Program Transformasi Kerajaan [PTK] yang dilancarkan pada Januari 2010 mengandungi beberapa inisiatif ke arah mencapai Wawasan 2020.

Perdana Menteri dalam kata-kata aluannya menyatakan bahawa PTK ialah "satu program yang berani dan di luar jangkaan untuk membawa perubahan ataupun transformasi kepada kerajaan dan memperbaharui fokus penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Malaysia".

Berasaskan Gagasan 1Malaysia dengan konsep 'Rakyat didahalukan, pencapaian diutamakan', PTK dipersembahkan sebagai satu program yang akan mentransformasikan penyampaiaan perkhidmatan demi membangun negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Namun salah satu inisiatif PKT (petikan yang dipaparkan di bawah) masih kurang mendapat perhatian daripada media massa mahupun media alternatif, serta sambutan awam.

 



Hasrat untuk mengkikis politik perkauman kena pada tempatnya kerana pada hakikatnya "retorik berasaskan kaum dan agama masih kedengaran."

Sejak Mac 2008, beberapa ahli politik individu mahupun NGO tertentu yang kononnya jaguh mahu mempertahankan kepentingan kaum masing-masing telah tampil dengan dengan retorik dan tindakan yang boleh dianggap terlampau. Kita juga telah menyaksikan beberapa insiden melibatkan juara-juara kaum yang menyinggung perasaan sesuatu kaum atau penganut agama lain.

Natijah senario perkembangan politik yang runcing serta merunsingkan ini -- di mana kedua-dua gabungan parti politik berlumba-lumba untuk memancing undi rakyat -- seruan "kepada semua ahli politik untuk bergerak ke arah politik inklusif, menitik beratkan kepada banyak isu am yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia..." harus diberi sokongan padu.

Mencari penyelesaiaan bersama 

Bagi merealisasikan politik inklusif, kedua-dua gabungan parti politik harus memberi penimbangan kepada satu pendekatan bipartisan.

'Bipartisanship' dalam satu sistem politik merujuk kepada persefahaman antara kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaiaan bersama untuk mengatasi masalah-masalah nasional. Maka mereka bersetuju untuk mengenepikan kepentingan parti politik masing-masing demi kepentingan rakyat. Ianya memerlukan tolak-ansur supaya masa depan negara sebagai satu entiti yang bermiafakat akan terjamin.

Pendekatan ini berjaya dilaksanakan di beberapa negara maju. Sebagai contoh, pada tahun 1965 pendekatan bipartisan digunakan oleh kerajaan Britain di mana parti pemerintah [Labour Party] dan parti pembangkang [Conservative Party] bersetuju secara prinsip untuk tidak menyentuh dan mengeksploitasikan isu-isu ras dan imigresen dalam proses politik negara.

Soalnya ialah apakah isu pokok masa kini yang harus ditangani dengan menggunakan pendekatan bipartisan?

Dua isu berikut harus dipertimbangkan:

1. Politik Perkauman

Ternyata amat sukar untuk menghapuskan stereotaip ataupun prasangka buruk kaum dan seterusnya cara politik perkauman yang diamalkan sejak Merdeka lagi. Ianya memerlukan anjakan paradigma bukan sahaja dari segi struktur tetapi lebih-lebih lagi tingkahlaku peribadi.

Perubahan minda dan tabiat bukan sesuatu yang mudah dicapai. Akan tetapi sekiranya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ikhlas, isu politik perkauman boleh ditangani dengan memeterai persefahaman bipartisan.

Misalannya, pucuk pimpinan boleh bersetuju prinsip dan kriteria bagi mengambil tindakan tertentu terhadap ahli-ahli mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, ataupun aktiviti sedemikian.

Sebagai contoh, memecat sahja Ahli Parlimen, Adun biarpun akar-umbi yang melanggar tatasusila tersebut. Kedua-dua BN dan PR boleh bersepakat dalam hal ini.  

Dengan berbuat demikian, isyarat tegas akan dihantar bukan sahaja kepada ahli-ahli  parti politik, tetapi juga kepada masyarakat umum bahawa pemimpin negara prihatin tentang perkara ini. 

2. Masalah golongan berpendapatan rendah

Isu lain ialah taraf hidup 40 peratus isi rumah dalam golongan pendapatan terendah. Hampir 2.4 juta daripada jumlah enam juta isi rumah dalam negara hidup dalam keadaan serba kekurangan ataupun dengan seadanya sahaja.

Hakikat ini diakui semua. Salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara [NKRA]1 di bawah PTK adalah NKRA "Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isirumah Berpendapatan Rendah" dengan aspirasi "tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan".

Kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat ['common policy framework] yang diumumkan pada Disember 2009 juga menitikberatkan komitmen untuk menyelesaikan masalah ini dengan program afirmatif berdasarkan keperluan.

Bagi mewujudkan pendekatan bipartisan, perlulah para pembangkang dan pihak kerajaan berikhtiar:-

1. Menyeragamkan dasar dari sudut definasi kumpulan sasar;

2. Mengutip dan berkongsi data mengenai kumpulan sasar secara telus;

3. Melibatkan semua Ahli Parlimen dan Adun secara langsung dalam perancangan program bagi kumpulan sasar di kawasan masing-masing;

4. Mengagihkan peruntukan untuk program berasaskan kehendak sebenar di kawasan Parlimen/DUN tanpa mengambil kira kawasan itu dipegang oleh BN atau PR; dan

5. Mengeluarkan arahan khusus kepada pegawai awam di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan program secara berkecuali, adil dan saksama.

Rumusan

Kini rakyat menaruh harapan kepada pucuk pimpinan kedua-dua gabungan politik kita supaya mengambil langkah yang wajar dan jitu bagi menangani masalah pokok masyarakat.

Para pemimpin Barisan Nasional sebagai parti pemerintah perlu mengorak langkah, lalu menghulur tangan kepada Pakatan supaya pendekatan bipartisan boleh direalisasikan. 

Rakyat akan menyanjung tinggi dan menghormati pemimpin yang jujur serta berani bermuafakat untuk membelakangkan konsep lama yang menekankan politik perseteruan, yakni lawan tidak boleh dijadikan kawan. Alangkah baiknya jika kedua-dua pihak boleh kuatkan azam untuk berkiblatkan cogankata Najib bahawa 'Rakyat didahulukan'?

***************************************

1. NKRA = National Key Results Area