Apabila dibelek sekali lalu, belanjawan 2011 agak berhati-hati. Tidak ada pembaziran ketara yang dirancang kerajaan kecuali projek mega Warisan Merdeka sebanyak RM5 billion dan pengubahsuaian Seri Perdana (tempat penginapan rasmi keluarga Perdana Menteri) sebanyak RM65 juta.
Tetapi, apabila dilihat beberapa elemen penting di dalam bajet, ada perkara mustahak yang difikirkan patut dimasukkan tetapi diabaikan manakala perbelanjaan tidak tepat terus dilaksanakan.
Belanjawan kali ini memegang kepada tema 'Transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi'. Memang benar, itulah hasrat kebanyakan rakyat. Tetapi jika dikaji dengan terperinci, peruntukan yang diberikan tertumpu kepada menaikkan gaji minima pengawal dengan kadar RM500-RM800, yang sememangnya majoriti sudah mendapat gaji sedemikian. Rata-rata mereka memperolehi RM600 sebulan.
Belanjawan ini memperuntukkan RM23 juta bagi perkhidmatan juru runding (consultancy) dari negara luar. Ini tidak memberikan peluang kerja kepada pekerja-pekerja mahir kita. Kita lihat pula sama ada kita mempunyai tenaga mahir. Setakat ini seramai 700,000 rakyat Malaysia telah berhijrah untuk bekerja di negara-negara membangun atas alasan tidak dibayar gaji setimpal dengan kemahiran mereka.
Ada juga di antara mereka berada di tahap pengurusan syarikat, firma atau organisasi. Ada juga yang menjadi warganegara Australia dan kini memegang jawatan Menteri!
Istilah yang digunakan apabila rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi berhijrah untuk bekerja di negara asing dipanggil 'brain drain'. Perkara ini perlu dikaji. Tetapi malangnya, pada tahun 2010, belanjawan telah memperuntukkan RM79,425,100 kepada kos Biro Tatanegara (BTN) dan jumlah tersebut dibawa kepada 2011 dengan belanjawan sebanyak RM66,879,200.
BTN ini ialah satu program kerajaan dalam memastikan kakitangan kerajaan setia kepada kerajaan Barisan Nasional. Ada juga terdapat bukti-bukti yang menunjukkan peserta-peserta ditanam sifat kebencian terhadap bangsa lain dan modul-modul programnya memesongkan fakta sejarah. Ini boleh dikatakan sebagai transformasi negatif 'brain drain' ke 'brain wash'.
Pada jangkamasa tahun 2000-2009, kita menyaksikan pengaliran masuk pelaburan asing sebanyak USD4 billion manakala pengaliran keluar sebanyak USD8 billion. Pengaliran ringgit banyak disalur keluar berbanding dengan penambahan rizab tunai. Belanjawan 2011 ini tidak mempamerkan usaha-usaha dalam memulihkan angka-angka tersebut.
Gaji isti'mewah' bagi polis khas
Pada tahun 2010, kerajaan memperuntukkan wang sebanyak RM4.5 billion untuk polis persekutuan. Jumlah tersebut meningkat RM1.2 billion kepada RM5.7 billion pada tahun 2011. Belanjawan tersebut diperuntukkan kepada sejumlah 127,000 anggota polis yang mana jumlah keanggotaan tidak seramai itu.
Ya, masalah jenayah menjadi faktor kebimbangan selepas melihat kadar jenayah negara meningkat naik sedikit demi sedikit. Nisbah 1:250 orang kepada anggota polis dinampakkan baik dalam menjaga keamanan negara. Tetapi kita perlu lihat pula ke manakah perbelanjaan bajet tahun depan disalurkan kepada badan penguasa polis.
Belanjawan kali ini memperuntukkan RM2.3 billion kepada urusan pentadbiran polis yang melibatkan 47,000 anggota:
- RM1 billion pula diperuntukkan kepada sejumlah 1,300 anggota polis.
- Bagi jabatan penyiasatan jenayah (CID), RM400 juta diperuntukkan kepada 9,300 anggota dan pasukan Risikan Keselamatan mengambil kuota 9,000.
- Pasukan bagi memantau jenayah hanya terdapat 300 anggota sahaja!
- Belanjawan bagi Keselamatan Dalam Negeri pula sebanyak RM1.4 billion.
Berbalik kepada nisbah tersebut, hanya segelintir sahaja yang bertanggungjawab dalam mencegah jenayah dan yang selainnya menjalankan urusan pentadbiran dan risikan.
Kita semua perlu mengetahui bahawa kerajaan telah membelanjakan RM15.8 juta kepada polis ketika pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Adakah jumlah tersebut memadai?
Kembali ke era Mahathir
Faktor utama yang penulis sering melihat pertama kali melihat sekilas pandangan ialah belanjawan operasi dan pembangunannya. Pada belanjawan kali ini, belanjawan operasi sebanyak RM76.1 billion manakala belanjawan pembangunan sebanyak RM23.9 billion. Angka tersebut sepatutnya ditukarganti.
Kerajaan sepatutnya melebihkan belanjawan pembangunan daripada pengoperasian.
Manakala yang dimasukkan ke dalam belanjawan pembangunan seperti Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat hanyalah monumen yang tidak mendatangkan keuntungan pembangunan mentaliti kepada rakyat kebanyakan. Ia hanya akan mengembalikan model ekonomi seperti di era Mahathir dahulu.
Pernahkah kita bertanya berapa peratus daripada ruang pejabat di Menara Berkembar Petronas diisi? Berapakah kos perbelanjaan projek gajah putih Bukit Jalil dan Putrajaya?
Pada masa yang sama, kita melihat pula seramai 75 peratus daripada remaja hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Sama ada ibu bapa mereka tidak mampu untuk menanggung anak mereka ke menara gading atau tidak ada semangat untuk melanjutkan pelajaran atau tidak mempercayai sistem pendidikan tinggi, tidak ada kajian khusus yang dibaca mengenainya.
Belanjawan kali ini telah memecahkan rekod dengan mencatat angka tertinggi berbanding 10 tahun yang lampau iaitu RM213.9 billion. Pada tahun 2009, belanjawan kita hanya setakat RM209 billion sahaja. Amat mengecewakan bila mana belanjawan dikhususkan kepada elemen-elemen tidak wajar dan membelakangi pembangunan minda dan kemahiran.