Picture source: Malaysiakini

Malam ini, kedua-dua parti Umno dan PKR (ralat: PAS) akan mengumumkan calon mereka yang dipilih untuk bertanding di pilihan raya kecil Bagan Pinang. Hari penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini yang terletak di bawah kawasan Parlimen Teluk Kemang, Negri Sembilan ialah pada Okt 3.

Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) salah sebuah ‘parti’ komponen Barisan Nasional?

Sememangnya, SPR yang dikatakan oleh banyak pihak sebagai orang suruhan BN tidak mesra tarikh dalam menentukan hari membuang undi; sama ada ianya hari bekerja, hari pelepasan mahupun musim hujan.

Adun Bagan Pinang Azman Mohamad Noor telah meninggal dunia pada Sept 4 lepas. Pilihan raya kecil Bagan Pinang akan diadakan pada Okt 11 semasa bulan Syawal di mana umat Islam berhari raya. Ianya kali ke-sembilan pilihan raya kecil akan diadakan selepas berlangsungnya pilihanraya umum pada Mac 8, 2008.

Seperti diketahui ramai, SPR menggunakan hingga saat-saat terakhir tempoh yang diperuntukkan dalam mengumumkan hari penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau serta Batang Ai tidak berapa lama dahulu semata-mata kerana mungkin memberi impak kepada perhimpunan agung Umno yang dijadualkan lebih awal.

Tetapi kali ini, apabila timbul kerusi kosong di kawasan DUN yang berupa kubu kuat Umno, tiba-tiba sahaja SPR bermurah hati, lantas memperuntukkan penghujung minggu – cuti Sabtu – sebagai hari pencalonan.

Itulah yang apabila saya sering mengatakan akibat daripada melantik seorang pengerusi SPR dari bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan bukannya bekas hakim yang sudah tentu lebih peka kepada persekitaran dan mengetahui mengenai system perundangan.

Undi pos tidak rahsia

Dalam pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini, kesemua kawasan kemenangan Pakatan Rakyat kekal di tangan gabungan tersebut manakala kawasan didominasi BN di Batang Ai, Sarawak tetap dimenangi BN.

Bagan Pinang mengandungi 13,664 pemilih berdaftar, iaitu 9,060 pengundi biasa dan 4,604 pengundi pos. Daftar yang digunakan berdasarkan kepada daftar pemilih yang telah dikemaskinikan sehingga Sept 4 lalu.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Azman, 54, yang mewakili Umno menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Cuba bandingkan jumlah pengundi pos dengan nisbah undi kemenangan Azman.

Borang 2 ialah borang yang diperkenalkan oleh SPR di dalam sistem undi pos yang dijalankan di negara kita. Setiap anggota tentera diminta mencatatkan latar belakang mereka pada borang ini. Ini menjadikan satu-satu undi itu menjadi tidak rahsia kerana Borang 2 boleh memberikan maklumat mengenai pihak yang dipangkah oleh seseorang pengundi itu.

Pada pilihan raya umum ke-10 di tahun 1999 lalu, setiap slip undi dikoyakkan dari sebuah buku yang mengandungi nombor rujukan pengundi. Kaedah tersebut dimansuhkan pada pilihan raya umum 2004.

Anggota tentera sudah bersara

Seperti yang kita sedia maklum, anggota tentera mempunyai nombor rujukan berbeza. Bagi anggota tentera yang sudah bersara, mereka akan kembali diberikan nombor MyKad baru.

Secara teorinya, nombor rujukan anggota tentera yang bermula dengan nombor 1068xxx hingga 1070xxx adalah rekrut pengambilan pada bulan November 1986 siri 115 yang berpusat di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson.

Pengambilan ketika itu seramai lebih kurang 1,970 orang. Jika dikira tamat tempoh perkhidmatan mereka selama 21 atau 22 tahun, bermakna rata-rata mereka ini berpencen pada Nov 2007 dan Nov 2008. Namun sebahagian dari nama mereka, masih digunakan sebagai pengundi pos secara haram setelah melebihi tempoh perkhidmatan bersara wajib.

Senarai tersebut hanya merujuk kepada rekrut siri 115 dan belum termasuk rekrut dari perantis putera yang bermula dengan nombor 5337xx hingga 534xxx di mana tarikh bersara hampir sama.

Namun, banyak nombor-nombor tersebut masih wujud di dalam daftar pemilih SPR. Di Bagan Pinang, terdapat seramai 27 orang tersenarai daripada 362 orang sebagai pengundi pos secara haram. Jika 27 orang tersebut telah beristeri bermakna secara automatik isteri juga pengundi pos dan akan berganda menjadikan tambahan 27 orang lagi.

Secara keseluruhannya menjadikan 54 orang pengundi pos haram di DUN Bagan Pinang.

Pangkah dua kali

Sekiranya membaca semula arkib berita mengenai pengundi pos ini, banyak kes mengenai bekas anggota tentera yang mempunyai MyKad mempunyai dua nombor pengenalan diri yang melayakkan mereka untuk mengundi dua kali.

Calon PKR wakil parlimen Temerloh bagi pilihan raya umum ke-12, Hashim Abdullah mendedahkan satu kes pada Mac 2008 lalu. Ianya bersabit seorang bekas anggota tentera bernama Nasarudin Sapiee, No. kad pengenalan 71011-06-5013 berasal dari Kampung Gantuk Hilir, Daerah mengundi 088/30/02 - Songsang. Saharuddin mengundi di pusat mengundi Sekolah Menegah Teknik, Temerloh.

Akhbar Harakah telah melaporkan bahawa dengan menggunakan kad pengenalan tentera, Nasarudin adalah pengundi pos bagi daerah mengundi 132/31/07/405 - Pusasda Kem Si Rusa bagi kawasan DUN Bagan Pinang dan parlimen 132- Teluk Kemang.

Dengan berlakunya banyak kes yang mengurangkan populariti BN kali ini, ia mungkin akan menggugat keputusan berbanding dengan pilihan raya umum 2008. Namun, kemenangan masih di pihak BN disebabkan undi pos nanti.

Yalah, Pakatan Rakyat mungkin akan menang sorak di Bagan Pinang. PKR bolehlah edar ribuan kronologi kes Teoh Beng Hock. Sebarlah foto sekumpulan Melayu yang memijak kepala lembu di depan bangunan SUK Selangor. Dedahkan skandal PKFZ berjumlah RM12.5 billion.

Di dalam politik, Pakatan Rakyat boleh cetak ribuan gambar istana Khir Toyo yang didakwa berjumlah RM24 juta. Ceritalah mengenai Altantuya dan Rosmah. Ketawakan Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek. Ketawakan Samy Vellu dan S. Subramaniam.

Akan tetapi Pakatan Rakyat perlu terima hakikat bahawa pengundi pos akan menjadi penentu sehingga ada pengundi-pengundi pos mengakui ada pihak ketiga yang mengundi bagi pihaknya.

Namun, parti komponen BN iaitu SPR masih tetap mahukan undi pos.

(Dikemaskini 19:45)

___________

Rencana-rencana lain Faisal Mustaffa:

· Tips untuk ‘kaya’ dalam politik (Jangan ikut!)

· Kerajaan giat ‘mendidik’ bakal pengundi muda

· Potensi e-demokrasi dalam mendokong proses pilihan raya