Selain melaungkan masa mencari wang untuk dana Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk), saya juga mengisi masa dengan menbantu menggalakkan seni budaya Kelantan. Saya sebenarnya bangga apabila saya dapat memperkenalkan diri saya sebagai anak Kelantan. Bukan kerena gedebe atau berani, ataupun kerana sikap kenegerian atau berkelompokan tetapi kerana Kelantan ada seni, ada budaya.
Bagi saya negeri Kelantan ialah negeri Melayu sejati, kaya dengan pelbagai kesenian rakyat traditional seperti permainan wau, gasing, wayang kulit, mak yong, dikir barat, menora dan lain-lain yang diminiati masyarakat daripada dulu sampai sekarang.
Popularnya kesenian rakyat tradisional ini turut pula melahirkan beberapa tokoh seni negara yang mashyur. Umpamanya dalam seni wayang kulit kita ada Hamzah Awang Hamat -- dikenali sebagai Tok Hamzah.
Dedikasinya kepada seni wayang kulit telah diiktiraf oleh negara dan beliau merupakan rakyat Kelantan yang pertama menerima Anugerah Seniman Negara pada tahun 1994. Begitu juga dengan Dolah Baju Merah. Sayangnya kedua-dua tokoh ini telah lama meninggalkan kita buat selama-lamanya. Seorang lagi tokoh seni yang terkenal dari Kelantan ialah Khadijah Awang yang mashyur dengan gelaran primadona mak yong. Dedikasinya terhadap seni mak yong memang luar biasa. Beliau mula menceburkan dirinya dalam kesenian mak yong sejak berusia 14 tahun dan sejak daripada itu terus mangabdikan dirinya kepada seni sehinggalah ke akhir hayatnya.
Saya beruntung kerana dapat mengenali Khadijah Awang dan suaminya Zakaria Abdullah serta anak-anak mak yongnya melalui pertubuhan Seri Temenggung. Saya sebagai penaung pada masa itu dapat berkenalan dengan mereka dan memahami sedikit sebanyak aspek seni itu.
Dengan pertolongan kecil daripada saya sempatlah juga Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Jah meneruskan beberapa pementasan di Kuala Lumpur sebelum meninggal dunia. Sumbangan Kak Jah amat besar dan mujurlah beliau diberi pengiktirafan tertinggi oleh negara -- Anugerah Seniman Negara pada tahun 1999 -- setahun sebelum permata seni tanah air yang tiada tolok bandingnya ini meninggal dunia pada tahun 2000.
Itu semua nama-nama besar. Sedangkan banyak lagi tokoh-tokoh seni budaya Kelantan yang tidak dikenali ramai tetapi penuh dedikasi terhadap bidang seni masing-masing. Walaupun mereka dipinggirkan media arus perdana, kebanyakannya tetap setia dalam bidang seni mereka. Sebab itulah saya berasa sedih apabila golongan atasan cuba memperkecil atau menghina seni yang mereka perjuangkan kononnya tidak ada tempat dalam agama ataupun masyarakat.
Seni dan bangsa Pemimpin elit dan pentadbir Melayu suka mengharamkan seni dan adat budaya bangsa sendiri. Maklumlah mereka ada kuasa. Mak yong, wayang kulit, menora dan konsert moden dianggap bertentangan dengan agama Islam oleh pemerintah masa kini. Kalaulah pandangan ini betul, Islam yang tiba di tanah air lebih 800 tahun dahulu, tidak sempurna kerana banyak unsur-unsur Melayu terselit bersama-sama amalan agama.
Apakah ulama muktabar Melayu berabad-abad lamanya lebih rendah pengetahuan agama berbanding pegawai dan kakitangan jabatan agama pada hari ini?
Nampaknya Islam yang dikatakan sempurna itu hanya timbul apabila orang Melayu mula menubuhkan parti-parti politik sejak lebih 50 tahun dahulu.
PAS kembali memerintah Kelantan pada tahun 1990. Apapun dasar kerajaan Kelantan pada mulanya, di setiap pelosok negeri anak-anak Kelantan terus aktif dalam seni tradisional. Setelah lebih dua penggal, semakin ramai pemimpinnya menyedari pentingnya budaya dan adat resam, Kini PAS Kelantan semakin terbuka sikap mereka dalam isu seni budaya, malah konsert moden juga dibenarkan walaupun dalam cara yang terhad.
Pemimpin Melayu daripada parti mana sekalipun mesti sedar bahawa identiti dan personaliti Melayu bergantung kepada seni dan budaya yang sihat dan berkembang.
Usaha untuk menutup kemajuan budaya ini merugikan. Saya katakan begitu kerana pengharaman ini menjadikan kesenian rakyat sejak turun-temurun semakin hilang tapak dan akan berkubur.
