Malaysia mempunyai sekitar 2.2 juta pekerja asing yang sah, hampir 20 peratus dari tenaga kerja negara. Dianggarkan jumlah yang sama untuk pekerja yang tidak berdaftar.
Kebanyakan pendekatan Malaysia terhadap penghijrahan adalah untuk menjenayahkannya, walaupun negara ini tidak mampu berfungsi tanpa buruh asing.
Penahanan besar-besaran di pasar dan jalanan bandar, dan serbuan rambang tanpa waran di kediaman persendirian di kawasan perumahan yang miskin memberi gambaran bahawa orang asing yang miskin – tanpa mengendahkan status imigrasi mereka – adalah dicurigai dengan automatik.
Pekerja asing kerap kali menjadi tumpuan kekejaman dan peras ugut sesetengah anggota polis dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela). Dari segi undang-undang, anggota polis dibenarkan memeriksa status imigrasi seseorang; Rela mempunyai kuasa yang sama hingga pertengahan tahun 2009.
Pendekatan ‘tangkap dahulu, siasat kemudian’ masih wujud dalam penguatkuasaan imigresen terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan masuk secara haram.
Hampir 35,000 orang pekerja asing telah ditangkap, dihukum oleh mahkamah dan dirotan di antara tahun 2002 dan 2008. Mereka yang didapati bersalah boleh dirotan sebanyak enam kali atau dikenakan denda atau dipenjarakan.
Ramai pekerja asing di Malaysia adalah mangsa perdagangan manusia – mereka diambil bekerja dengan menggunakan tipu muslihat bagi tujuan eksploitasi.
Laporan tentang pemerdagangan manusia yang dikaji oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2009 ternyata telah memberi status yang paling rendah kepada Malaysia, iaitu Tahap 3. Malaysia ditempatkan sebagai negara yang tidak mematuhi piawai minimum untuk membenteras gejala ini dan tidak berusaha secara bersungguh-sungguh untuk berbuat demikian.
Keadaan di pusat tahananMereka yang ditangkap akan dihantar ke pusat tahanan imigresen, yang keadaannya amat jauh dari piawaian minimum antarabangsa. Ketiga-tiga pusat tahanan yang ditinjau oleh Amnesty International di Malaysia didapati terlalu sesak. Malah, beberapa tahanan melaporkan mereka tidak dapat berbaring untuk tidur tanpa menyentuh orang di sisi mereka.
Mereka kekurangan peralatan tidur, peluang mendapatkan air bersih dan ubat bagi merawat yang sakit. Secara keseluruhannya, tahanan mengadu bahawa mereka sering kelaparan dan makanan yang diberikan kadangkala busuk atau kurang masak.
Tahanan duduk di dalam sel sepanjang hari tanpa sebarang kegiatan, dan sering menghabiskan hari tanpa dibenarkan keluar untuk menghirup udara segar. Tiada peluang untuk senaman, mengerjakan ibadat ataupun kegiatan lain.
Selain itu, tahanan di bawah umur 18 tahun ditahan bersama dengan orang dewasa, dan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Tidak hairan apabila penyakit menyebar dengan cepat dalam keadaan sedemikian, dan pergaduhan antara tahanan adalah sangat lazim. Di samping itu, Amnesty International diberitahu tentang penderaan yang dilakukan oleh pihak pengawal.
Terdapat juga pegawai di Jabatan Imigresen yang terlibat dalam pemerdagangan manusia dengan cara menghantar tahanan imigresen kepada pedagang haram yang beroperasi di sempadan negari Thai. Amnesty International telah mengenalpasti lebih sedozen kes berkenaan individu yang telah diperdagangkan secara begini antara 2006 dan awal 2009.
Bagaimana mereka terjerat
Dalam beberapa kes yang telah didokumenkan oleh Amnesty International, pekerja asing yang membuat aduan tentang penderaan telah ditahan kerana melanggar secara teknikal undang-undang imigresen.
