Selepas menonton filem Karaoke, aku terduduk apabila pengusaha rela melihat hutan diratakan, orang kampung ditipu – untuk kepentingan sendiri. Konon untuk pembangunan negara.

Karaoke menceritakan kisah watak utama ‘Betik’ yang lahir di sebuah kampung yang dahulunya kaya dengan alam semulajadi. Setelah merantau di kota besar Kuala Lumpur, Betik pulang ke kampung halamannya, sebuah estet kelapa sawit di pinggir Malaysia.

Kampungnya dahulu dekat hutan dengan kekayaan kayu-kayan, flora dan fauna tetapi sekarang telah ditelan arus ‘pembangunan’. Maka tidak hairanlah Betik sendiri sesat di kampung kelahirannya.

Sungguhpun kampungnya masih kini dikelilingi ‘kehijauan’ pokok kelapa sawit, namun kehijauan itu tidak mendatangkan apa-apa makna kerana hilangnya nilai estetika. Mungkin kita yang menonton filem ini tidak menyedari butir ini kerana pengarah meluangkan banyak masanya dengan memaparkan ‘kehijauan’ ladang kelapa sawit.

Semangat Betik selepas tamat diplomanya untuk meningkatkan taraf hidup keluarganya dengan pulang ke kampung juga akhirnya tidak dihargai oleh orang kampung (peneroka), termasuk ibunya sendiri.

Malah ibu Betik tidak mahu lagi tinggal di kampung. Dia sanggup jual pusat karaoke yang diusahakan oleh arwah suaminya untuk mencari kehidupan baru.

Bapa sauara Betik, bergelar Bak, juga berpindah ke Ipoh dan sanggup menjadi pengawal keselamatan yang padanya lebih mulia dan lebih jujur daripada hidup dalam ‘kehijauan’ yang tiada sifat alam semulajadi. Pasangan Bak – Anisah, seorang gadis kampung – juga mengikutnya meninggalkan ‘ladang’.

Penswastaan ladang kelapa sawit

Orang ramai sudah tentu akan pertikaikan mengenai kelapa sawit sebagai pendapatan negara. Tetapi, adakah umum menyedari bahawa kebanyakan daripada ladang-ladang kelapa sawit telah pun diswastakan?

Hasil kelapa sawit disalurkan kepada syarikat swasta. Pekerja-pekerja ladang hanya mendapat upah yang dibayar sesuka hati kerana kita tidak mempunyai Akta Gaji Minima.

Penanaman secara tidak terancang juga sering merogol alam sekitar. Kasihan melihat pengembala kambing merayu kepada pemain bola supaya memberikan kambing-kambingnya sedikit masa lagi untuk binatang itu meragut di padang – kerana tidak ada tempat lagi untuk kambing-kambing itu meragut.

Air menjadi kotor hasil dari pemprosesan melampau. Tanah terhakis. Air bah. Mesin-mesin mencemarkan bunyi. Monyet berkeliaran sehingga mati tiada habitat, babi hutan terpaksa sodok halaman orang kampung! Ini semua akibat daripada kerakusan manusia itu sendiri.

Kekecewaan

Filem ini juga menceritakan mengenai kekecewaan; seorang ibu dan seorang anak atas factor generasi.

Betik yang berhasrat untuk membina semula kehidupan baru bersama ibunya selepas bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu tidak kesampaian. Ibunya masih tidak dapat memaafkan Betik kerana tidak hadir di pengebumian bapanya. Kepulangan Betik juga tidak dilihat disambut ibunya.

Ibu Betik yang akhirnya membuat keputusan untuk menjual pusat karaoke peninggalan arwah suaminya kerana pusat tersebut semakin kurang menjadi tumpuan. Bukan apa, tetapi pemain DVD karaoke sudah mudah dibeli dengan pelbagai skim bayaran ansuran yang membolehkan isi rumah memiliki pemain DVD dan tidak lagi ke pusat karaoke.

Pusat karaokenya sebelum ini menjadi tumpuan pekerja estet berbangsa India, keluarga mereka dan penduduk kampung berbangsa Melayu untuk berkumpul dan berhibur. Setiap lagu memberi makna kepada penduduk kampung tersebut.

Hipokrasi yang tidak disangka-sangka ialah apabila peredaran masa mengubah segala-galanya, persekitarannya yang berubah, kesucian kampung di estet itu dicabul, pokok kelapa sawit ditanam merata-rata namun lagu sama terus didendangkan.

Filem: Akan datang

 

 Chris Chong

Karaoke diarah oleh Chris Chong yang pernah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa dan ditulis oleh Shanon Shah. Ia dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi and Nadiya Nissa.

Filem ini pernah diberi penganugerahan untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes Ogos lalu dan kemudian memenangi anugerah di Festival Filem Calgary di Kanada.

Karaoke akan mula ditayangkan di pawagam bermula Nov 26, 2009.