.???
Chin Peng juga menjelaskan mengapa perbezaan idealisme politik mencetuskan konflik bersenjata pada ketika itu.
“Kami, sebagai sosialis, tetap berdiri tegak membela rakyat yang tertindas.
“Kami menentang penguasaan orang asing dan menghapuskan eksploitasi ekonomik; menentang kezaliman dan ketidakadilan di bawah apa bentuk pun. Kami telah melawan penjajahan orang Inggeris dan pencerobohan orang Jepun.???
Beliau berkata usaha komunis dalam proses mendirikan satu negara berciri demokrasi ini telah dikecewakan oleh pihak berkuasa dengan segala cara yang kejam termasuk buang negeri, tahanan penjara dan seksaan jiwa dan raga.
Chin Peng berkata, “dalam keadaan demikian, kami terpaksa memilih: samada berdiam diri tanpa mengambil peduli jeritan derita rakyat kita atau mengangkat senjata untuk melanjutkan perjuangan kami.???
Beliau yang tidak menyelindung bahawa dirinya seorang penganut komunisme sehingga hari ini, dan tidak menyesal dengan perjuangannya itu, bagaimanapun tidak menerima jikalau “permohonan maaf secara terbuka??? dikenakan sebagai syarat untuk pulang ke Malaysia.
Kenyatan ini mencungkil keraguan jikalau dibandingkan dengan wawancaranya bersama The Star, yang disiarkan pada Nov 22, 2009. Transkrip asal wawancara bersama Star yang dikemaskini oleh pembantu Chin Peng diedarkan untuk menjelaskan konteks kenyataan tersebut dikeluarkan.
Menurut transkrip ini, Chin Peng pada ketika itu menyatakan bahawa beliau sudi meminta maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa, seandainya “PKM dibuktikan benar-benar membunuh mereka yang tidak berdosa secara berniat???, maka beliau sanggup meminta maaf secara terbuka.
Menyampaikan ucapan dalam BM
Seperti 20 tahun yang lalu, Chin Peng memilih untuk menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu.
Dalam ucapannya yang mengambil masa kira-kira 15 minit, beliau mengulangi satu-satu hasrat terakhirnya, “... saya juga seorang manusia biasa yang sudah menjangkau hujung hayatnya. Hajat saya yang terakhir cuma melakukan satu lawatan jangka pendek ke makam mereka (ibubapa dan nenek moyangnya),??? katanya.
Orang tua yang berusia 85 tahun ini, walaupun gagal merealisasikan idealisme politiknya untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Malaysia, tetap yakin terhadap masa depan negaranya.
“Ucapan ini besar kemungkinan merupakan ucapan umum saya yang terakhir. Tidak ada sebab untuk kita berdukacita kerana saya yakin bahawa generasi berikutnya akan menyambungi perjuangan kita – apa yang kita impikan, apa yang kita wujudkan dan apa yang kita usahakan di masa hidup kita.
“Di antara mereka yang mencita-citakan satu masyarakat yang lebih berkemanusiaan, di antara mereka yang mencita-citakan satu dunia yang lebih indah dan baik, pasti muncul lapisan pemimpin yang mampu mengubah sejarah,??? kata Chin Peng.
Kerbau dipegang tali, manusia dipegang janji
Setelah 20 tahun Perjanjian Damai Haadyai dimeterai antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thai, sejauh manakah janji yang termaktub dalam persetujuan ini ditunaikan?
Seperti yang dijanjikan, PKM telah menamatkan perjuangan bersenjatanya; kerajaan Thai pula, menghulurkan bantuan kepada anggota PKM untuk memulakan kehidupan baru melalui projek Kampung Puteri Chulabhorn, dan menerima mereka sebagai warga Thai.
Kerajaan Malaysia pula mengumumkan bahawa Chin Peng tidak dibenarkan untuk pulang ke tanahairnya manakala Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertegas ‘tiada maaf’ baginya.
Baru-baru ini, lawatan Setiausaha Agung Parti Komunis China, Hu Jintao ke Malaysia disambut secara besar-besaran, lantas mengundang kritikan bahawa kerajaan Malaysia adalah hipokrit kerana mengambil sikap double-standard ketika menangani isu Chin Peng.
Namun, Chin Peng tidak berfikir sedemikian, sebaliknya mengharapkan hubungan kerajaan China dengan Malaysia bertambah erat kerana ia memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
Inilah Malaysia tanahairku
Suara hati Chin Peng diluahkan dalam bab ke-32 bukunya My Side of History:
“Kedahagaanku untuk kembali ke tanahair telah aku simpankan. Hanya pada waktu kesepian, ianya akan menjelma dalam ingantanku. Aku akan mulai dari Setiawan, semasa zaman kanak-kanak.