Kehilangan status sah adalah mudah – ramai pekerja asing kehilangan status sah apabila majikan tidak memperbaharui permit kerja mereka.
Hampir kesemua majikan menyimpan pasport pekerja, iaitu dokumen yang harus dtunjukkan di atas permintaan pihak penguatkuasa. Amalan seperti ini adalah penanda bagi kewujudan buruh paksa. Maka kerajaan haruslah menjadikan penyimpanan pasport dan dokumen pengenalan lain sebagai kesalahan dengan hukuman yang setimpal.
Pihak berkuasa juga mestilah menggunakan kuasa mereka di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang untuk mendakwa agen pekerjaan dan majikan yang menggunakan tipu muslihat semasa mengambil pekerja bagi tujuan eksploitasi.
Sesetengah pekerja tidak ada pilihan langsung; mereka dipaksa bekerja bertentangan kemahuan mereka, dikurung di tempat kerja dan diancam dengan keganasan. Dari aspek praktikal, ramai di antara mereka tidak boleh meninggalkan majikan kerana risiko yang besar.
Dalam beberapa kes, agen telah membawa masuk pekerja di bawah umur 18 tahun dan mendapatkan pasport palsu untuk menyembunyikan kenyataan ini. Pekerja di bawah 18 tahun lebih mudah menjadi mangsa penipuan dan lebih senang didera.
Dalam kebanyakan kes, mereka juga melakukan kerja yang sepatutnya tidak dilakukan. Sewajarnya Malaysia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dari pekerjaan yang merbahaya.
Apa yang perlu dilakukan ialah untuk kerajaan meningkatkan pemeriksaan di tempat kerja dan mendakwa majikan yang terlibat dalam buruh paksa atau bentuk eksploitasi yang lain. Fokus utama pemeriksaan tersebut hendaklah terhadap penganiayaan di tempat kerja, dan bukan status imigresen pekerja.
Membaiki amalan ‘outsourcing’Oleh itu, kita sepatutnya memikirkan kembali penggunaan perkhidmatan pihak ketiga (outsourcing) bagi pekerja asing, lalu mengkaji semula sistem ini dengan tujuan untuk mereformasikannya.
Perdagangan manusia dilakukan oleh individu agensi pengambilan kerja tetapi kerajaan Malaysia telah memudahkan penganiayaan tersebut.
Peraturan longgar terhadap para agen, undang-undang buruh dan dasar yang boleh menganiaya, dan amalan membenarkan majikan untuk merampas pasport pekerja sebenarnya mempermudahkan pemerdagangan untuk berkembang.
Pembantu rumah pula berada di luar lingkungan perlindungan kebanyakan undang-undang buruh. Hasilnya, sejenis pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh perempuan atau gadis menerima kurang perlindungan berbanding dengan pekerjaan lain. Malah, sifat pekerjaan domestik yang terpencil sebenarnya membawa risiko penganiyaan tertentu, dan memerlukan perlindungan yang lebih tinggi dan khusus, bukan sebaliknya.
Justeru, kita perlu mengukuhkan perlindungan hak asasi manusia dalam memorandum persefahaman dengan negara-negara sumber, termasuk persetujuan untuk memantau agensi pekerjaan yang beroperasi di negara sumber.
Malaysia juga merupakan destinasi bagi pelarian dan pemohon perlindungan. Sekurang-kurangnya seramai 90,000 dan mungkin lebih 170,000 pelarian dan pemohon perlindungan, kebanyakan dari Myanmar dan Filipina, berada di negara ini.
Namun undang-undang kita tidak membezakan pelarian dengan pendatang tanpa izin.
Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, iaitu instrumen antarabangsa utama yang mengurus tadbir perlindungan pelarian. Akibatnya, pelarian dan pemohon perlindungan boleh diberkas, ditahan dan didakwa atas kesalahan imigresen.