Pada pilihanraya umum ke-12 [PRU12] tahun lepas, 8,161,039 warga Malaysia telah keluar mengundi. Seramai 4,081,115 memberi sokongan kepada Barisan Nasional manakala 3,786,732 menyokong Pakatan Rakyat.

Dalam kiraan mutlak, BN hanya melebih pihak pembangkang sebanyak 294,383 undi. Angka ini kurang pun berbanding dengan penduduk Shah Alam yang jumlahnya 314,440 orang mengikut bancian terdahulu. Namun, angka inilah yang mengembalikan BN ke tampuk kuasa.


PRU12 telah ditafsirkan oleh para penganalis sebagai satu titik batasan (watershed) dalam sejarah dan perkembangan politik negara. Para politikus pula menonjolkan keputusan PRU12 sebagai satu tsunami yang melanda scenario politik di Malaysia berasaskan, di antara lain, fakta-fakta berikut:-

* Parti-parti komponen Pakatan Rakyat menang 82 kerusi Parlimen
* BN hilang majoriti dua-pertiganya dalam Dewan Rakyat
* Pakatan Rakyat mengambil alih empat buah negeri baru, selain dari Kelantan (rujuk Jadual I).

Jadual I: Keputusan DUN di lima buah negeri
NEGERI Kedah Kelantan P. Pinang Perak Selangor
Parti BN PR BN PR BN PR BN PR BN PR
% undi 46.3 51.4 43.0 55.6 40.3 58.1 46.2 51.4 43.0 55.2
Bil. kerusi 14 22 6 39 11 29 28 31 20 36

 

Sayangnya gelombang baru tersebut tidak digerakkan oleh hampir tujuh juta warga berusia 21 tahun ke atas yang layak tetapi tidak mengundi.

Dalam menganalisa PRU12, data Jadual II adalah penting.

Jadual II: Perincian PRU12
PERKARA Bilangan Peratusan
Jumlah yang layak menjadi pemilih 15,000,000 100
Jumlah pemilih berdaftar 10,922,139 72.8
Jumlah pemilih keluar mengundi 8,161,039 54.4
Jumlah undi untuk BN 4,081,115 27.2
Jumlah undi untuk Pakatan Rakyat 3,786,732 25.3
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, 2008

 

Beberapa rumusan boleh dibuat:

* Kerajaan Persekutuan dipilih oleh 27.2% pengundi;
* Pakatan Rakyat menjadi pilihan 25.3% pengundi;
* Sejumlah 2.8 juta pemilih yang berdaftar tidak keluar mengundi; dan
* Lebih kurang empat juta warga yang layak mendaftar undi tidak membuat demikian
* Dianggarkan lebih kurang 70% warga yang belum mendaftar adalah dari lingkungan umur 21 hingga 40 tahun.

Dimenangi dengan majoriti tipis

Hasil beberapa kajian dijalankan oleh pelbagai pihak, terdapat tiga golongan yang belum mendaftar.

* Pertama, warga yang tidak tahu mereka layak menjadi pemilih
* Kedua, warga yang memberi alasan mereka terlalu sibuk dan tiada masa untuk mendaftar
* Ketiga, warga yang tidak mengambil berat atau tidak kisah terhadap proses pilihan raya dan enggan mendaftar

Golongan pertama boleh dicelikkan; yang lebih merunsingkan adalah golongan kedua dan ketiga. Adakah mereka ini langsung tidak ada minat dalam proses pilihan raya?

Banyak alasan diberi oleh mereka yang tidak berdaftar untuk mengundi. Alasan lazim ialah “tiada apa bezapun sekiranya saya mengundi???!

Kepada mereka yang berpendirian sedemikian, telitilah keputusan PRU12.

Kerusi Dewan Rakyat

Dalam PRU12, Pakatan Rakyat menang 10 dan BN enam kerusi Parlimen dengan tipis, di mana peratusan undi rosak melebihi peratusan undi majoriti. Jadual III memberikan contoh beberapa kerusi Parlimen yang dimenang dengan undi majoriti yang tipis.

