Oleh kerana Jim tidak sama dengan Islam, maka tidaklah logik jika ulasan itu diperbesar-besarkan dan disamakan dengan Islam telah dihina, lalu didesak agar Akta Hasutan atau ISA diambil terhadap Jeff Ooi.
Kempen media aliran perdana untuk memburuk-burukkan DAP sebagai parti anti-Islam telah berhasil buat sementara, sekurang-kurangnya polis telah mengambil keputusan untuk memanggil ketua pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
Perkembangan terbaru ini merupakan tindakan susulan selepas Perdana Menteri Najib meminta pihak berkuasa menyiasat kes-kes terbabit akibat desakan agar Akta Hasutan ataupun ISA digunakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP terbabit, yang kononnya telah menghina Islam.
Rasanya kempen ini bukan insiden terpencil terhadap DAP semata-mata, ia mungkin merupakan sebahagian daripada strategi Umno/BN yang lebih besar, bertujuan untuk merampas kembali kuasa pemerintahan di Selangor.
Padahal ketua pembangkang Anwar Ibrahim sudah memberi amaran tentang konspirasi Umno/BN tersebut, dan Perdana Menteri Najib Razak sendiri juga tidak sembunyikan agendanya hendak merampas kembali kuasa pemerintahan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR).
Agenda merampas kuasa pemerintahan Selangor
DAP dituduh sebagai anti-Islam, pada masa yang sama Anwar dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan agama, dan PAS sebaliknya dipelawa untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno, taktik-taktik ini padahal berabdi kepada strategi yang sama.
Iaitu memperadudombakan PAS dengan DAP dan PKR di bawah slogan menyatupaduan kaum Melayu dan agama Islam, agar Pakatan Rakyat berpecah-belah dan kuasa pemerintahan Selangor bisa dirampas seperti yang telah berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak.
Selanjutnya biar kita meneliti kes-kes terbabit yang kononnya menghina Islam secara lebih perinci.
Kes pertama, Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi yang akan disiasat di bawah Akta Hasutan padahal hanya menyifatkan ‘ekstremis’ seorang anggota Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang mewaklili PKR dan bertugas sebagai ahli majlis perbandaran Pulau Pinang. Beliau telahpun tarik balik ulasan terbabit atas arahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Sama ada JIM pertubuhan ekstremis atau tidak terpulanglah kepada anggapan masing-masing. Yang penting ialah kita harus bersikap liberal dan menghormati kebebasan bersuara setiap rakyat Malaysia dalam membuat kritikan dan kritikan-balas.
Tidak dapat dinafikan bahawa kritik-mengkritik atau berdebat secara rasional dan membina merupakan amalan lumrah dalam sesebuah demokrasi yang matang. Mendesak agar Akta Hasutan ataupun ISA digunakan untuk menyekang kebebasan bersuara jelas sekali bertentangan dengan semangat demokrasi, tak kira dengan apa alasan sekalipun.
DJZ pernah dicap sebagai komunis dan Al’maunah
Ketika kejadian Suqiu dahulu, pimpinan Dong Jiao Zong (DJZ) pernah dicap oleh Perdana Menteri masa itu, Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘komunis’ dan Al’maunah. DJZ terpaksa mempertahankan pimpinannya melalui sanggahan dan perdebatan menurut amalan demokrasi.
Dalam peristiwa kafir-mengkafir antara PAS dan Umno, yang diuji ialah dakwah dan amalan syariat-syariat dan ajaran Islam yang lebih sempurna, bukan kekuatan Akta Hasutan ataupun ISA.
Malah bila cadangan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat agar kerajaan negeri Kelantan PAS bekerjasama dengan kerajaan persekutuan Barisan Nasional telah diputarbelitkan sebagai hasrat PAS ingin bekerjasama dengan Umno. Tok Guru begitu marah sekali sehingga menengking: Pergi jahanamlah Umno!
Namun, tiada mana-mana pihak yang menganggap Melayu/Islam telah dihina, lalu mendesak agar Tok Guru didakwa di bawah Akta Hasutan atau diambil tindakan ISA.
Logiknya mudah saja: mengkritik Umno tidak boleh disamakan dengan mengkritik orang Melayu atau Islam; justeru, mengkritik JIM atau ahlinya juga tidak boleh disamakan dengan mengkritik Islam. Sekalipun mana-mana pertubuhan Islam berasa terhina, ia juga tidak boleh disamakan dengan Islam pada keseluruhannya telah dihina!
JIM tidak sama dengan Islam
Lantaran itu, jika Jeff Ooi telah menyifatkan JIM sebagai pertubuhan ekstremis, maka terserahlah kepada JIM untuk respons. Oleh kerana Jim tidak sama dengan Islam, maka tidaklah logik jika ulasan itu diperbesar-besarkan dan disamakan dengan Islam telah dihina, lalu didesak agar Akta Hasutan atau ISA diambil terhadap Jeff Ooi.