“Selepas bersembahyang di kubur nenek moyang, aku akan menjenguk sekolah asalku. Kemudian, aku akan berjalan di lorong kampungku, mengimbas persahabatan yang terjalin dahulu...???
“Ingatan ini tidak akan meninggalkanku. Lorong, pohon, rumah dan papan tanda, segala-gala ini memberitahu aku, inilah Malaysia, bukannya tempat lain. Aku dahaga untuk kembali ke ribanya...???
Malah, bukunya mencatatkan pertanyaan berikut, “aku sanggup terkorban demi tanahairku. Mengapa tidak membenarkan aku untuk menjenguknya????
Sedutan wawancara antara media cetak bahasa Cina dan media Internet utama Malaysia dengan Chin Peng
Soalan: Mengapa anda masih ingin balik ke Malaysia?
- Jawapan: Kerana itu tempat saya berasal... Ibu bapa saya terkubur di sana. Adik beradik saya yang terkubur di situ.Saya berasa, dalam umur hayat saya, saya nak cuba sedaya-upaya untuk pulang, dan menyembah mereka (ibu bapa dan adik beradik). Saya tak ada tujuan selain itu.
Jikalau kerajaan Malaysia enggan membenarkan anda pulang ke Malaysia, pada pendapat anda, mengapa kerajaan Mahathir menandatangani Perjanjian Damai Hadyai pada tahun 1989?
- Saya menganggap senario ketika itu memaksa kerajaan untuk menandatangani perjanjian dengan kami (PKM). Seandainya kerajaan enggan menandatangani perjanjian dengan kami ketika itu, maka mereka akan rasa terasing di kalangan rakyat jelata. Kami juga berdepan dengan situasi yang sama, seandainya kami menolak untuk berbuat demikian, maka kami juga akan berasa terasing.
Mampukah anda membuat kesimpulan, sepanjang 20 tahun selepas Perjanjian Hadyai, selain tidak membenarkan anda pulang, apa lagi yang telah dimeterai dalam perjanjian, tetapi diingkari kemudian?
- Saya ingin mengimbas kembali apa yang berlaku pada ketika itu. Saya tidak berani untuk membuat kesimpulan bahawa itu perbuatan sengaja atau tidak. Tetapi, sememangnya saya mengesyakinya dalam hati saya.Pihak kerajaan sengaja mengatur... menemujanji saya untuk berjumpa di suatu tempat. Setelah saya pergi ke tempat itu, kerajaan pula menyuruh saya ke satu lagi tempat yang lain. (Saya perlu mengingati secara perlahan kalau nak dihuraikan secara terperinci.) Inilah apa yang berlaku. Dari satu tempat ke satu tempat. Setelah saya gagal mencarinya, maka saya kembalilah...Saya menganggap diri saya telah diperbodohkan. Lihatlah bagaimana pihak kerajaan menjawabnya.
Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Hadyai, sudikah anda berkongsi dengan kami pandangan dan keluhan anda?
- [Merenung seketika]. Satu-satunya kekesalan saya adalah, saya menganggap saya telah diperbodohkan. Kerajaan telah menyuruh saya ke satu tempat (untuk membawa saya balik ke Malaysia), dan setelah saya ke tempat tu, orang itu tak ada. Maka saya baliklah.
Apakah kerana itu, anda kehilangan peluang untuk balik ke Malaysia?
- Saya menganggap sebegitu.
Apa pula harga terbesar yang anda bayar sepanjang hidup anda?
- Saya menganggap, penyertaan saya dalam perjuangan revolusi ini bersifat sukarela, bukannya dipaksa. Harga ini... sukar dikata apa harga (yang telah saya bayar).
Adakah kerajaan China menghulurkan bantuan kepada anda?
- China tidak pernah menghulurkan bantuan kepada saya. Semasa saya tinggal di China, mereka ada membantu saya... perbelanjaan hidup. Setelah saya meninggalkan China, tiada orang lagi yang menghulurkan bantuan.
Beberapa puluh tahun yang lalu, komunisme dianggap sebagai racun. Namun, China kini masih diperintah komunis, dan hubungan kerajaan Malaysia dengan China semakin rapat bagaikan adik-beradik. Bagaimana perasaan dan keluhan anda selaku Setiausaha Agung PKM ketika melihat perkembangan ini?
