Sehingga kini pihak istana Johor tidak memberi sebarang alasan mengapa darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada mantan menteri kabinet Chua Jui Meng ditarik balik.

Chua tidak muncul di dalam filem pornografi (sungguhpun aku merasakan penglibatan pornografi seseorang ialah hak peribadi individu), tidak didakwa atas jenayah rasuah, tidak melesapkan wang rakyat dan sebagainya yang boleh mengakibatkan arang diconteng ke atas muka raja.

Beliau dilucutkan anugerah Dato’ Seri Paduka Mahkota Johor dan Dato’ Paduka Mahkota Johor pada 10 Jun lalu. Darjah kebesaran itu diberikan oleh al-marhum Sultan Johor dan ditarik balik oleh Sultan Johor sekarang.

Alasan menarik balik pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk’ bukanlah suatu yang rahsia dan termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Sudah tentu sebab musabab penarikan tersebut mahu diketahui umum.

Sikap telus dan bertanggungjawab menjadi harapan rakyat. Itulah juga menjadi matlamat Perdana Menteri 1Malaysia agar pentadbiran kerajaan perlulah berdasarkan ketelusan dan kebertanggungjawaban (accountability).

Sekiranya pihak istana boleh menyatakan alasan sesebuah pingat itu dianugerahkan, pihak istana juga boleh menyatakan mengapa pingat yang dihadiahkan itu ditarik balik.

Di sebalik mempersalahkan Sultan Johor yang menarik balik pingat yang diterimanya, Chua juga menyalahkan Umno dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Pada satu ketika dahulu, ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, ada cadangan dari parti yang beliau tinggalkan, iaitu Umno, agar gelaran ‘Datuk Seri’ yang ada dengan beliau ditarik balik.


Di dalam sistem kerajaan semi-feudal ini, raja boleh memberi kurnia dan juga boleh menarik balik anugerah mengikut keperluan. Dengan kuasa terhad yang ada pada raja sekarang, inilah sahaja bidang kuasanya, yakni menarik balik apa yang dikurniakan.

Beriya-iya mahu jadi Datuk

Ada juga dakwaan pingat-pingat yang membawa gelaran ‘Datuk’ tersebut boleh ‘dibeli’. Kebenaran dakwaan ini, aku kurang pasti.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam sidang parlimen Mac lalu mendedahkan di Dewan Rakyat sepucuk surat yang ditulis oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim agar gelaran ‘Datuk Seri’ diberikan kepadanya pada majlis keputeraan Yang diPertua Negeri Pulau Pinang.

Zahrain tidak menafikan surat tersebut.

Menurut teori Maslow, hirarki keperluan manusia di tahap tertinggi ialah untuk mendapat anugerah, gelaran dan penghormatan apabila keperluan manusia pada peringkat-peringkat fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan harga diri sudah dikecapi.

Penganugerahan gelaran ‘Datuk’ juga menular kepada golongan artis hiburan seperti Siti Nurhaliza dan juga individu-individu di pertengahan 20an – contohnya ahli-ahli sukan – atas ‘pencapaian’ yang diberikan dalam mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sekarang, gelaran sedemikian juga diberikan kepada artis-artis hiburan luar negara, umpamanya Shah Rukh Khan. Mungkin atas pandangan raja, mereka telah mengharumkan nama negara ini.

Gelaran menghilangkan identiti

Sekiranya terdapat kelapangan dari segi jadual, aku kadangkala dibayar untuk mempengerusikan majlis-majlis korporat dan keraian. Dalam merangka skrip ucapan aluan, aku akan meneliti senarai dif-dif kehormat dari segi pangkat serta senioriti dalam menyebut nama mereka satu-persatu.

Baru-baru ini, aku ditugaskan untuk mempengerusikan satu majlis makan malam di Pulau Pinang yang dihadiri oleh mereka-mereka yang diberi gelaran YB.

Sebagai amalan protokol, aku akan melihat sekeliling dan terpaksa menyebut nama mereka satu-persatu serta memastikan gelaran yang mereka pegang. Tujuannya ialah bagi mengelak dari sesiapa berasa kecil hati kerana gelaran mereka tidak disebut.

Aku pernah ditegur oleh pihak penganjur kerana menggelarkan seorang VIP ‘Datuk’ sedangkan VIP tersebut baru sahaja dianugerahkan dengan gelaran ‘Tan Sri’.

Lantas, apabila aku memanggil Senator Dr Syed Husin Ali dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ ke atas pentas, ucapan awal yang diberikannya ialah dengan menegur aku kerana memanggil beliau dengan gelaran tersebut.

Gelaran ‘YB’ tersebut seolah-olah pantang baginya sehinggakan secara menyeloroh, Dr Syed Husin memberitahu rakan-rakan YB yang duduk semeja dengannya akan “putus pertalian sahabat??? sekiranya ada di antara mereka di meja tersebut memanggil beliau dengan gelaran ‘YB’.

Menurut ucapan ‘teguran’nya, gelaran YB melenyapkan identiti seseorang individu itu.

Aku sememangnya mengenali Dr Syed (yang aku memanggilnya ‘Pak Syed’ sahaja sejak aku mula mengenalinya secara rapat hampir sedekad yang lalu) yang sering mempunyai sikap rendah diri, sederhana dalam apa juga situasi.

Tetapi, di dalam majlis berkenaan, aku berada dalam keadaan tersepit dan silap yang aku lakukan ialah tidak merujuk kepada beliau terlebih dahulu sama ada perlu menyebut gelaran ‘YB’ sebelum namanya lalu mengabaikan sahaja kehendak pihak penganjur.

Namun, aku tidak berasa malu sedikit pun, kerana itulah tradisi negara ini –

‘dibuang mati mak, ditelan mati bapa’.