Liu hanya menjalankan tugas
Dalam kes Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dari DAP dituduh sebagai campur tangan dalam tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas minuman keras ke atas kedai 7-Eleven di Seksyen 8, Shah Alam, penjelasan Liu juga perlu diambil kira.
Menurut Liu, penjualan bir yang kandungan alkoholnya kurang daripadaa 8.8 peratus, mengikut Akta Eksais 1976 yang digunapakai sekarang, tidak memerlukan lesen. Ini bermakna serbuan dan rampasan bir oleh MBSA sebenarnya salah di sisi undang-undang yang dikuatkuasakan sekarang, dan kesalahan ini telahpun diakui oleh pihak penguasa yang terbabit.
Sebagai ahli exco yang bertanggungjawab untuk menyelia bidang tersebut, Liu padahal hanya menjalankan tugasnya untuk membetulkan tindakan yang salah di sisi undang-undang, supaya bir yang dirampas itu dipulangkan kepada pemilik kedai terbabit. Dalam hubungan ini, Liu tentu tidak boleh dituduh sebagai menghina Islam.
Yang menghairankan ialah yang ambil inisiatif untuk membelasah Liu secara terbuka bukan datang dari pihak Umno/BN, tetapi dari seorang lagi exco kerajaan Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hassan Ali. Nampaknya kes ini mungkin berudang di sebalik batu!
Kes Ridhuan Tee tak berhati perut
Kes ketiga yang lebih menggemparkan berkaitan dengan Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke, Beliau telah dituduh menulis beberapa artikel menghina Islam dan juga Sultan Perak dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
Antara lain, Ahli Parlimen Kulim dari PKR, Zulkifli Noordin, telah membelasah laman web yang telah memuatkan kenyataan akhbar Loke kemudiannya menyiarkan komen (yang menurut Zulkifli), menghina agama Islam dengan bahasa kesat, lucah, biadap dan melampau terhadap Dr Mohd. Ridhuan Tee.
Loke mengaku beliau telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang bertajuk: “Ridhuan Tee harus minta maaf daripada keluarga Teoh Beng Hock??? untuk mengutuk Ridhuan kerana membuat “ulasan yang kejam dan tanpa hati perut berkaitan isu bayi Teoh Beng Hock yang belum dilahirkan??? dan “menyeru agar Dr Mohd. Ridhuan segara meminta maaf daripada keluarga Teoh dan China Press dan Nanyang Siang Pau???.
Namun beliau menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pemunya laman web yang tidak bertanggungjawab serta komen-komen terbabit.
Dalam laman Rocky’s Bru, artikel ‘original’ yang didakwa ditulis oleh Loke telah disiar semula, sekali lagi tanpa verifikasi dengan Loke sama ada beliau adalah penulisnya seperti yang didakwa.
Maka terletuslah hamburan sumpah seranah dan caci maki rasisme yang amat melampau sekali, lantas menjadi perdebatan dan konfrontasi anika jurusan (sudah melebihi 200 komen pada saat ini) antara mereka yang berbeza latarbelakang ideologi dan politik, dan terbahagi menjadi dua kumpulan besar, iaitu yang pro-Umno dan yang anti-Umno.
Disiar semula tanpa verifikasi
Dalam surat kepada Rocky, Loke dengan sekeras-kerasnya menafi beliau pernah menulis artikel menghina Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti dituduh. Katanya, beliau tidak tahu-menahu tentang laman ‘The Might of the Pen’ sebelum ini. Satu-satu lamannya ialah ‘lokesiewfook.blogspot.com’.
Tambah beliau: “Saya tidak pernah menulis sebarang artikel untuk menghina keluarga diraja, Melayu atau Islam dalam hayat hidup saya. Ada usaha hendak menfitnah Pemuda DAP dan saya dengan sebaran penipuan bahawa kami adalah anti-Islam dan anti-keluarga diraja.
“Saya tidak tahu gerangan siapakah yang mengendalikan laman web terbabit, saya tiada sebarang hubungan dengannya. Sebagai seorang pengendali laman web yang bertanggungjawab, adalah harapan saya supaya kamu [Rocky Bru] membuat verifikasi mengenai faktanya sebelum membuat sebarang dugaan. Saya akan membuat aduan polis hari ini untuk menafi saya yang menulis artikel terbabit, dan saya harap kamu akan siarkan penjelasan saya untuk menjernihkan suasana. Terima kasih.???
Rocky sudahpun menyiarkan surat Loke dalam lamannya seperti yang diminta, dan Loke juga telah membuat aduan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk menafikan beliau pernah menulis artikel untuk menghina Islam, Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti yang dituduh.
Kini, Loke dan Jeff Ooi sedang disiasat polis di bawah Akta Hasutan. Moga-moga keadilan akan tercapai akhirnya!