Tidak disangkal lagi apabila kita mengatakan bahawa minum teh tarik dan meratah roti canai di restoran mamak menjadi kecenderongan masyarakat bandar berkumpul serta bersosial.
Atas kesibukan kerja sehingga lewat malam, penduduk di kawasan bandar jarang pulang ke rumah untuk makan dan mengharapkan kedai-kedai makan di luar bagi memenuhi selera mereka.
Suatu kajian yang dijalankan oleh by Merdeka Center for Opinion Research bersama Lau Weng San, ahli dewan undangan negeri Kampung Tunku mendapati 55 peratus daripada penduduk di Petaling Jaya sering membeli makanan yang sudah siap daripada masak sendiri.
Daripada 410 responden yang ditanya melalui telefon pada Jun 10-12 lepas, seramai 24 peratus menyatakan mereka bergantung harap kepada restoran mamak. Kini, restoran mamak bukan hanya menyediakan menu tomyam tetapi juga hidangan barat, Arab dan masakan Cina.
Kebanyakan restoran-restoran mamak ini mampu untuk beroperasi sehingga 24 jam sehari.
Restoran mamak sekarang juga bukan sahaja tempat bergosip (sebut: mengumpat) untuk bercerita tentang perkembangan artis dan politik tetapi juga selalunya menjadi tempat kedua mengadakan mesyuarat dalam membuat beberapa keputusan tidak rasmi. Ia kadangkalanya pun mampu mempengaruhi mesyuarat rasmi parti-parti politik.
Dalam bersaing perniagaan mereka, kebanyakan restoran mamak menyediakan skrin besar menayangkan filem sebagai tarikan. Siaran sukan secara langsung yang diperolehi dari rancangan TV satelit berbayar amat popular. Selain itu, perkhidmatan jalur lebar percuma juga disediakan, menjadikan ramai anak-anak muda akan berada di restoran mamak ini berjam-jam.
Melalui kefahaman kisah pilu yang berlaku kepada remaja Aminulrasyid Hamzah di Shah Alam yang mati ditembak anggota polis beberapa bulan lalu, arwah bersama rakannya baru pulang daripada salah satu restoran mamak dekat kawasan rumah.
Pelanggan utamakan kebersihan
Bagi meluangkan masa yang panjang di sesebuah tempat, selain faktor keselesaan, kebersihan menjadi antara kerunsingan utama bagi masyarakat bandar bagi membolehkan mereka berlepakan di kedai-kedai ini.
Dalam kajian Merdeka Center tersebut yang dijalankan di Petaling Jaya merangkumi Seri Setia, Taman Medan, Bukit Gasing, Kg Tunku, Damansara Utama, Bukit Lanjan dan Kota Damansara, 70 peratus daripada 410 responden yang ditanya bersependapat bahawa apa yang paling penting dalam kedai-kedai makan ialah kebersihan. Faktor tersebut menjadi pilihan mereka berbanding dengan masakan yang dihidang, harga dan lokasi.
Penduduk Petaling Jaya nampaknya masih ramai yang tidak berpuas hati (46 peratus) dengan tahap kebersihan di kedai-kedai mamak.
Daripada responden yang sama juga, yang 43 peratus terdiri daripada golongan muda di bawah 40 tahun, 55 peratus daripada golongan berumur 18-20 tahun, 46 peratus daripada golongan berusia 21-30 tahun, 60 peratus daripada golongan 31-40 tahun 43 peratus daripada golongan 41-50 tahun, 52 peratus daripada golongan 51-60 tahun dan 30 peratus daripada golongan 61 tahun ke atas ini tidak berpuas hati dengan kebersihan kedai-kedai mamak ini.

Daripada kajian yang sama juga, responden bersetuju bahawa kebersihan menjadi factor penting dalam mempastikan tiada sebarang pemasalah berlaku. Daripada pelbagai tempat makan yang diperolehi di kawasan bandar, restoran mamak memberi peratusan tertinggi (31 peratus) yang menyumbang kepada keracunan makanan.
Malah, gerai-gerai di tepian jalan hanya memberi 15 peratus di dalam persepsi responden yang pulang dengan keracunan makanan selepas menikmati juadah.
Selain menyumbang kepada bahaya keracunan makanan, makanan-makanan yang dihidangkan juga berkemungkinan besar mendatangkan pelbagai penyakit maut; antaranya ialah masalah jantung akibat daripada kolesterol tinggi dan kencing manis daripada minuman-minuman manis.
Sungguhpun demikian, berkumpul di restoran mamak tetap menjadi pilihan orang ramai. Meja disambung-sambung selepas penat bermain futsal, di meja-meja kecil terdapat perbentangan pelan pemasaran menarik yang dilakukan bersungguh-sungguh daripada mereka yang mewakili syarikat jualan langsung (MLM) tertentu. Mereka akan datang segak lengkap dengan bertali leher dan berkasut kulit.
Ada yang di antara juga akan berkumpul selepas siri perjumpaan dengan lengkap berjaket hitam dan menepuk tangan dengan kuat sambil melaungkan "Anda Hebat". Terdapat juga pertemuan agen-agen insurans dalam menandatangani kontrak insurans.
Selain daripada beroperasi secara sendirian, terdapat juga rantaian restoran-restoran mamak yang membuka cawangan. Terdapat Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang menjaga kebajikan restoran-restoran mamak ini.
Tetapi kita masih tidak dapat diyakini apakah tanggungjawab persatuan ini dalam memastikan kebersihan dan punca keracunan makanan tidak datang daripada ahli-ahli Presma.