Malaysia terkenal dengan akta-akta drakonian (sebut: zalim). Ada akta-akta kuno sejak zaman penjajahan masih digunakan sehingga sekarang bagi mempertahankan kuasa atau bertindak sebagai perlindungan daripada kuasa dicabar.

Antara lain, kita ada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (1984), Akta Multimedia dan Komunikasi (1998), Akta Hasutan (1949), Akta Fitnah (1948), Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971), Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta Polis (1967), Akta Pertubuhan (1966), Akta Kanun Jenayah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) dan Ordinan Darurat.

Sungguhpun desakan demi desakan dibuat agar akta-akta ini dimansuhkan atau dipinda, pelbagai alasan politik diberikan.

Kerajaan tidak disalahkan secara total atas usaha lembab dalam meningkatkan ‘integriti’ mereka. Rang Undang-undang Perlindungan Maklumat 2010 sudah dibaca dua kali dan ianya akan berkuatkuasa pada hujung tahun ini. Namun, akta yang membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan masih belum diluluskan manakala akta kebebasan maklumat masih tidak ada isyarat untuk ianya dibentangkan sebagai sebuah rang undang-undang.

Pada sidang pertama Parlimen 2010, sebuah lagi rang undang-undang yang sudah pun dibaca buat kali kedua dikenali sebagai Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010. Pada hujung tahun ini juga, rang undang-undang ini akan dikenali sebagai sebuah akta.

Akta ini mudah dimanipulasi oleh kerajaan dengan pelbagai alasan ‘keselamatan negara’. Oleh itu, barangkali mereka (pihak kerajaan) menggunakan alasan tidak boleh dimaklumkan atau didedahkan semua maklumat untuk pengetahuan awam.

Pegawai berkuasa mutlak

Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 bertujuan mengadakan peruntukan berkenaan kawalan ke atas eksport, pemindahan, transit dan pembrokeran barangan strategik termasuk senjata, selaras dengan keselamatan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia.

Di dalam rang undang-undang ini terdapat terma “pegawai diberi kuasa???. Mereka terdiri daripada pegawai kastam, pegawai polis, pegawai agensi penguatkuasaan maritim Malaysia, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan mana-mana pegawai lain yang dinyatakan oleh pengawal.

Di dalam rang undang-undang ini, pegawai yang diberi kuasa akan mendapat kuasa mutlak.

Sekiranya dikaji dan dan dibuat perbandingan dengan keadaan penguatkuasaan yang dijalankan pada masa kini, rang undang-undang ini akan menjadikan rasuah semakin berleluasa, diakibatkan kuasa mutlak yang diberikan kepada pegawai.

FASAL 29 – Pegawai yang diberi kuasa boleh menggeledah dan menyita tanpa waran.

FASAL 31 – Pegawai yang diberi kuasa boleh masuk ke mana sahaja tempat atau premis untuk menjalankan siasatan.

FASAL 32 – Membolehkan pegawai yang diberi kuasa untuk mengakses data dalam komputer.

FASAL 33- Membolehkan pegawai yang diberi kuasa menggeledah pengangkutan.

FASAL 34 – Membolehkan pegawai yang diberi kuasa menggunakan kekerasan munasabah dalam melaksanakan urusannya (!)

FASAL 36 – Pegawai yang diberi kuasa boleh menangkap tanpa waran.

FASAL 37 – Mengadakan peruntukan mengenai pemintasan komunikasi oleh pegawai yang diberi kuasa atas pemberian kuasa Pendakwa Raya.

 

Terbuka kepada tafsiran

Persoalan dari Fasal 34 paling merbahaya dalam sesuatu penggeledehan kerana ia membenarkan pegawai yang menjalankan tugas menggunakan kekerasan. Dan pemahaman kekerasan yang dimaksudkan ini membawa pengertian masing-masing; bergantung kepada interpretasi sesiapa sahaja.

Jelas melalui fasal-fasal yang telah dinyatakan, kuasa mutlak banyak diberikan diberi kepada ‘pegawai yang diberi kuasa’.

Akta ini seperti satu langkah untuk membasmi kegiatan ‘pengganas’ kerana berdasarkan bidang kuasa yang diberikan kepada ‘pegawai yang diberi kuasa’, adalah menggambarkan tindakan-tindakan yang di luar keadaan normal seperti boleh menggunakan kekerasan serta menangkap tanpa waran.

Secara prinsipnya, usaha penggubalan ini disokong penggubalan terutama sekali apabila ia mempunyai penerapan ciri-ciri resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1540 berkenaan dengan kawalan eksport.

Terdapat empat perkara yang perlu dilihat dan dibuat penelitian:

  1. Tidak semestinya rang undang-undang ini perlu dibawa kerana ciri-ciri kawal eksport boleh diserapkan ke dalam undang-undang kita yang sedia ada.
  2. Masa yang tergesa-gesa sehinggakan rang undang-undang ini dianggap sebagai hadiah untuk sebuah kuasa besar asing.
  3. Kuasa mutlak yang diberi kepada pihak berkuasa.
  4. Penguatkuasaan yang akan membebankan peniaga dan juga pengeksport di negara kita.

Rang undang-undang ini seolah-olah dibentangkan dalam keadaan tergesa-gesa sebaik sebelum Perdana Menteri kita mengadakan lawatan ke Washington DC bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat.

Adakah rang undang-undang ini dibentangkan di Dewan Rakyat yang baru lalu ini sebuah hadiah untuk Obama bagi ‘entry pass’ Najib Razak memasuki Rumah Putih?

Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu 1540 yang digunakan sebagai tanda aras amatlah membimbangkan. Resolusi tersebut tersebut telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB pada tahun 2004. Akan tetapi sehingga sekarang baru Malaysia ingin mengadakan sebuah akta atau rang undang-undang yang baru untuk menyerapkan ciri-ciri kawalan eksport.