Apa sebenarnya yang 'baru' dalam Rancangan M'sia ke-10 (tahun 2011-2015)?
Negara kita memerlukan satu model ekonomi baru, kata Nor Mohamed Yakcob, Menteri yang dipertanggungjawabkan dengan perancangan ekonomi.
Beliau mengumumkan pada Mei 30 bahawa Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) akan menggunakan model ekonomi baru berasaskan “inovasi, kreativiti dan tambah nilai???.
Beliau berkata lagi bahawa Malaysia perlu menganjak kepada satu ekonomi yang berasaskan “pengetahuan dan inovasi??? di mana sumber manusia berkemahiran amat diperlukan, manakala industri lama akan dimuatkan dengan isi kandungan pengetahuan [knowledge content]. Ini penting untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pekerja, kata beliau.
Semasa dilancarkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga [tahun 2001-2010] yang merangkumi tempoh masa Rancangan Malaysia Ke-8 dan Ke-9, kerajaan telahpun menyatakan hasratnya untuk mencapai satu “ekonomi yang berasaskan pengetahuan???.
Disarankan “Ekonomi berasaskan pengetahuan akan menyediakan landasan ke arah mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing antarabangsa untuk mencapai objektif Wawasan 2020???.
Di antara dimensi 'baru' yang diperkenalkan kira-kira 10 tahun lepas di bawah Dasar Wawasan Negara (yang menjadi tunjang Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga/RRJP3) ialah:
- Membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berasaskan pengetahuan;
- Membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimakan daya pemikiran bangsa; dan
- Menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik melalui penerapan pengetahuan yang lebih tinggi.
RRJP3 dengan jelas telah menghuraikan langkah-langkah khusus untuk mencapai matlamat tersebut mulai tahun 2001. Malah satu bab khas dalam RRJP3 dimuatkan bagi tujuan tersebut!
Pernyataan dasar yang sama untuk membangunkan “satu ekonomi berasaskan pengetahuan??? telah diulangi semasa pelancaran RMK9 pada tahun 2006.
Justeru itu, RMK10 yang baru-baru ini diumumkan seakan-akan cerita kitaran semula.
Niat seperkara, pencapaian lain
Meskipun apa jua model yang akan digunapakai, masih perlu diutamakan satu perkara yang amat kritikal iaitu pengagihan pendapatan yang saksama. Falsafah pembangunan corak inilah [growth with equity] i yang akan memupuk kesejahteraan rakyat dan perpaduan negara.
Sejak tahun 1970, kerajaan telah melafazkan komitmen untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dikongsi secara saksama oleh semua. ii
Salah satu teras utama yang diumumkan dalam pelan pembangunan nasional ialah “mewujudkan masyarakat yang saksama melalui peningkatan pendapatan dan kualiti hidup bagi mereka yang berpendapatan rendah.??? iii
Jelas bahawa setiap Rancangan Malaysia sudahpun mengetengahkan isu ini tetapi pencapaian adalah kurang memuaskan. Data terkandung dalam jadual berikut menunjukkan masalah jurang pendapatan di antara isi rumah dalam masyarakat kita masih wujud.
Bahagian Pendapatan [income share] Mengikut Segmen Isi Rumah
Isi Rumah | 1990 | 2000 | 2004 | 2007(e) |
20% Teratas | 50.0 | 50.5 | 51.2 | 51.0 |
40% Pertengahan | 35.5 | 35.5 | 35.3 | 35.0 |
40% Terendah | 14.5 | 14.0 | 13.5 | 14.0 |
Pekali Gini | 0.442 | 0.445 | 0.462 | 0.441 |
Sumber: RRJP3(2001), RMK9(2006), KSP-RMK9(2008)
(e) Data anggaran berdasarkan pekali Gini (Gini co-efficient) 2007
Berdasarkan data tahun 2004, andaikan sekiranya penduduk Malaysia hanya 10 orang dan jumlah pendapatan mereka adalah RM1,000, maka ini bermakna dua orang dalam kelas teratas memperolehi pendapatan bersama sejumlah RM512; empat orang dalam kelas pertengahan memperolehi RM353; dan empat orang dari kelas terendah hanya memperolehi RM135, ataupun RM33.75 setiap seorang miskin.Jelas bahawa pengagihan sedemikian adalah tidak adil dan saksama. Golongan pendapatan terendah sentiasa menghadapi masalah untuk hidup dengan selesa. Kebanyakan gejala sosial dialami oleh golongan ini berpunca daripada ketidaksetaraan pendapatan dalam masyarakat.
