Sebagai anggota majlis hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia melalui Menteri Luarnya, atau wakil dari Kementerian Luar, hadir dan mengambil bahagian untuk membuang undi dan berbahas menandakan sokong ataupun tidak atas resolusi yang dibincangkan.

Pada Disember 18, 2007 lalu, majlis hak asasi itu telah mengusulkan resolusi 62/149 mengenai moratorium terhadap hukuman mati yang telah dikuatkuasakan oleh PBB di mana negara-negara yang masih mengamal hukuman mati, termasuk Malaysia diminta menghentikan penggunaan hukuman mati dan mengurangkan jumlah hukuman-hukuman yang membawa hukuman mati secara berperingkat.

Negara-negara tersebut diminta melaksanakan moratorium terhadap kesemua hukuman-hukuman mati dengan hasrat untuk menghapuskan hukuman ini sama sekali.

Namun, pada 30 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri melalui jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne berkata bahawa statistik Jabatan Penjara Malaysia yang berakhir pada 31 Disember 2008 menunjukkan terdapat seramai 260 banduan yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati dilaksanakan terhadap mereka.

Kesemua hukuman ini masih dalam proses rayuan, sama ada di mahkamah atau kepada jemaah pengampunan negeri.

Banduan tersebut telah terlibat dengan pelbagai kesalahan seperti mengedar dadah iaitu seramai 160 orang, membunuh iaitu seramai 95 orang dan memiliki senjata api tanpa kebenaran iaitu seramai 5 orang.

'Hukuman kerat 18 bahagian'

Nampaknya, Malaysia masih tidak dapat menghormati atau patuh kepada resolusi yang dibawa oleh PBB ini. Malah, Majlis Peguam Malaysia juga telah membawa resolusi di dalam mesyuarat agung mereka pada tahun-tahun 2006 dan 2007 agar hukuman gantung sampai mati ini dimansuhkan.

Hukuman ini jelas mencabul prinsip hak asasi manusia seperti mana termaktub di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang mana Malaysia sendiri menjadi salah satu anggota yang menandatanganinya.

Pada 29 Ogos 2010 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan terbuka untuk memansuhkan hukuman mati. Menteri di Kementerian Luar, Anifah Aman juga menyatakan bahawa beliau telah merayu kepada kerajaan Singapura dalam membebaskan warga Malaysia, Yong Vui Kong daripada dikenakan hukuman gantung.

Tetapi, adakah mereka ini serius dalam kenyataan mereka?

Beberapa tahun dahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Shahrizat Abdul Jalil pernah memberitahu wartawan agar perogol bersiri sepatutnya dikenakan hukuman dikerat kepada 18 bahagian! Hukuman ini lebih berat daripada hukuman mati. Sungguhpun tewas dalam pilihan raya, beliau masih dilantik menerajui kementerian yang sama.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Jelutong, Karpal Singh juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang tidak disangka-sangka dengan mencadangkan hukuman bunuh kepada perogol kanak-kanak.

Artikel 6 dalam Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik PBB menyatakan dengan jelas bahawa hak untuk hidup, termasuklah memansuhkan sebarang hukuman mati. Malangnya Malaysia tidak menandatangani konvensyen ini.

Kes-kes remaja dihukum mati

Hukuman gantung yang dijalankan tidak mengecualikan bagi umur mangsa dakwaan kecuali Ordinan Sistem Keadilan Juvenile Pakistan (2000) yang memansuhkan hukuman tersebut bagi kesalahan mereka berumur 18 tahun ke bawah. Tetapi, Mutabar Khan yang berusia 16 tahun pada waktu dakwaannya dijatuhkan pada 1996 tidak terlepas dari hukuman tersebut. Beliau mati di tali gantung pada 2001.

Di Arab Saudi, Dhahian Rakan al-Sibai'l dipenggal kepalanya pada Julai 2007 kerana membunuh pada usia 15 tahun.

Di beberapa negara yang lain, hukuman gantung sampai mati bukan hanya dijatuhkan kepada kes bunuh tetapi juga apabila seseorang itu didapati memiliki dadah.

Vui Kong (kiri) yang berasal dari Sabah telah dijatuhkan hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah. Dari kaca mata Singapura yang tegas dalam penguatkuasaan undang-undangnya, dia adalah pemangsa. Tetapi bukankah Vui Kong merupakan mangsa daripada sistem pendidikan yang gagal, kehancuran institusi negara dan kemiskinan masyarakat?

Lebih-lebih lagi, Yong hanya seorang remaja yang usianya belum genap 18 tahun semasa kejadian ini berlaku. Apa yang menimpa ke atas dirinya menggagalkannya untuk membezakan antara garis yang hitam dengan yang putih. Kini, beliau telah insaf setelah menganuti ajaran agama Buddha, apakah tiada ruang untuk perikemanusiaan dalam undang-undang yang tegas?

Pada tahun 2005, pihak berkuasa Singapura telah membenarkan peguam Australia untuk bertemu dengan warga mereka yang dijatuhkan hukuman mati, tetapi dengan sengaja menundakan pemohonan peguam dari Malaysia, Ngeow Chow Ying untuk menemui Vui Kong pada waktu ini.

Tubuh masih bergerak-gerak...

Hukuman mati itu bukan hanya zalim apabila kita menarik nyawa seseorang itu; sama ada di tali gantung, dikenakan kuasa elektrik berkuasa 2,000 voltan, ditembak di kepala mahupun menyucuk bahan kimia berbahaya ke dalam badan.

Ianya lebih bersifat zalim apabila kita mengetahui hari dan masa hukuman itu dijatuhkan kepada kita. Penderaan psikologi lebih menyeksa - sama ada tempoh perbicaraan yang menjangkau sehingga 16 tahun, saat di mana hukuman itu dibaca, dan tempoh membilang hari sehingga hukuman itu dijalankan.

Terdapat juga kes di mana hukuman mati itu tidak mencabut nyawa mangsa dan terus menderita beberapa jam. Di Kuwait, Sanjaya Rowan Kumara, warganegara Sri Lanka dijatuhkan hukuman gantung pada November 2006 tetapi apabila dibawa ke rumah mayat, kakitangan perubatan mendapati tubuh mangsa tersebut masih bergerak-gerak.

Begitu juga di dalam kes yang berlaku pada Disember 2006 terhadap Angel Diaz yang dihukum dicucuk racun ke dalam badan. Diaz tidak mati serta merta pada cucukan pertama dan masih mencuba untuk menyatakan sesuatu. Beliau terpaksa dikenakan suntikan kedua dan akhirnya meninggal dunia selepas 34 minit.

Berbalik kepada pendekatan negara ini dalam memahami dan menghormati hak asasi manusia, sebagai anggota kepada PBB, Malaysia sepatutnya berusaha sekurang-kurangnya membincangkan morotarium yang diusulkan di konvensyen PBB tersebut.

Kebanyakan negara di dunia telah mengakuinya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon pada Januari 11, 2007 mengeluarkan kenyataan bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan bermaruah. Sebanyak 130 negara di dunia telah pun memansuhkan hukuman mati dan hanya 25 negara telah menjatuhkan hukuman sedemikian pada 2006.

Selepas perhimpunan agong PBB Sept 18, 2007 itu, Albania, Kepulauan Cook, dan Rwanda telah memansuhkan hukuman mati kepada kesemua kesalahan jenayah. Kygrystan pula memansuhkan hukuman mati kepada kesalahan jenayah biasa,

Pada 2008, Uzbekistan mengekori dengan memansuhkan hukuman mati bagi kesemua kesalahan jenayah.

Bilakah pula Malaysia akan berbuat sedemikian?