Kerajaan melalui pelbagai sektor khususnya Kementerian Alam Sekitar banyak menghabiskan wang dalam kempen kesedaran bagi memulihara alam sekitar. Setiap kempen, sebagai contoh kempen kitar semula, banyak memberi manfaat kepada syarikat-syarikat yang berjaya mendapat tender menyediakan tong plastik kitar semula, poster bagi sekolah-sekolah dan sebagainya.
Begitu juga dengan kempen ‘Cintailah Sungai Anda’. Slogan itu sendiri sudah mahu membuatkan kita muntah, apatah lagi sungainya.
Berapa peratuskah daripada pemuliharaan sebegini dapat menyelamatkan alam sekitar buat generasi akan datang? Apakah yang boleh kita tinggalkan buat generasi selepas ini sebagai warisan?
Seperti yang kita ketahui melalui projek raksasa empangan hidro-elektrik Bakun, pembakaran terbuka berleluasa. Dosa-dosa ini dipertanggungjawabkan oleh Sarawak Hidro Sdn Bhd yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan.
Sejak awal tahun lagi, kerja-kerja menebang dan menerang kawasan seluas 80,000 hektar oleh beberapa kontraktor yang dilantik telah dijalankan. Keluasan tersebut hampir seluas Singapura.
Memandangkan pengisian air akan bermula Oktober ini, maka kerja-kerja menerangkan kawasan tersebut giat dijalankan. Bermula Oktober juga, seluruh kawasan empangan akan dipenuhi air.
Pada Julai 2010, kerja-kerja pengujian transmisi elektrik dari Bakun akan bermula. Air akan mula ditakung dari kawasan Balui yang mana air diperolehi daripada Sungai Murum, Bahau dan Linau.
M’sia juara pembakaran terbuka
Aku berasa amat sedih dan kecewa apabila dimaklumkan bahawa kesemua kontraktor, sub-kontraktor, agen serta kesemua pekerja mendapat restu dan arahan daripada pihak kerajaan. Dan kerajaanlah melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) yang menggubal Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO). Melihatkan keadaan sedemikian, aku teringat kepada perumpamaan ‘seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul’.
Dalam kes ini, ianya lebih berat. Kerajaan hipokritis sering mengambil tindakan dengan menyaman kilang-kilang yang mengeluarkan sisa toksik tetapi pada masa yang sama, mereka bersubahat dengan kontraktor, sub-kontraktor dan agen-agen yang dilantik. Malah, sekiranya mereka gagal menerangkan kawasan itu pada masa yang ditetapkan, ‘ganjaran’ akan diterima.
Aku mula membuat penelitian. Jelas, Sarawak Hidro langsung melanggar Rancangan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan klausa-klausa yang terkandung di dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Sememangnya, mereka yang bertanggungjawab tidak akan mengendahkan langsung, walaupun mengetahui implikasi negatif yang memberi kesan kepada ekosistem akibat daripada perubahan penggunaan tanah secara drastik.
Dalam pada negara-negara lain berusaha bersungguh-sungguh memastikan tidak ada pembakaran terbuka, Malaysia menjadi juaranya.
Jabatan Alam Sekitar kononnya amat perihatin mengenai isu ini dengan menyaman ahli majlis pimpinan tertinggi PKR, Badrulhisham Shaharin yang membakar kotak yang berisi fail koleksi laporan rasuah yang dibuat sejak bermulanya era reformasi. Chegubad telah membakarnya di perkarangan bangunan yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam tidak berapa lama dahulu.
El Nino dan jerebu
Aku berfikir sama ada pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar tahu keadaan sekarang yang meruncing apabila fenomena El Nino akan menjadi bertambah buruk penghujung tahun ini? (Adakah pegawai-pegawainya seperti Suhakam yang aku kenal? Kakitangan Suhakam tidak tahu makna hak asasi manusia.) Kejadian ini akan memburukkan keadaan terutama sekali di daerah di Sumatera, Kalimantan dan Sarawak beberapa bulan lagi.
Ingatkah lagi apabila peladang di Sumatera yang dikritik dengan mempunyai satu kaedah pertanian yang membakar di tapak ladang kelapa sawit mereka?
Menteri-menteri Asean khususnya di Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan termasuk Malaysia (tidak pasti samada kita ni sebuah negara ‘Pak Turut’) mengeluarkan resolusi usaha-usaha dan tindakan-tindakan baru bagi mengawal jerebu di rantau ini. Indonesia juga dikatakan tidak menjalankan usaha-usaha yang cukup dalam mengawal keadaan jerebu dan mengakibatkan ianya merebak ke rantau ini.
Akibat dari musibah El Nino, 18,000 penduduk Sarawak kini mengalami masalah suhu tidak menentu, panas keterlaluan. Bulan Julai, suhu di Sarawak secara puratanya mencatat bacaan 36 darjah celcius. Kadar hujan pula jatuh dari tahap normal.
Malah, sebodoh kerajaan negeri juga telah menyatakan kebimbangan mereka bahawa tahap air Sungai Sarawak Kiri dan Empangan Gerugu di Sarikei sudah menurun. Lembaga Air Kuching pula dalam kenyataan yang berlainan memberitahu masalah air sudah bermula di Simunjan dan Sarikei. Empangan Gerugu tidak hanya membekalkan air ke Sarikei sahaja tetapi juga ke Tanjung Manis, Mukah dan Belawai.
Keadaan tengkujuh ini boleh mengakibatkan sekolah-sekolah di kawasan persekitaran tutup dan tidak mampu beroperasi.
Aku pernah terbaca dalam laporan berita suatu masa dahulu, yakni, pada Julai 1995, El Nino telah meragut 700 nyawa di Illinois, Amerika Syarikat. Apa yang menakutkan ialah cuaca panas akan membiakkan bakteria dan mengundang cirit-birit.
Epidemik kolera juga akan menular akibat daripada kekurangan air. Ekonomi perikanan juga terjejas kerana ikan akan hanyut ke perairan yang lebih sejuk, beribu batu jauh ke dalam.
Kematian akan melanda Sarawak. Adakah Jabatan Alam Sekitar akan membayar pampasan? Adakah Ketua Menteri Sarawak ingin tahu? Paling tinggi, mereka akan edarkan tong derma kepada orang ramai. Barulah Jabatan Alam Sekitar terkedek-kedek mengadakan kempen kesedaran ... konon!