Apakah yang kita akan ganti dengan seni dan budaya? Bangsa Melayu masih belum mempunyai kebolehan luar biasa selain daripada seni. Kita belum lagi ramai ahli sains yang menjadi pemenang Hadiah Nobel atau sasterawan bertaraf dunia daripada kalangan orang Melayu. Yang istimewa pada orang Melayu adalah seni. Umpamanya kehebatan P. Ramlee adalah bukti kegemilangan dan kecermerlangan seni Melayu. Dengan menggabungkan medium filem dan lagu, P. Ramlee benar-benar seorang seniman yang tiada tolok bandingnya, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia. Tetapi P. Ramlee telah meninggalkan kita lebih 30 tahun lamanya dan hingga sekarang belum ada penggantinya. Itulah sebabnya filem-filem P. Ramlee ditayangkan berulang-ulang kali di semua stesen TV di negara ini.
Sumbangan orang Melayu kepada tamadun zaman adalah seni dan tradisi. Ciri-ciri dan sifat sesuatu bangsa terbina daripada tradisi, budaya dan adat resam. Ia menggambarkan identiti, menambah serta merangsang kreativiti dan vitality sesuatu bangsa,.
Semua kesenian berakar umbi daripada pengalaman sejarah, ilmu, bahasa, seni dan budaya masyarakat silam. Jadi apabila kesenian ini diharamkan atau ditutup daripada khalayak ramai, maka hilanglah jati diri, personaliti dan ciri-ciri bangsa itu.
Maka menjelmalah bangsa yang mudah lupa, mudah menjual maruah kepada pangkat dan upah. Kita tidak perlu takut kepada sejarah lepas, meskipun ia kini sudah berbeza dengan kehidupan dan kepercayaan masa kini. Budaya itu dinamik dan ia akan berubah dari masa ke semasa. Begitu juga dengan kesenian.
Kalau kesenian bangsa kita diharamkan, maka generasi muda akan kehilangan identiti, tiada personliti dan tiada tradisi.
Jiwa kita kosong, justeru itu kita hanya akan bergantung kepada bentuk-bentuk lain untuk berhibur atau melepaskan kebosanan seperti dadah, seks dan angan-angan kosong ynag tiada matlamat untuk mengisikan diri.
Di negara-negara maju, kesenian bangsa bukan sahaja dipelihara, malah dipupuk dan dikembangkan sebegitu rupa sehingga generasi muda terlibat sama; malah ada yang menjadikannya sebagai kerjaya dan mendapat pendapatan yang lumayan.
Lihat sahaja pelakon drama dan teater di negara Barat. Mereka boleh hidup senang mendapat rezeki dengan melibatkan diri sepenuh masa dalam pelbagai aktiviti seni, baik yang tradisional mahupun moden. Cara pendekatan dalam kita membentuk generasi kita mestilah selaras dengan keadaan semasa zaman sekarang dan selera mereka. Kita tidak lagi boleh mengawal semuanya. Paksaan akan hanya berkesan buat sementara sahaja.
Itupun kerana takut kepada pihak yang berkuasa; sama seperti anak takutkan bapa yang garang. Tetapi lama-kelamaan anak itu akan menjadi bijak mencari alasan atau jalan keluar yang akhirnya merosakkan diri akaibat terlalu dikongkong oleh ibu bapa yang garang. Anak Melayu memang memerlukan pendidikan agama yang sihat tetapi ajarannya tidak semestinya kolot, sebaliknya berteraskan pembelajaran yang menggalakkan pemikiran dan penggunaan akal dalam memahami wahyu Ilahi.
Pada masa yang sama, mereka harus diberi kebebasan untuk mengekpresikan diri. Ajarlah anak-anak kita etika, falsafah dan seni. Berilah mereka ruang untuk memahami bangsa sendiri melalui pintu sejarah dan budaya silam. Mereka akan sendirinya menilai yang mana baik dan yang mana buruk.
Oleh itu, pengamal-pengamal seni di Kelantan dan di Malaysia amnya tidak patut mudah putus asa walaupun terpaksa menghadapi tekanan birokrat yang kebanyakan mereka bukan sahaja tidak kreatif malah ada yang buta seni.
Biarlah mereka yang memahami dan menghargai seni terus membantu dengan apa cara yang boleh asalkan seni budaya bangsa tidak mati dikuburkan oleh pucuk pimpinan Melayu sendiri.
Kepelbagaian budaya kita sebenarnya aset yang besar kepada negara. Budaya Melayu, Cina, India serta lain-lainnya mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa. Ia akan menjadikan satu kaitan rapat untuk meningkatkan hubungan antara kaum.
Bagi orang Melayu, anda akan lebih 'kaya ' jika mengenali adat budaya kaum lain. Begitu juga dengan kaum-kaum lain yang mengenali budaya Melayu.
* Sedutan di atas adalah daripada buku 'Aku Pun Melayu' oleh Zaid Ibrahim, halaman 196-200 dan diterbitkan semula di CPI dengan izin penulis. 'Aku Pun Melayu' juga sudahpun diterjemahkan ke bahasa Inggeris 'I, too' am Malay' dan bahasa Cina 'Wo ye shi ma lai ren'.