DNA atau asid deoksiribonukleik adalah tandatangan genetik kita dan ia juga adalah milik kita secara hakiki.

Namun, ianya tidak lagi dimiliki oleh kita lagi. Dengan pembentangan Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 baru-baru ini, ianya boleh jadi milik polis. 

DNA mengandungi maklumat genetik. Para saintis menggunakan DNA untuk mengenalpasti seseorang individu itu, dan seterusnya untuk membolehkan polis cam suspek.

Oleh yang demikian, bagi mempercepatkan sesuatu siasatan, DNA akan diambil tanpa sebarang waran. Kita sebagai warganegara Malaysia tidak ada pilihan lain tetapi perlu menyerahkan DNA kita untuk tujuan itu tanpa bantahan.

Seperti yang kita ketahui, negara kita mempunyai akta-akta yang begitu terkenal yang mampu menahan seseorang itu tanpa sebarang perbicaraan. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Darurat (EO) membolehkan sesiapa sahaja ditahan.

Mereka-mereka ini yang sedang tidur di waktu malam, yang tiba-tiba dituduh terlibat dalam sesebuah keganasan kononnya akan boleh dijatuhkan pendakwaan lain-lain dan kemudiannya DNA mereka diambil untuk pihak berkuasa sebagai bahan bukti, juga kononnya.

Ambil sampel tanpa waran

Saya bukanlah seorang yang sering mengikuti siri Crime Scene Investigation (CSI) tetapi daripada apa yang saya tonton, anggota FBI yang menyiasat sesebuah kes itu perlu mendapat waran dari mahkamah bagi mendapat sampel DNA tertuduh bagi membantu siasatan mereka.

Malaysia mempunyai keadaan yang lain. Pihak polis ini tidak perlu menjalani proses tersebut. Mereka mempunyai kuasa mutlak untuk menangkap, memeras, malah memukul yang tidak termaktub dalam mana undang-undang.

Apa yang lebih merungsingkan, polis kini mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengambil darah bagi sebarang tujuan yang dirasakan perlu. Perkara 13 (7) Rang Undang-undang Identifikasi DNA tersebut membenarkan pihak polis mengambil suatu sampel bukan intim dengan apa cara sekalipun.*

Setelah meneliti bacaan kedua di yang dibaca di Dewan Negara hari ini (Julai 7, 2009)**, akta ini tidak ada keselamatan di dalam penyimpanan dan pengujian sampel-sampel DNA dan bagi profil DNA. Akta ini juga tidak ada keselamatan dari segi cara profil dilaksanakan.

Akta ini juga tidak mempunyai sebarang peruntukan bagi ujian sampel terhadap tertuduh yang benar-benar bebas. Akta ini tidak memberi peluang bagi tertuduh untuk menguji pengesahan sampel di mana mempunyai profil DNA tertuduh. Oleh itu, akta ini tidak memberikan jaminan dari segi laporan kimia sebagai bahan bukti profil DNA di mahkamah datang dari sampel yang sama diambil dari tertuduh yang sama.

Sepatutnya, tindakan mengambil DNA hanya berlaku apabila waran DNA dikeluarkan oleh mahkamah. Di Kanada, pihak polis mestilah menunjukkan bahawa mayat telah dijumpai di tempat kejadian, atau terdapat bukti yang menunjukkan bahawa tertuduh terlibat dalam kesalahan jenayah itu. Kemudian barulah forensik analisis DNA akan menyediakan bukti mengenai sama ada mayat dijumpai bersama atau berkaitan dengan tertuduh.

Saya cuba bayangkan seseorang yang ditahan di bawah Akta Darurat kerana kononnya cuba mendatangkan huru-hara hanya apabila, katakan, seseorang itu cuba mempertahankan rumahnya dari diroboh pihak berkuasa tempatan.

Dengan penggubalan akta ini, kita tidak lagi mempunyai hak privacy.

Kuasa mahkamah diketepikan

Selain itu, di bawah akta baru ini, pemusnahan sampel tidak patut dibenarkan tetapi mandatori selepas satu tempoh masa yang ditentukan. Usul yang dikemukakan di dalam Perkara 17 tidak dapat diterima kerana ia memberi kebebasan mutlak kepada Ketua Bank Data DNA. Ia juga tidak selaras dengan piawai antarabangsa.

[Perkara 'Penyimpanan dan pelupusan sampel intim dan sampel bukan intim': 17(1) Ketua Bank Data DNA hendaklah menyimpan dengan selamat dan terjamin semua sampel intim dan sampel bukan intim yang diambil bagi maksud analisis forensik DNA, bahagian sampel yang difikirkan wajar oleh Ketua Bank Data DNA dan tanpa kelengahan memusnahkan mana-mana bahagian yang tinggal.]

Perkara 18 hanya menyebut mengenai penyisihan profil DNA dan sebarang maklumat yang berkaitan dengannya. Tidak ada sebarang jaminan bahawa profil DNA tidak boleh disimpan di mana-mana atau dipindahkan kepada satu pengkalan data maklumat.

Di dalam Perkara 24, “bukti konkulsif??? menyingkirkan kuasa mahkamah untuk menimbang sebarang bukti. Timbangan di dalam bukti yang dikemukakan sebelum perbicaraan sebelum ini selalunya menjadi persoalan di dalam mahkamah.

[ Perkara 'Maklumat daripada Bank Data DNA menjadi muktamad': 24. Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa maklumat daripada Bank Data DNA hendaklah diterima sebagai suatu bukti muktamad bagi identifikasi DNA dalam mana-mana prosiding dalam mana-mana mahkamah.]

Perkara yang bukti konklusif membelenggu proses penghakiman. Ianya secara tidak adil memberi sekatan kepada hak bagi pesalah untuk menyoal kredibiliti mengadakan profil terhadap DNA. Oleh itu, maklumat dari bank data forensik DNA dikenalpasti sebagai suatu yang tidak betul, dan memberi ruang kepada kesilapan untuk berlaku.

Kalau kita takut dengan polis, kita akan lebih takut kini apabila akta ini diwartakan. Setiap tahun, ada sahaja kita mendengar kes tahanan di dalam lokap mati semasa dalam tahanan. Ataupun polis kononnya telah menjumpai senjata atau dadah di dalam but kereta yang dibawa tertuduh.

Kita juga akan lebih takut apabila dengan pengambilan DNA sewenang-wenangnya akan digunakan atau didakwa atas apa sahaja kesalahan.

Saya (dan mungkin kamu) lebih rela sekiranya darah saya ini diambil dan didermakan di tabung darah bagi menyelamatkan mangsa-mangsa kemalangan yang lebih memerlukan darah. Darah dan DNA saya bukanlah untuk dimanupulasi!

Nota Pengarang:

* Perkara 14: 'Keengganan memberi sampel' 14. Jika seseorang yang daripadanya suatu sampel bukan intim hendaklah diambil di bawah Akta ini ? (a) enggan untuk memberikan sampel itu; (b) enggan untuk membenarkan sampel itu diambil daripadanya; atau (c) menghalang pengambilan sampel itu daripadanya, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

** Rang undang-undang tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Jun 23, 2009.