- Tak ada apa yang perlu dikeluhkan. Saya menganggap kerjasama kerajaan China dengan kerajaan Malaysia itu selaras dengan kepentingan rakyat China dan rakyat Malaysia.
Kalau masa beredar ke belakang, apakah anda masih kekal dengan komunisme dan perjuangan bersenjata? Dan jikalau dipanjangkan ke depan, apakah kamu masih menganuti komunisme?
- Saya tidak pernah goyah dengan anutan komunisme. Sepanjang perjuangan, komunisme semestinya perlu mengharungi pelbagai rintangan. Apa pun gerakan yang membawa perubahan di dunia kini juga perlu berdepan dengan pelbagai rintangan jikalau mahu mara ke depan. Ini tidak pelik.
Apakah anda masih akan memilih jalan ini jikalau masa beredar ke belakang?
- Semestinya ya.
Adakah nak balik semata-mata untuk menziarahi saudara mara sahaja? Atau untuk menanti hari-hari yang terakhir...?
- Saya akan menilai jika saya telah balik. Kalau kepulangan saya membawa kesulitan kepada saudara mara, jadi saya tak mahu menyusahkan mereka. Kalau saya tidak menyusahkan mereka... Usia saya pun sudah lanjut. Biarlah saya menikmati kegembiraan untuk bersama adik-beradik saya.
Selepas Star menyiarkan temuramah anda bahawa anda telah meminta maaf, TPM Muhyiddin Yassin memberi reaksi pintu telah ditutup, tiada maaf bagimu. Apakah respon anda?
- Saya hanya boleh berkata saya kesal dengan kenyataannya. Kenyataan sedemikian tidak dapat menyelesaikan masalah.
Bagaimana anda melihat perkembangan sosialisme di tanah air Malaysia? Dalam pilihan raya umum yang lalu, Parti Sosialis Malaysia telah memenangi satu kerusi parlimen dan satu kerusi DUN.
- Saya tidak melalui dengan sendiri peristiwa yang berlaku di tanahair. Agak sukar untuk saya menilai. Tetapi saya melihat, idealisme sosialis tetap memiliki daya tarikan, tetap ada orang yang mengikut jejak jalan ini. Sememangnya, dalam keadaan tertentu, ada kalanya perkembangannya lancar, ada kalanya tidak.
Sebagai seorang tokoh yang penting dalam sejarah, apakah harapan anda terhadap lapisan generasi muda Malaysia?
- Saya berharap generasi muda mengambil berat terhadap politik. Masing-masing bebas untuk memilih apa pun idealisme politik. Saya tidak mahu berkata, kamu datang ikut saya. Biar buat penilaian dengan otak sendiri, apakah yang baik dan apakah yang tidak baik.
Dari pemerhatian anda, apakah generasi muda kini cukup prihatin atau beridealisme dalam politik?
- Kamu yang seharusnya lebih faham daripada saya. Kamu berilah pendapat kepada saya.
Adakah anda masih bersetuju dengan merampas kuasa pemerintahan melalui perjuangan bersenjata?
- Ianya perlu lihat kepada keadaan pada ketika itu. Kalau kami menganggap tiada jalan selain perjuangan bersenjata untuk dapatkan kuasa, maka kita perlu mengambil jalan ini. Kalau kami menganggap ada jalan yang lain mengikut keadaan ketika itu, maka kami akan memilih jalan yang lain.
Apakah ungkapan bahasa Malaysia yang paling ingin anda katakan kepada orang Malaysia?
- Selamat tinggal.
Mengapa?
- Berharap semua orang tinggal dengan baik.
Tapi ia juga bermaksud untuk meninggalkan...
- Pun boleh kata begitu. [ketawa] Saya tidak tahu berapa lama lagi yang boleh saya hidup.
Latarbelakang
Chin Peng dilahirkan pada tahun 1924 di Setiawan, Perak. Beliau menjadi ahli Parti Komunis Malaya pada tahun 1940, dan menyandang jawatan Setiausaha Agung PKM pada Mei 1947 ketika berusia 23 tahun.
Selepas Rundingan Baling pada tahun 1955, Chin Peng hanya muncul di khalayak umum 34 tahun kemudian, iaitu pada Disember 2, 1989, untuk menandatangani Perjanjian Hadyai bersama kerajaan Malaysia.
* Siri laporan sempena ulangtahun Perjanjian Damai Haadyai serta sesi soal-jawab Chin Peng boleh dibaca dalam Merdeka Review di laman-laman berikut: