Seandainya kaedah perlombongan menggunakan cyanide tidak membahayakan penduduk sekitar, apakata dicadangkan kepada Ng Yen Yen – wakil rakyat Raub merangkap Menteri Pelancongan – supaya menjadikan kawasan lombong itu di Bukit Koman sebagai sebuah pusat ‘homestay’?
Kita sering memberi salah tanggapan mengenai kepentingan alam sekitar dan pembangunan negara di dalam sektor pelancongan.
Bukit Koman ialah sebuah kawasan perlombongan yang terletak di bawah kawasan Raub, Pahang yang mana kawasan ini merupakan kawasan Parlimen kepada Menteri Pelancongan kita Ng Yen Yen.
Aktiviti perlombongan di kawasan itu menggunakan cyanide. Sesungguhnya, cyanide ialah salah satu kaedah perlombongan yang berkesan tetapi terdapat tatacara pelaksanaannya yang tidak digunapakai oleh kita di sini. Di Bukit Koman, cyanide digunakan di kawasan penduduk yang mana rumah terdekat dengan kawasan kolam perlombongan ialah lebih kurang 20 kaki sahaja.
Operasi perlombongan cyanide dimulakan di Bukit Koman sejak Februari 2009. Pada waktu yang sama, penduduk Kg Bukit Koman sudah dapat membau gas dari cyanide ini dan perkara ini berlanjutan sehingga sekarang. Justeru, penduduk di kawasan berkenaan sudah mula mengalami sakit-sakit seperti kesukaran bernafas, kegatalan dari mata dan kerongkong, dan gatal-gatal badan.
Menurut sumber yang saya perolehi, perkara ini berpunca dari pencemaran sumber air bawah tanah yang datangnya dari perlombongan emas di Bukit Koman. Hasil daripada pencemaran ini, penduduk sekitar akan mengalami masalah seperti peracunan plumbum, arsenik, cadmium dan raksa.
Hasil siasatan JAS
Penduduk Bukit Koman jatuh sakit kerana mendakwa menghidu asap yang dikeluarkan oleh syarikat perlombongan emas sejak Mac 2009. Namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang memberitahu tiada kes yang dilaporkan kepada JAS mengenai penduduk Kg Bukit Koman.
Menurut jawapan lisan Parlimen Bakri 15 Jun 2009 oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat, siasatan penguatkuasaan yang dijalankan JAS cawangan Temerloh pada Feb 24 dan 27, 2009 di syarkiat perlombongan tersebut mendapati tiada bau asap yang dikesan.
JAS juga telah menjalankan lawatan pemeriksaan susulan seterusnya yang telah dilaksanakan pada Mac 4 dan April 8, 2009 mendapati tiada bau yang tidak menyenangkan dikesan dari syarikat perlombongan tersebut.
Pada April 8, JAS Cawangan Temerloh telah mendapati persampelan air Sungai Koman di bahagian hulu dan hilir projek ini, dan keputusan analisa kimia mendapati mematuhi piawai.
EIA dari 10 tahun lampau
Aktiviti perlombongan itu juga didapati menggunakan Carbon-in-Leach dan penggunaan kaedah tersebut di tapak kilang yang mana jaraknya kurang dari 1km dari kawasan kediaman. Perkara ini amat membimbangkan.
Walaupin penggunaan bahan kimia ini ada juga digunakan oleh negara-negara lain tetapi dalam jarak yang jauh dan tidak berdekatan dengan kawasan penempatan.
JAS pula tetap mengatakan bahawa teknologi Carbon-in-Leach tidak menjejaskan alam sekitar dan JAS sendiri mendakwa telah berdasarkan laporan EIA (Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) dan merujuk kepada pihak-pihak berkuasa luar negara yang lebih berpengalaman serta kaedah-kaedah pelupusan sisa-sisa lombong.
Apabila diteliti laporan EIA yang dirujuk pihak JAS, rupa-rupanya EIA yang dimaksudkan ialah laporan Syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 10 tahun yang lampau (Jan 13, 1997).
Penduduk di kawasan berkenaan juga telah mendesak agar JAS mengemukakan DEIA (EIA terperinci)) namun alasan JAS mengatakan bahawa pada kajian EIA dijalankan, DEIA tidak diperlukan.
Hakim menolak permohonan
Atas keperihatinan dan takut akan tahap kesihatan mereka tergugat dan membawa maut, penduduk Kg Bukit Koman telah bersependapat untuk memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) bertarikh Jan 13, 1997, bagi cadangan untuk melombong emas di lombong emas Bukit Koman.
Malang bagi penduduk, Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan telah menolak permohonan tersebut.
Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Jessica Ram Binwani memberitahu, Hakim Lau membuat keputusan itu dalam kamar selepas memutuskan penduduk berkenaan lambat memfailkan permohonan kebenaran itu yang sepatutnya difailkan dalam tempoh 40 hari pengeluaran laporan PEIA.
Beliau berkata, hakim juga menolak dengan kos semua relif yang dipohon penduduk termasuk perintah untuk menghentikan projek dan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan laporan itu.
Projek pakej pelancongan
Lebih 50 penduduk Kg Bukit Koman hadir di mahkamah dan seorang daripada mereka memberitahu projek itu terletak hanya tiga meter dari rumah mereka.
Memandangkan wakil rakyat Raub ialah Menteri Pelancongan, dan hujah-hujah dari Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar tetap mengatakan bahawa kaedah perlombongan yang digunapakai sekarang tidak membahayakan penduduk sekitar, apakata saya mencadangkan agar wakil rakyat Raub itu untuk menggunakan kebijakan beliau untuk menjadikan Bukit Koman sebagai sebuah pusat ‘homestay’ di Pahang.
Dengan portfolio sebagai Menteri Pelancongan, sudah tentu birokrasi mengenai pembinaan homestay di Bukit Koman tidak menjadi masalah yang rumit, berbanding dengan wakil rakyat yang tidak mempunyai portfolio sedemikian untuk memohon atau memberi cadangan.
Sekiranya cyanide ini tidak membahayakan, sudah tentu homestay di Bukit Koman dapat menarik pelancong tempatan dan asing serta meningkatkan hasil pendapatan industri pelancongan.