Jadual III: Kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi dengan undi majoriti tipis

 

 KAWASAN PARTI

 %KELUAR

MENGUNDI

 UNDI

MAJORITI

%

UNDI

ROSAK 

 %
 P7. PADANG TERAP
 PAS 84.2 369 1.21 770 2.53
 P94. HULU S'GOR
 PKR 75.2 198 0.42 14663.08
 P145.BAKRI DAP 76.6 722 1.68 1561 3.64
 P74.LUMUT BN-MCA 76.9 298 0.56 1884 3.56
 P3.ARAU BN-Umno 83.4 300 0.90 586 1.77
 P186.SANDAKANBN-LDP
 61.1 176 0.88 644 3.22

 

Dari data tersebut, jelas bahawa calon yang menang hanya memperolehi kurang daripada 52% undi sah. Dalam sistem pilihanraya ‘First Past the Post’, sesungguhnya kelebihan namun satu undipun akan menentukan kemenangan. Sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 85%, mungkin keputusan berlainan bakal diperolehi. Apalagi kalau warga yang layak telah mendaftar sebagai pemilih dan keluar mengundi.

Walaupun demikian, biar katakan Pakatan Rakyat tidak berjaya menang 10 kerusi yang disebutkan tadi dan hanya mendapat 72 kerusi Parlimen, maka BN berjayalah mempertahankan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Impilikasinya mungkin Pak Lah masih kekal Perdana Menteri hari ini dan tiada usaha oleh Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan melalui gerakan ‘916’ pada tanggal Sept 16 tahun lepas.

Suatu pengajaran di Perak

Di pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, BN menang tiga dan Pakatan Rakyat menang dua kerusi dengan undi majoriti yang tipis seperti dalam Jadual IV berikut.

Jadual IV: Kerusi DUN Perak yang dimenangi dengan undi majoriti tipis
KAWASAN
 PARTI 

% KELUAR

MENGUNDI

UNDI

MAJORITI

 %

UNDI

ROSAK

 %
 N 36. P’GKALAN BARU BN-Umno 72.8 14 0.13 334 3.02
 N6. KUBU GAJAH BN-Umno 76.0 66 0.79 174 2.09
 N10. ALOR PONGSU BN-Umno 75.8 95 0.83 391 3.41
 N20. LUBUK MERBAU PAS 75.3 72 0.77 150 1.60
 N45. TEJA PKR 68.5 175 1.32 367 2.77

 

Seandainya BN tidak menang di Pengkalan Baru, Kubu Gajah dan Alor Pongsu, maka kedudukan kerusi dalam DUN Perak ialah Pakatan Rakyat (34) dan BN (25). Sebaliknya jika PAS dan PKR tidak menang di Lubuk Merbau dan Teja, kedudukan kerusi ialah BN (30) dan Pakatan Rakyat (29) pada Mac 8, 2008.

Implikasi kedua-dua scenario tersebut ialah kemungkinan besar tiada kemelut politik di negeri Perak.

Tunaikan tanggungjawab

Sepintas lalu, data keputusan PRU12 menunjukkan satu undipun boleh memberi kesan penting dan mengingatkan kita betapa perlunya seseorang warga itu mendaftar menjadi pemilih dan juga keluar mengundi.

Mungkin anda ada kawan yang malas mengundi kerana berpendapat urusan kerajaan tidak ada apa jua kesan terhadapnya. Adakah ini satu pendirian yang rasional?

Sebenarnya segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan ada impak atas kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, keputusan mengenai kadar tol akan mempengaruhi bajet dan perbelanjaan kita membawa kereta.

Macam mana pula dengan keputusan untuk melaksanakan Program Khidmat Negara? Bukankan ianya akan melibatkan ahli keluarga kita sendiri? Demikian juga pelaksanaan lain-lain dasar dan program.

Adakah kita masih sanggup bersikap ‘tidak apa’ kerana menganggap urusan kerajaan tiada kena mengena dengan kita?

Memang benar kini proses untuk mendaftar sebagai pengundi tidak begitu mesra pengguna. Tetapi ini bukan alasan bagi kita mengabaikan tanggungjawab. Di dalam sebuah demokrasi, setiap pilihanraya memberi peluang kepada kita untuk memilih kerajaan yang memanfaatkan rakyat, bukan memanfaatkan parti politik.

Kalau masih acuh tak acuh, janganlah mengadu lagi tidak berpuas hati dengan pemerintah.

Akan bersambung: Rumusan dan syor untuk PRU13