Semakin lama semakin besar jurang perbezaan antara pendapatan isi rumah 20 peratus teratas dan isi rumah 40 peratus terendah. Nampaknya, komitmen yang dijanjikan kerajaan belum lagi ditunaikan!
Kenapa jurang perbezaan pendapatan belum dirapatkan walaupun sudah menjadi agenda beberapa Rancangan Malaysia? Adakah strategi dan program pembangunan yang dilaksanakan sekian lama ini tidak memadai atau berkesan?
Tolong kanak-kanak untuk maju diri
Strategi yang digunakan selama ini untuk meningkatkan bahagian pendapatan bagi segmen isi rumah 40% terendah adalah berlandaskan kepada meningkatkan produktiviti melalui pembangunan insan.
Secara prinsipnya strategi pembangunan insan dapat diterima sebagai jitu. Akan tetapi ianya juga mempunyai kelemahan oleh kerana tidak menangani isu pokok iaitu, kesinambungan ketidaksamaan antara generasi [inter-generational transmission of inequality] yang dialami oleh keluarga dalam kumpulan berpendapatan rendah.
Kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah akan membesar menjadi dewasa berpendapatan rendah, sekiranya mereka tidak diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran.
Majoriti kanak-kanak dari golongan isi rumah berpendapatan rendah terhambat pembelajaran mereka berbanding dengan kanak-kanak dari golongan yang berpendapatan tinggi atau kelas pertengahan.
Ternyata sekali, mereka memerlukan didikan dan bimbingan khas di peringkat pra-sekolah untuk menyesuaikan diri dan maju tatkala di bangku sekolah. Masa depan budak-budak ini akan terus terjejas sekiranya isu utama ini tidak ditangani.
Maka dasar dan program membina modal insan dari kumpulan berpendapatan rendah di peringkat pra-sekolah haruslah diberi keutamaan demi mengatasi masalah 'inter-generational transmission of inequality'.
Penyelidikan dan hasil kajian di negara negara maju menunjukkan pulangan pelaburan dari program pra-sekolah yang berkualiti membawa manfaat yang berkekalan. Kanak-kanak dari golongan berpendapatan rendah dan miskin yang terlibat dalam program khas pra-sekolah didapati mempamerkan:
- Pembangunan intelek dan prestasi akademik yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang tidak menyertai program tesebut
- Perwatakan yang berdikari, yakin dan berwibawa; dan
- Potensi tinggi untuk mendapat pekerjaan yang lebih lumayan serta pendapatan yang lebih tinggi apabila dewasa;
Dalam konteks ini adalah disyorkan kerajaan mengkaji semula falsafah pendidikan pra-sekolah masa kini. Di antaranya, pendidikan pra-sekolah harus dirombak semula dari segi rangkaian liputan, sistem, kaedah, pedagogi, kelayakan tenaga pengajar dan pengagihan peruntukan.
Rumusan
Jurang perbezaan segmen pendapatan antara kumpulan isi rumah mempunyai impak yang ketara ke atas masyarakat kita. Gejala sosial akan kian meningkat sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera pada peringkat akar umbi.
Dan sekiranya ia dibiarkan sahaja, mungkin gerakan-gerakan lain akan mengikut jejak kaki Hindraf, dan kita didesak tuntutan pula dari Kadraf (Kadazan Rights Action Front), Dayaf (Dayak Rights Action Front) ataupun Malraf (Malay Rights Action Front) dalam masa terdekat!
Nasihat kepada para penggubal dasar dan perancang ekonomi – silalah gunakan “inovasi dan kreativiti??? yang digembar-gemburkan itu dalam mengatasi masalah pengagihan pendapatan ketika merangka RMK10.
Tumpulah perhatian kepada merealisasikan kata pengantar prinsip Rukun Negara yang berbunyi “mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama???.
Nota kaki:
i. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua [1991- 2000], Jabatan Percetakan Nasional, Kuala Lumpur; ms.14
ii. Rancangan Malaysia Ke-9 [2006 -2010], PNMB, Kuala Lumpur; ms.343
iii. Kajian Separuh Penggal, RMK9 [ 2008], PNMB, Kuala Lumpur; ms.57
iv. Satu contoh kajian ialah “HighScope Perry Pre-school Study??? di Amerika Syarikat;