Kerajaan sedang merumuskan satu Model Ekonomi Baru [MEB] untuk mengangkat negara kepada sebuah ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020. MEB jangka akan diumumkan pada bulan Februari 2010.

Pada masa kini, Malaysia diklasifikasikan sebagai suatu ekonomi pendapatan sederhana teratas dengan pendapatan per kapita US$7,000. Malaysia berhasrat untuk membangunkan sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita sekurang-kurangnya US$15,000. Pendapatan per kapita US$21,000 disasarkan di bawah rancangan Wawasan 2020. Maka angka US$15,000 yang diuar-uarkan sekarang merupakan penurunan ketara.


Pertumbuhan pendapatan per kapita di Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara  pesaing. (Sila lihat jadual.)

  PENDAPATAN PER KAPITA (US$)
Negara 
1971 1981
 1991 2001  2008
 Korea 
  302   1,648 7,119  10,243 
 19,505
 Taiwan  -NA- 
  4,859  8,077 14,426 17,040
 Singapura 
 1,061 5,645 
 17,750 20,865  38,172
 Hong Kong 1,107  6,015 15,353 24,695 31,887
 Malaysia
  406  1,805  3,099   3,701
  7,000

 

Para perancang ekonomi kerajaan pada lazimnya menjangka bahawa ekonomi akan bertumbuh dengan pesat. Namun pakar-pakar ekonomi berpendapat pertumbuhan pesat yang dilalui oleh Malaysia pada dekad 1990an tidak akan berulang. Tambahan pula, pertumbuhan dulu tidak berlandaskan kenaikan produktiviti mampan, seperti yang dihasratkan oleh perancang ekonomi kerajaan.

Kerajaan telahpun mengakui bahawa Malaysia sekarang hanya berlegar dalam lingkungan pendapatan sederhana dan tidak akan mencapai status negara maju sepertimana yang diidamkan Wawasan 2020.

Penunjuk-penunjuk awal ialah bahawa MEB akan berteraskan landasan pengetahuan, inovasi dan kreativiti, dengan tumpuan strategik kepada:


•    Meningkatkan produktiviti dan menggalakkan inovasi
•    Mempertingkatkan daya saingan
•    Memperkasakan modal insan
•    Meningkatkan infrastruktur sosial dan fizikal; dan
•    Mempertingkatkan perkongsian antara  sektor awam dan swasta
 

Apa sebenar yang baru?


Adakah MEB hanya ‘cerita lama’ dikisahkan dengan nama baru? 


Pada 2001 semasa melancarkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (2001-2010) kerajaan telahpun mengumumkan hasratnya untuk mencapai satu ekonomi yang berasaskan pengetahuan [knowledge-based economy].

 


“Ekonomi berasaskan pengetahuan akan menyediakan landasan ke arah mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing antarabangsa untuk mencapai objektif Wawasan 2020???. 

 


Pada 2001, rasional yang diumumkan bagi menjurus ke arah satu ekonomi berasaskan pengetahun ialah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan mampan serta mengekalkan daya saing.i


Teras utama Pelan Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan yang diumumkan oleh kerajaan di antara lain adalahii :  

•    Membina tenaga kerja berasaskan pengetahuan, antara lain melalui kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan latihan;
•    Mempergiatkan daya usaha dalam sains dan teknologi dan penyelidikan dan pembangunan bagi memperkukuhkan sistem inovasi negara;
•    Mempercepatkan pembangunan infrastruktur maklumat bagi membantu pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan; dan
•    Meningkatkan kandungan pengetahuan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan;

Apakah sebenarnya perbezaan di antara MEB dan apa yang telahpun dicadangkan oleh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga? Rasional dan teras MEB nampaknya hampir sama sahaja dengan rancangan tersebut. 

Kesinambungan falsafah Dasar Ekonomi Baru


Semenjak 1970, falsafah pertumbuhan dengan pengagihan saksama [growth with equity] telah memandu semua rancangan rancangan Malaysia. Objektif kembar DEB, iaitu untuk membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat telah membimbing perancangan dasar ekonomi.


Akibatnya, program dan projek pembangunan telah digubal dan dilaksanakan berdasarkan pengurangan kemiskinan serta pengagihan saksama antara kaum, kononnya bagi menjamin matlamat utama iaitu, perpaduan negara.


