(Diterjemahkan oleh Izmil Amri)
Utusan Malaysia telah menuduh bahawa penasihat DAP, Lim Kit Siang telah pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar* kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan kerana latar belakang ini, kononnya Singapura akan menggunakan DAP sebagai cara untuk mencapai objektif politiknya di Semenanjung Malaysia.
Wah! Ini satu tuduhan serius.
Namun, jika dilihat kepada fakta-fakta secara objektif, tuduhan oleh Utusan Malaysia bukan sahaja jahat, malah benar-benar bodoh. Inilah politik longkang.
Sebenarnya, ahli-ahli politik Umno (di semua peringkat) berpegang kepada pendapat bahawa orang Cina, sebagai pendatang adalah sangat bernasib baik kerana diberi hak warganegara apabila United Kingdom memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Ia merupakan suatu konsessi yang besar oleh pemimpin-pemimpin Umno. Sebuah perjanjian politik yang dibuat antara Umno dan MCA. Justeru orang Cina mesti selama-lamanya berterima kasih kepada Umno.
Ini adalah ‘kebenaran’ dan ‘realiti’ yang Umno mahu pastikan diterima oleh semua.
Saya tidak mahu masuk ke dalam polemik isu pecah-belah ini, tetapi memadai untuk mengatakan bahawa Utusan Malaysia dan politsi Umno mesti menjelaskan kepada penyokong mereka dan kepada masyarakat Melayu ramai, mengapa walaupun mereka berpaling daripada orang Cina di Malaysia (disebut sebagai 'Trojan Horse' Singapura seperti yang didakwa terhadap Lim Kit Siang), mereka tetap kagum dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee KuanYew?
Saya merujuk kepada lawatan oleh Encik Lee Kuan Yew dan layanan permaidani merah yang diberikan kepadanya. Pemimpin asing yang lain, seperti Margaret Thatcher pun tidak pula menerima layanan seperti itu, kurang perhiasan dan upacara sederhana. Tetapi Lee Kuan Yew telah diberi peluang untuk bercakap kepada pemimpin-pemimpin negara dan juga ‘Wanita Pertama’ negara telah mendapat pertemuan khas dengan pemimpin Cina ini. Intelektual-intelektual kita dalam badan-badan pemikir terkemuka pula kelihatan sangat bersemangat untuk menyerap kebijaksanaan beliau dalam hal tataurus negara, teori-teori ekonomi dan analisis geopolitik. Bakal-bakal Perdana Menteri di masa depan sepatutnya berjumpa dengan Lee Kuan Yew untuk mengabsahkan kedudukannya sebagai pemimpin masa depan yang mampu untuk berdiri setanding dengan orang Inggeris berkulit gading ini.
Pedagang kuasa politik dan perniagaan Umno tidak pernah berhenti dalam usaha mereka untuk menggoda ahli perniagaan Singapura untuk melabur di Malaysia. Kita tidak perlu melihat lebih jauh daripada projek Iskandar yang nilainya berbilion ringgit di Johor. Kejayaannya bergantung sebahagian besarnya kepada Singapura dan pelaburan negara itu di rantau ini. Media massa dipenuhi dengan lidah pengarang, rencana dan gambar yang membayangkan hubungan rapat pemimpin-pemimpin kita dengan rakan sejawat mereka di Singapura.
Dan ini adalah sebuah ironi. Majoriti rakyat di Singapura adalah berketurunan Cina dan mengikut sejarah, kebanyakan orang Cina di Singapura berasal dari Semenanjung Malaya. Sama juga untuk orang Melayu dan India di Singapura. Orang Singapura akan memberitahu mana-mana pengunjung bahawa mereka mempunyai saudara mara di Malaysia. Singapura sebenarnya dimiliki oleh Sultan Johor sehingga penjajah British mengeluarkannya supaya menjadi entiti politik yang berasingan.
Kerajaan negeri Johor berusaha keras untuk memastikan bahawa rakyat Singapura boleh melabur di Iskandar dan membeli hartanah kediaman yang bernilai lebih rendah berbanding hartanah yang serupa di Singapura.
Bukankah kita sedang membenarkan orang Cina Singapura (yang bukan warganegara dan yang tidak membayar cukai pendapatan) untuk menikmati hampir semua faedah kewarganegaraan tanpa tanggungjawab sebagai warganegara?
Bagaimanakah Utusan Malaysia dan ahli politik Umno tidak menganggap kemasukan besar rakyat Singapura ini sebagai sebuah ancaman nasional, tetapi menuduh pula Lim Kit Siang sebagai ancaman sedangkan beliau adalah wakil rakyat yang dipilih dalam Parlimen Malaysia, dan pada satu masa merupakan Ketua Pembangkang di dewan yang mulia itu?
Bagaimana mungkin Utusan Malaysia dan ahli politik Umno (kecuali Tun Dr Mahathir) membiarkan penjualan pasir kepada Singapura dan dengan itu membantu dalam pengembangan wilayah Singapura yang pada masa yang sama menjejaskan kawasan pantai dan pesisiran Malaysia?
Bagaimanakah Utusan Malaysia dan ahli politik Umno tidak membuat gempar dan melalak apabila Tan Sri Hassan Merican (kiri), presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas yang cemerlang itu disingkirkan dan kemudian mencari beroleh kemakmuran di Singapura, menjual kepakaran beliau kepada Singapura? Mengapa tiada kutukan oleh Utusan Malaysia terhadap Tan Sri Hassan Merican?
Bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno ini menjual air kepada Singapura pada harga pra-Perang Dunia Pertama, walaupun dibantah Tun Mahathir Mohamad?
Bisunya Utusan Malaysia mengenai isu-isu di atas adalah mengejutkan, namun ia masih sanggup menuduh seorang anak setia Malaysia kononnya melemahkan negara dalam pakatan sulit dengan Singapura. Walaupun saya mungkin tidak menyokong DAP sebagai sebuah parti politik, saya tidak mempunyai sebab untuk meragui kesetiaan Lim Kit Siang kepada negara di mana beliau telah membuat pengorbanan peribadi yang besar apabila dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk kepercayaan politiknya.
Saya tertanya-tanya berapa ramai penulis di Utusan Malaysia yang bersedia untuk membuat pengorbanan yang serupa!
Dan menambah penghinaan kepada kecederaan, penulis editorial bankrap intelek ‘Awang Selamat’ boleh pula menuduh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, mengambil bahagian dalam rusuhan kaum 13 Mei** sedangkan pada waktu itu, beliau hanyalah seorang budak kecil berusia lapan tahun. Ini menunjukkan bahawa Utusan Malaysia adalah organ bicara fasis sekumpulan kecil pemimpin Umno yang semakin hampir menemui ajal, dan sedang berhadapan dengan mimpi ngeri kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Sebenarnya, tukang-tukang tulis fasis ini yang akan menjadi punca kejatuhan Umno dan Barisan Nasional. Mereka mencerminkan segala yang buruk tentang Umno dan bukan yang baik-baik. Ada orang baik dalam Umno dan Barisan Nasional tetapi malangnya mereka tidak mempunyai keberanian untuk mengutuk kesalahan pecacai-pecacai politik ini.
Dosa-dosa mereka adalah dosa-dosa pengabaian, dan mereka akan memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk kehancuran Barisan Nasional kerana mereka sebenarnya boleh mematahkan politik longkang ini tetapi mereka memilih untuk berdiam diri.
Sebuah bingkisan perpisahan buat para si luncai.
Baru-baru ini, media arus perdana yang dikuasai Barisan Nasional kecoh tentang dakwaan Surat Sokongan yang dikeluarkan oleh setiausaha politik Menteri Besar Selangor sebagai bukti rasuah.
Surat sokongan bukanlah surat kelulusan atau saranan. Bahkan ia adalah satu jemputan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menimbangkan permohonan itu jika ia mempunyai merit.
Jika benar surat itu adalah perbuatan rasuah, maka Barisan Nasional perlu didakwa terlebih dahulu untuk begitu banyak surat sokongan yang telah mereka keluarkan selama ini. Ia adalah suatu kelaziman dalam semua pentadbiran Barisan Nasional di peringkat Persekutuan dan Negeri. Seandainya kita lupa, ada sebuah jenaka dahulu bahawa Perdana Menteri kelima begitu akomodatif dalam mengeluarkan surat sokongan, sehinggakan bagi setiap projek yang diluluskan akan terdapat lebih daripada sepuluh surat sokongan bagi sepuluh personaliti dan entiti korporat berbeza.
Jadi berhati-hatilah, kerana dakwaan terhadap Pakatan Rakyat ini barangkali boleh berpatah balik terhadap Barisan Nasional kerana pembangkang akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengedarkan beribu-ribu surat yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Menteri Besar, Setiausaha Politik, Menteri-menteri dan Perdana Menteri, dahulu dan sekarang.
Terdapat satu lagi halangan besar yang menambat leher menteri Barisan Nasional.
Peniup wisel terbaik sebenarnya bukanlah penjawat awam, tetapi adalah ahli perniagaan yang kalah tender kepada saingan yang hanya mendapat projek kerana hubungan politik meskipun tidak layak.
Apabila berbilion-bilion ringgit dipertaruhkan dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk mengemukakan tender, pastilah orang yang berjaya dengan taktik licik akan menghadapi risiko pendedahan.
Perlu saya katakan lebih lagi?
Berjaga-jagalah menteri-menteri Barisan Nasional.
Nota pengarang:
* Lim Kit Siang telah menafikan yang beliau menyandang jawatan setiausaha akhbar Lee Kuan Yew dalam tahun 1960-an. Kit Siang menjelaskan bahawa beliau sebenarnya bertugas sebagai seorang wartawan di Singapura dari tahun 1961-1964 seraya berkhidmat sebagai setiausaha agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan Singapura (1962-1963) serta pernah bekerja dalam jabatan akhbar Kementerian Kebudayaan.
** Kit Siang juga menjelaskan bahawa tuduhan tentang penglibatan anaknya Lim Guan Eng dalam kejadian rusuhan kaum Mei 13 telah dibuat oleh salah seorang laskar siber Umno dan bukannya oleh Awang Selamat.
Rencana di atas dikarang oleh Matthias Chang pada asalnya dalam bahasa Inggeris dan ia boleh dibaca di blognya Future Fastforward di bawah tajuk ‘ The Singapore factor in Malaysian politics ’ (2 Julai 2012).