Kalau mengikut pengalaman, pihak polis akan membuat sekatan pada Ogos 31 (Ahad) dan akan mendatangkan kesukaran untuk orang yang pulang ke kampung untuk cuti panjang (Ogos 31, 2009 jatuh pada hari Isnin).

 

Tanggal 31 Ogos merupakan hari kemerdekaan Malaysia. Pada tahun ini, Malaysia merayakannya kali yang ke-52. Hari Malaysia sebenarnya jatuh pada tarikh 16 September sempena penubuhan Federasi Malaysia pada tahun 1963. Pada tarikh tersebut, Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Malaysia. Memandangkan cuti pada 31 Ogos, maka perayaan tersebut tidak dirayakan pada 16 September. Ia seolah-olah merayakan Hari Raya pada 3 Zulkaedah atau Hari Natal pada 19 Oktober.

Setiap kali perayaan, ianya diadakan dengan perarakan (sebut: demonstrasi) bagi menyatakan rasa rakyat Malaysia tentang cintanya. Inilah kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Pada perarakan setiap tahun yang selalunya diadakan di sepanjang jalan menuju Dataran Merdeka di mana terdapat pentas utama di mana DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, para menteri dan dif-dif kehormat menyaksikan. Selain perarakan, ada juga acara berkawat, persembahan tarian dan jimrama yang keseluruhannya demonstrasi jalanan yang menunjukkan perasaan mereka terhadap Malaysia.

Lagi pun, perhimpunan-perhimpunan menentang Malayan Union sewaktu sebelum merdeka adalah menjadi penyebab kepada lahirnya Umno. Menurut sejarah, sewaktu orang Melayu keluar beramai-ramai dan berdemonstrasi menentang Malayan Union, mereka telah berkumpul dan menubuhkan Umno.

Jika orang Melayu pada waktu itu menunggu permit polis dari kerajaan British, nescaya Malayan Union tidak dapat dihalang dan Umno tidak akan wujud. Justeru, Malaya akan tetap di bawah British. Sebab itulah, budaya demonstrasi ini menular sehingga sekarang.

Jangan takut menjayakan temasya

Pada demonstrasi 31 Ogos nanti, diminta sangat supaya pihak polis tidak membuat sebarang sekatan jalanraya bagi menghalang orang ramai turun untuk menyaksikan perarakan, peserta-peserta dan orang yang terlibat untuk menyertai demonstrasi.

Dalam satu-satu demonstrasi yang besar, pihak polis akan menghantar ribuan anggotanya untuk menyekat jalan sehingga menjadikan bandaraya Kuala Lumpur penuh sesak dan kenderaan tidak dapat bergerak.

Dalam beberapa insiden yang lain, pihak polis juga membuat sekatan jalanraya di lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur. Selalunya sehari sebelum perarakan.

Jadi, kalau mengikut teori tersebut, pihak polis akan membuat sekatan pada Ogos 31 (Ahad) dan akan mendatangkan kesukaran untuk orang yang pulang ke kampung untuk cuti panjang (Ogos 31, 2009 jatuh pada hari Isnin).

Pihak polis juga diminta untuk tidak menyembur gas pemedih mata dan 'water cannon' kepada orang ramai yang berarak nanti. Trak water cannon berwarna merah dan black maria juga jangan dipakir di tepi-tepi jalan utama bagi menakut-nakutkan orang ramai yang turun menyatakan perasaan mereka.

Sekiranya pihak berkuasa polis mahu menggunakan canister untuk menembak gas pemedih mata, jangan menembak terus ke arah para demonstran kerana ini mungkin akan mencederakan seseorang yang hanya mahu menyambut Hari Merdeka. Tembaklah ke udara.

Sugguhpun mereka tidak disembur, pihak polis dirayu untuk tidak menggunakan Akta Polis 1967 bagi menahan reman demonstran yang beribu yang akan turun padang kerana itu merupakan hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bebas berhimpun.

Bagi tahanan di bawah umur, seboleh-bolehnya jangan diasingkan dengan ibubapa mereka yang juga ditahan. Zalim sekiranya para juvana itu digari dan dipaksa memakai pakaian banduan hanya kerana menyertai demonstrasi Hari Merdeka nanti.

Buat sahaja pesta di stadium

Bagi orang ramai yang bercadang untuk memeriahkan perarakan bersejarah itu nanti, berilah kebebasan mereka untuk memakai apa sahaja warna pakaian yang mereka mahu. Orang ramai yang membawa topeng pembalut mulut dan tuala basah juga jangan dianggap pengganas kerana mereka hanya melindungi diri mereka daripada sebarang kejadian buruk yang mungkin berlaku.

Selain itu, Ketua Polis Negara juga janganlah mengarahkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk memukul orang yang bersolat di Masjid Negara dan Masjid Jamek. Polis juga janganlah menghalangI orang ramai daripada memasuki kawasan masjid sewaktu perarakan itu nanti dengan menutup dan mengepung pintu pagar.

Selain itu, pihak polis pula jangan mengugut operasi sistem pengangkutan LRT untuk hentikan operasinya, terutama bagi LRT berhenti di stesen Masjid Jamek kerana itulah stesen terdekat bagi orang turun ke Dataran Merdeka bagi turut serta dalam perarakan nanti.

Selain LRT, janganlah pihak polis mengarahkan peniaga-peniaga dan kompleks membeli-belah menutup premis perniagaan mereka kerana khuatir akan kerugian RM200 juta, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan beberapa hari lepas, akibat daripada penutupan tersebut.

Sekiranya peniaga-peniaga Kompleks Pertama masih berterusan ingin berniaga, diminta janganlah mengarahkan trak water cannon menyembur pintu masuk kompleks dan mengarahkan anggota FRU untuk memasuki premis kompleks untuk mencekup orang ramai yang berlindung di dalamnya.

Akhir sekali, kerajaan persekutuan jangan mengarahkan pihak penganjur Kemerdekaan nanti untuk membuat perarakan di dalam Stadium Kelana Jaya kerana ini memberi sekatan dalam menyuarakan perasaan mereka. Lagipun, betapa sukarnya kereta-kereta berhias untuk dibawa memasuki kawasan trek stadium yang mungkin dirosakkan.