Selepas hampir 40 tahun menggunakan falsafah DEB, kadar kemiskinan dan jurang perbezaan ketara di antara pendapatan isi rumah masih menjadi isu genting dalam masyarakat kita.


Purata Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] RM723 yang digunakan menunjukkan bahawa Malaysia telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 3.6% pada 2007.  Gambaran ini nyata palsu!


Sekiranya PGK dikirakan RM2,000 – andaian jumlah yang lebih realistik dalam keadaan sosio-ekomoni semasa kita – digunakan, maka hampir 36.5% daripada enam juta isi rumah di negara ini harus dikategorikan sebagai miskin.


Isu sebenar ialah jurang perbezaan pendapatan isi rumah akibat kegagalan dalam pelaksanaan DEB.


Masalah ketidaksamaan pengagihan pendapatan di antara kumpulan isi rumah dalam masyarakat kita tetap wujud.  Isi rumah dalam kategori  ‘20% Teratas' memperolehi 51% bahagian pendapatan, manakala isi rumah ‘40% Terendah' hanya mempunyai 13.5%.


Pekali Gini yang mengukur jurang perbezaan ini tidak berubah dua penggal; pada tahun 1990 pekali Gini adalah [0.442]  berbanding [0.441] pada tahun 2007.


Jurang perbezaan bahagian pendapatan antara kumpulan isi rumah memberikan impak kepada masyarakat kita. Segregasi sosial dan masalah keterpinggiran yang dialami sekarang akan terus menjejaskan kestabilan masyarakat serta usaha-usaha untuk menyatupadukan rakyat. Jelas bahawa falsafah DEB yang sekian lama memandu penggubal dasar dalam merumuskan program pembangunan berdasarkan keturunan etnik telah gagal menjamin perpaduan negara.


Model pembangunan baru


Negara kita memerlukan satu anjakkan paradigma supaya dapat merumuskan pembangunan secara holistik bagi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.


Majoriti rakyat jelata tidak lagi melihat isu kemiskinan dan keterpinggiran berdasarkan kaum.  Penggubal dasar dan perancang ekonomi harus memahami realiti masyarakat semasa.


Dalam konteks ini, adalah disyorkan supaya MEB menangani isu-isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan mengikut garis panduan berikut:


i.    Menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] yang lebih realistik. Sebagai permulaan satu PGK purata RM2,000 sebulan dicadangkan. PGK harus juga diselaraskan setiap tahun berdasarkan indeks harga pengguna mengikut kawasan Bandar dan Luar Bandar. Satu PGK yang diubahsuai  lima tahun sekali tidak memadai.


ii.    Dasar dan program pendidikan harus ditumpukan kepada penyelesaiaan masalah sebenar, iaitu budaya kemiskinan yang melangkaui generasi. Satu pelan induk bagi menangani cabaran ini harus digubal dan dilaksanakan menjelang 2020.


iii.    Program kebajikan [social safety net] bagi melindungi golongan yang daif dan kurang upaya di masyarakat harus diperkasakan. Peruntukan yang mencukupi bagi maksud ini harus ditetapkan mulai Bajet 2011.


iv.     Sistem penyampaian harus dirombak semula untuk melibatkan secara langsung pemimpin dan rakyat di akar umbi. Penglibatan wakil rakyat dan pemimpin komuniti tempatan dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan yang mampan adalah amat kritikal. Pelaksanaan yang bergantung semata-mata kepada agensi dan pegawai kerajaan ternyata tidak akan membawa pencapaiaan yang diharapkan.


Kemiskinan, pendapatan yang tidak setara dan keterpinggiran dalam masyarakat bukan lagi masalah sesuatu kaum itu sahaja.  Ianya adalah masalah golongan kelas sosio-ekonomi dan anggota-anggota  golongan ini terdiri daripada semua kumpulan etnik dalam negara.


MEB menyediakan peluang keemasan bagi kerajaan beralih daripada falsafah DEB lalu menggunakan satu pendekatan pembangunan ‘baru’ yang benar-benar mampu menangani permasalahan ekonomi rakyat jelata. Sesungguhnya pendekatan sedemikian akan menyemai semangat kebangsaan yang tulen serta menjamin perpaduan dalam masyarakat majmuk kita.

 

-------------------------------------------------------------

Footnote:
i) Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke Tiga [RRJP3,2001-2010], PNMB, Kuala Lumpur; ms.119
ii) RRJP3, Bab 5